NURI
SUPIAN
Membeli-belah
di gedung besar Galeries Lafayette, memberikan keseronokan tersendiri kepada
kami. Selain bershopping, dapat juga menjamu mata. Perjalanan makin bermakna
apabila lawatan seterusnya adalah ke Versailles Palace atau lebih dikenali
sebagai Château de Versailles di Perancis, tempat di mana bersemayamnya Raja
Louis XIV hingga Raja Louis XVI yang sebelum itu tinggal di istana asalnya
iaitu The Louvre.
The
Louve (lebih kurang 15 km dari kota Paris) setelah ditinggalkan oleh Raja Louis
XIV kemudiannya dijadikan muzium yang dipanggil La Musee Du Louvre (The Louvre Museum), sebuah muzium yang amat
terkenal dan terbesar di dunia.
Dalam
catatan sejarahnya, Raja Louis XIV berpindah dan tinggal di Château de Versailles selama 72 tahun sejak
tahun 1682. Ia adalah pemerintah monarki paling lama di Perancis dan Eropah.
Namun kemudian beliau dihalau keluar dari istana oleh pemberontak setelah
berlakunya revolusi Perancis yang diketuai oleh Napoleón Bonaparte yang
kemudiannya menjadi Kaisar Perancis.
Di hadapan istana Château de Versailles. Walaupun hari masih pagi tetapi pelancong sudah penuh menanti giliran untuk masuk ke dalam istana ini.
Apa pun
sejarah yang berlaku di Perancis membabitkan istana ini, ia tidak merosakkan
keindahan bangunan yang terbina sejak tahun 1661 ini, malahan seni binanya
terus terpelihara dan setiap masa ia akan dibaik pulih. Jika pada abad ke-16
hingga abad ke-18, istana ini menjadi tempat bersemayamnya raja-raja dan
pemerintah Perancis, tetapi kini ia menjadi salah satu daripada pusat tarikan
pelancongan ke Perancis. Setiap pelancong yang datang ke Perancis tidak akan
melepaskan peluang melihat keindahan seni bina dan kemewahan yang terdapat di
Versailles Palace ini.
Kerja-kerja pemuliharaan sedang rancak dijalankan ketika saya dan rombongan sampai ke istana yang pernah diduduki oleh Napoleon Bonaparte ini.
Lihatlah betapa luasnya kawasan taman Château de Versailles ini. Sayup mata memandang.
Ramai yang ambil kesempatan untuk menjelajah kawasan taman hingga ke bawah bukit tetapi saya cukuplah sekadar melihat dari atas. Sangat luas... saya mesti simpan tenaga untuk perjalanan yang masih panjang di kota Paris.
Ketika
saya sampai ke istana ini, beberapa pemuliharaan sedang dijalankan. Namun ia
tidak menghalang kunjungan pelancong dari pelbagai pelosok dunia untuk menatap
dengan mata kepala sendiri dan memahami sejarah istana ini. Lawatan kami yang
dibawa oleh Madams Monique, memberikan saya serba sedikit pengetahuan mengenai
sejarah istana diraja Perancis itu. Setiap sudut yang kami lawati membuat saya
seperti kembali ke abad silam iaitu ke zaman pemerintahan King Louis dan
Napoleon Bonaparte. Kerajaan Perancis memelihara sejarah istana ini sehingga
tidak ada yang berubah yakni sama
seperti zaman raja-raja ini masih memerintah.
Ketika
melalui Long Hall of Mirrors atau dipanggil juga dewan seribu cermin, rasanya
saya seperti sedang berada dalam filem-filem yang menonjolkan kisah bangsawan
Inggeris. Dewan panjang yang dipenuhi cermin serta puluhan candelier yang
bergantungan ini membuatkan saya
berdecak kagum. Betapa mewahnya!
Saya melalui Long Hall of Mirrors dengan penuh rasa kagum. Lambang kemewahan terbukti di istana ini. Dulu ia dianggap sebagai satu pembaziran yang melampau tetapi hari ini istana ini menjadi pusat tarikan pelancong dan menjana keuntungan berlipatganda kepada Perancis...
Sebahagian daripada suasana di dalam bilik-bilik istana...
Sesuatu
yang membuatkan saya tidak mampu melupakan istana ini selain dewan seribu
cermin, adalah bilik tidur mewah Ratu Marie Antoinette isteri Raja Louis ke XVI
yang mati dipancung dengan mesin guillotine, kerana menurut sejarah Perancis,
Marie Antoinette, sangat angkuh, sukakan hiburan, menghabiskan wang untuk
berpakaian yang indah dan mahal. Namun dikatakan juga dari sikap suka berfesyen
sang ratu itulah yang menimbulkan inspirasi kepada Perancis untuk menjadikannya
sebagai kota fesyen termoden di dunia.
Sebenarnya
dari luar lagi, kita sudah dapat melihat betapa gahnya istana ini. Tamannya mempunyai keluasan yang luar biasa.
Saujana mata memandang. Dari jauh kita sudah dapat melihat tasik dan seni bina
tamannya yang mengagumkan. Saya tidak melepaskan peluang merakamkan potret di
kawasan istana bersejarah ini. Saya juga berkesempatan bergambar dengan
pelancong Jepun yang kebetulan tiba ke istana ini hampir bersamaan dengan
rombongan kami.
Pelancong dari Jepun. Kami sama-sama merakam kenangan indah berada di istana bersejarah ini. Kami sedang menanti kebenaran untuk masuk ke dalam istana, yang sememangnya masuk mengikut nombor giliran. Ini untuk mengelakkan kesesakan di dalam istana nanti. Namun keluasan mampu menampung ramai pelancong untuk sekali masuk...
Kenangan indah sudah tercipta di sini. Akan dikenang sepanjang hayat.
Dari
sini kami kemudiannya meneruskan perjalanan mengelilingi kota Paris. Kami turut dibawa melalui terowong di mana
Lady Diana bersama Dodi Al-Fayed menemui ajal kerana lari dari buruan
paparazzi. Saya terdiam apabila melalui terowong itu. Bayangan kejadian ngeri
itu yang terpapar di akhbar-akhbar dalam dan luar negara, menjelma di mata.
Sesungguhnya lembut sang ratu berakhir hidup dengan penuh tragedi.
Kami
singgah makan tengah hari di Tresor Du Khasmir, sebuah restaurant Indien Pakistan. Di sini, saya
makan bersungguh-sungguh. Kari yang dihidangkan begitu lazat. Kebanyakan
hidangannya menetapi cita rasa bukan sahaja saya, tetapi juga kebanyakan
peserta rombongan. Ini dapat saya lihat daripada cara masing-masing makan dan
menambah nasi atau lauk ke pinggan. Dapat makan kari dalam cuaca sejuk,
bagaikan satu nikmat Allah yang mesti disyukuri.
Selesai
menjamu selera kami semua tidak sabar-sabar untuk ke masjid terbesar dan hanya
satu-satunya masjid yang ada di Paris. Masjid ini adalah masjid tertua di
Paris.
Keenakan makanan di Tresor Du Kashmir, iaitu makanan dari India dan Pakistan ini membuatkan kepenatan berjalan tidak terasa. Saya makan bersungguh hati.
Sangat menarik.
ReplyDeleteBetul la Kak Mahh, terasa seperti berada zaman Napoleon Bonaparte pulak... Masih banyak kesan sejarah silamnya...
Delete