Sunday, September 22, 2013

Mengadap Tuhan Di Galeries Lafayette


NURI SUPIAN


Cita-cita menaiki Menara Eiffel, tempat yang begitu ingin saya jejaki telah tercapai. Dari atas menara saya melihat keagungan dan kebesaran Tuhan. Maha Besar Allah memberikan manusia otak yang bijak untuk menghasilkan sebegitu kukuhnya menara yang diperbuat daripada kerangka besi. Menara yang pernah tersenarai dalam tujuh keajaiban dunia itu, memang mengagumkan. Saya turun dari menara dengan rasa puas dan bersyukur.
Dari sana, kami sepatutnya menaiki kapal persiar untuk meredah sungai Seine, namun jadual berubah kerana kami mengambil masa yang lama di Menara Eiffel. Ini tidak dapat dielakkan. Pemandangan ciptaan Tuhan di sekitar Menara Eiffel begitu cantik untuk dibiarkan begitu sahaja. Ramai yang tersangkut di situ untuk merakamkan gambar kenangan dan menikmati keindahan taman-taman yang disediakan.
Kerana mengambil masa yang lama di situ, kami terpaksa akur waktu untuk menaiki bot persiar telah terlewat untuk hari itu. Jadual berubah, kami dibawa melawat lagi sekitar bandar Paris kemudian ke sebuah lagi gedung mewah menjadi tumpuan. Galeries Lafayette.
Galeries Lafayette menyimpan kenangan manis buat saya. Banyak yang saya belajar di sini.
Di sini, ramai mengambil peluang untuk bershopping lagi. Seperti di Printemps de la Mode, pusat belah ini juga amat besar dan luas. Sukar juga untuk menjelajah setiap genap tempatnya. Kami telah diingatkan agar jangan lewat lagi, bimbang mengganggu jadual seterusnya. Sebelum meninjau-ninjau pusat beli-belah ini, kami ambil kesempatan untuk bersolat dahulu.
Memang sukar untuk mencari tempat solat di gedung ini, namun dengan kesungguhan pemandu pelancong, akhirnya dapat juga kami mengadap Tuhan di tengah kesibukan orang membeli-belah di gedung mewah ini. Solat di tempat lapang menyebabkan banyak mata memberi tumpuan ke arah kami. Ada yang berhenti untuk melihat orang sedang solat ini. Mungkin mereka hairan atau kagum. Menariknya bukan hanya kelompok kami sahaja yang bersolat di sini, terdapat beberapa pelancong dari negara lain turut mengadap Tuhan di tempat yang sama. Uniknya, biarpun tidak saling kenal sebelumnya, tetapi kami menjadi ramah di sudut solat itu. Berlainan bangsa dan adat budaya namun Islam menjadi tali persaudaraan yang kukuh. Akhirnya saling berkenalan. Benarlah Islam itu agama penyatuan.

Keadaan di dalam gedung ini. Persiapan untuk menyambut hari Krismas sudah mula dibuat.
Ada sesuatu yang ingin saya kongsi di gedung beli-belah besar dan mewah ini. Lif yang disediakan di bangunan ini adalah untuk orang-orang tua dan mereka yang membawa anak kecil dengan kereta sorong. Orang biasa harus menaiki tangga bergerak.
Kerana tidak mengetahui peraturan tersebut, kami menunggu lif untuk ke tingkat 6 bagi mengerjakan solat. Patutlah kami melihat hanya orang-orang tua dan mereka yang membawa anak dalam kereta sorong sahaja yang memenuhi lif yang luas itu. Dan kami juga hairan apabila orang-orang ini memandang aneh ke arah kami. Rupa-rupanya kami yang tersalah.
Di sini juga ramai yang mengambil peluang membeli minyak wangi dan coklat. Ada yang menghabiskan wang beratus ringgit hanya untuk membeli coklat. Seronoknya, coklat-coklat ini dibungkus dalam kemasan yang cantik dan pelbagai rupa. Cara bungkusannya sahaja telah membuat ramai yang terliur, walaupun rasanya belum tahu lagi sesuaikah dengan selera.
Kebetulan juga pada hari tersebut salah sebuah stor menjual minyak wangi berjenama sedang mengadakan diskaun hebat sehingga 70 persen. Hanya untuk hari itu sahaja. Memang rugi kalau tak beli! Saya mencapai satu untuk saya dan satu untuk suami. 

Lihatlah kota Paris yang sentiasa meriah. 
Rakyat Perancis memang rajin membaca kerana itu perpustakaan dan kedai-kedai buku terpakai ada di serata tempat. Sumber ilmunya ada di mana-mana. Kerana itu mereka maju. Membaca penyuluh ilmu.
 Bangunan-bangunannya kebanyakan telah berusia ratusan tahun. Senibina unik untuk kota Eropah...
Tidak ada yang dibeli di sini selain hanya melihat-lihat untuk segarkan mata dan minda. Tidak ada yang perlu dibayar.
Gedung kosmetik yang popular di negara ini. Saya hanya lihat dari jauh kerana produk ini banyak terjual di Malaysia.
Disebabkan kebanyakan barangan yang terjual di gedung itu mahal-mahal belaka apalagi jika ditukarkan dengan mata wang RM, saya hanya membeli sedikit sahaja barang di sini, selebihnya, saya keluar dari gedung itu dan bershopping di luar. Memang terdapat kedai-kedai di sepanjang jalan. Harganya lebih murah, tetapi kualitinya terjamin. Sempat singgah di sebuah kedai menjual beg tangan berjenama untuk membeli satu sebagai hadiah untuk diri sendiri.
Keseronokan menyebabkan penat tidak terasa. Namun disebabkan waktu siang agak pendek di Paris ketika itu, kami terpaksa menamatkan jadual shopping dengan segera bagi memberi laluan untuk acara seterusnya iaitu makan malam. Pukul enam petang di kota Paris sudah seperti 8 malam di Malaysia.
Puas saya berjalan-jalan menjamu mata. Hanya beli mana yang mampu dan berkenan di hati. Saya pergi waktu matawang kita sedang amat rendah. Lagipun tujuan utama saya adalah untuk melihat negara orang, bukannya untuk shopping. 
Musim luruh. Saya tidak sempat melihat bunga berkembang di sini, biarpun masih ada juga bunga-bunga yang mekar mengindahkan pemandangan...
Saya dan teman-teman merakamkan kenangan dengan anak pemilik restoran Turki sebelum berangkat pulang selepas makan malam.
Memilih restoran Turki sebagai tempat makan, membuatkan saya semakin bersedia untuk menikmati rasa makanan antarabangsa. Kerana sudah mengetahui kedatangan kami, pemilik restoran yang begitu ramah telah sedia menunggu. Makanan di sini agak sesuai dengan selera saya. Bagaimanapun serunding yang dibawa tetap menjadi makanan penting. Pemilik restoran datang mendekati saya apabila melihat saya tekun mencatat sesuatu. Apabila mengetahui saya seorang wartawan, beliau makin ramah dan memberikan kartu bisnesnya kepada saya.
Ya, kalau saya datang lagi ke Paris suatu hari nanti, pasti saya singgah ke restoran ini! Selepas menjamu selera kami pulang ke hotel kerana esok perjalanan masih panjang.






























No comments:

Post a Comment