Sunday, September 15, 2013

Jangan `jual' kebahagiaan keluarga kerana kerja

Nuri Supian


Sibuk! Perkataan ini memang sering menjadi sebutan bagi pasangan suami isteri yang bekerja atau yang berkarier.  Mereka turun dari rumah awal pagi dan bertemu semula di sebelah malam. Bayangkan boleh dikatakan keseluruhan masa siang mereka digunakan di luar rumah. Dan hanya kembali di sebelah malam setelah tubuh badan masing-masing layu dan keletihan.


Apabila pulang dalam suasana yang letih, dapatkah mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga. Isteri sudah tentu tidak dapat memberikan sepenuh keceriaan kepada anak-anak dan suami. Begitu juga dengan suami terhadap isteri dan anak-anaknya. 


Dalam kehidupan harian yang penuh mencabar, di mana tuntutan ekonomi menjadi perkara penting dalam sesebuah rumah tangga, keperluan isteri untuk turut menyumbangkan hasil bagi memantapkan ekonomi keluarga seolah-olah sudah menjadi satu kemestian pula dewasa ini. Apabila suami dan isteri bekerja di luar rumah, anak-anak sudah tentu menjadi tanggungjawab pengasuh. Ini memang tidak dapat dielakkan.


Oleh itu, mencari masa bagi pasangan berkarier ini juga merupakan satu cabaran berat yang perlu mereka atasi dengan sebaiknya. Jika mereka tidak melakukan sesuatu untuk menanganinya, pasangan atau anak-anak pasti akan rasa terpinggir dan terbiar. Lebih teruk lagi, jika mereka merasakan diri mereka tidak sayangi.


Untuk itu pesan saya kepada semua pasangan yang bekerja terutama wanita, sesibuk mana pun kita, masih ada insan yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita. Luangkanlah masa untuk tetap memberi keutamaan kepada orang-orang yang kita sayangi ini. Gunakan apa sahaja kesempatan masa, sama ada ketika cuti, malam selepas waktu makan dan sebagainya untuk memupuk kasih sayang yang terbiar sepanjang masa kita bekerja itu.



Kita bekerja untuk kebahagiaan bersama, jadi tidak ada maknanya jika kita mampu memberikan kesenangan material, tetapi jiwa mereka kosong dan gersang daripada kasih sayang. Dan kita pun tidak mahu mereka mencari jalan lain untuk mengisi kekosongan jiwa itu. Jika ini terjadi, kita yang akhirnya akan rugi...





No comments:

Post a Comment