Tuesday, September 24, 2013

Hati tersentuh di masjid besar dan Sungai Seine...

NURI SUPIAN



Dari Versailles Palace, kami mengelilingi kota Paris sambil merakamkan gambar-gambar bangunan yang unik pembinaannya dan mempunyai tinggalan sejarah dalam catatan dunia. Setelah puas pusing keliling kota, kami makan tengah hari di Tresor Du Khasmir. Makan tengah hari paling menyelerakan selepas hari pertama sampai di kota Paris. 
Kami telah dijanjikan untuk ke masjid terbesar dan tertua yang satu-satunya ada di Paris. La Grande Mosque of  Paris/Great Mosque of Paris, (Masjid Besar Paris) yang terletak di The Ve arrondissement, adalah tempat umat Islam di Paris beribadah.
Masjid ini dibangunkan selepas perang dunia pertama  sebagai penghormatan Perancis kepada para tentera Muslim yang turut  berjuang menentang Jerman. Tinggi menara masjid ini adalah 33 meter, dan mimbarnya hadiah daripada Raja Mesir Fuad I pada tahun 1946.
Masjid itu dipimpin oleh seorang mufti yang bernama Dalil Boubakeur (ash-Shufi), yang juga bertindak sebagai  Ketua Persatuan Muslim Perancis yang ditubuhkan pada tahun 2002.
 Pemandangan di dalam La Grande Mosque of  Paris/Great Mosque of Paris (Masjid Besar Paris).

Tidak mungkin melepaskan peluang untuk merakam kenangan di persekitaran masjid besar ini kerana peluang untuk ke sini lagi, belum dapat ditentukan...

Masjid Besar Paris ini, dibina dengan binaan begitu indah. Terdapat taman-taman bunga dan air pancuran di perkarangan tengah masjid dan juga restoran di dalam kawasan yang sama.  Ketika kami sampai ke masjid ini, waktu Zohor sudah masuk. Sayang sekali saya dan beberapa ahli rombongan wanita yang lain tidak dapat masuk ke dalam masjid kerana berhalangan. Kami hanya berpuas hati dapat melihat persekitaran masjid dan menjenguk-jenguk hanya dari luar. Namun saya tetap menundukkan wajah dan berdoa agar Islam terus subur bersemi di bumi Perancis. Alhamdulillah, sebelum ini saya tidak pula membayangkan akan ke sebuah masjid yang begitu indah dan besar ke tengah kota Paris, kerana ia tidak ada dalam jadual perjalanan. Inilah yang dikatakan kuasa Allah. Kalau Allah mahu memberikan sesuatu tidak ada siapa yang tahu. Inilah rezeki yang tidak disangka-sangka!
Aparment ini betul-betul berada di hadapan masjid besar. Ia nampak kemas dan teratur. Pemandangannya juga amat mengasyikan apabila masih ada bunga-bunga segar menghiasi koridor aparment ini, biarpun musim luruh sudah bermula...

Keindahan taman di perkarangan masjid membuatkan kami tidak terasa lama menanti yang lain-lain selesai bersolat. Di luar masjid terdapat beberapa orang wanita Muslim memohon sumbangan derma sambil berusaha menjual sesuatu.
Sebagai mengabadikan kenangan di sini, kebanyakan daripada kami merakamkan gambar-gambar di dalam masjid ini. Masing-masing merasakan `belum tentu akan sampai ke sini lagi’.
Sudah puas melihat-lihat masjid besar ini, kami meneruskan perjalanan untuk menaiki bot persiar  menyelusuri Sungai Seine. Sebelum sampai waktu menaiki bot, kami dibawa dahulu melihat-lihat gedung paling mewah di Paris iaitu  butik LV (Louis Vuitton), kemudian singgah di depan Arch de Triomphe yang tidak jauh dari pusat beli-belah panjang di Champs Elysees. 
Di sepanjang jalan Champs Elysees  terdapat deretan kedai-kedai barangan berjenama yang terkenal di dunia. Kami juga sempat melihat sebuah cafe paling mahal di Paris dan menjadi tempat berkumpulnya para artis glamor dunia terutama artis Hollywood. Sayang sekali kami tidak sempat singgah di cafe ini kerana dikatakan harga secawan kopi di sini hampir RM80.
Antara cafe termewah di Kota Paris kerana di sinilah tempat berhimpunnya ramai artis-artis popular hollywood dan dunia jika mereka datang ke kota fesyen ini. Saya tidak akan menghabiskan begitu banyak wang hanya sekadar untuk menikmat secawan kopi. Jadi saya tidak dapat memberitahu mengenai keenakan kopi atau makanan di cafe ini.
Kata Ila cukuplah kita bergambar di sini saja. Tak payahlah kita ke dalam...
Butik LV hanya bersebelahan dengan Cafe Fouquets. Rakyat Perancis `mencipta syurga' dunia di sini
Biarpun di butik LV (Louis Vuitton) ini harga barangannya beribu-ribu ringgit namun orang ramai sentiasa penuh di dalamnya. Ya ada orang amat mementingkan jenama.
Peta-peta penunjuk arah ini ada di setiap stesen. Peta ini bukan sahaja memudahkan penduduk tempatan tetapi amat berguna untuk pelancong yang datang ke kota metropolitan ini. Kita begitu jelas di mana kedudukan kita di kota itu jika memerlukan pertolongan. Kita boleh membaca arah dan memberitahu di mana kita berada jika tercicir keseorangan...
Arch de Triomphe didirikan sebagai lambang kemenangan Perancis dalam peperangan. Kota ini digelar sebagai kota kemenangan oleh rakyat Perancis.

Arch de Triomphe di dirikan oleh Napoleon Bonaparte sempena kemenangan Perancisdalam peperangan. Orang Perancis memanggil kota ini sebagai kota kemenangan.
Kami tidak boleh lama di situ kerana bimbang terlepas lagi waktu naik bot persiar. Sampai di tepi sungai Seine, Bateaux Mouches Cruise sudah sedia menanti. Kami diberi tiket dan masuk ke dalam bot persiar. Saya memilih untuk naik ke tingkat atas, bot dua tingkat ini.

Inilah Sungai Seine dirakam dari atas menara Eiffel. 
 Bot-bot persiar yang membawa pelancong menikmati keindahan bandar di kota Paris di sepanjang sungai Seine.

 

 
Inilah pemandangan yang sempat dirakam sepanjang perjalanan mengharungi Sungai Seine. Suasana musim luruh begitu terasa ketika ini. Pokok-pokok di sepanjang sungai dan di bandar-bandar kebanyakannya sudah berwarna kuning. Pemandangan yang tidak puas-puas dilihat. 
Kini Putrajaya juga sudah menjadikan sungai di bandar itu sebagai tarikan pelancong dengan menyediakan bot persiar. Semoga Malaysia tanahairku juga tidak kalah dengan kehebatan pemandangannya...

 Inilah pengalaman paling indah yang saya rasakan. Menaiki bot sambil menyelusuri Sungai Seine yang panjang. Di kiri kanannya pula terdapat bangunan-bangunan bersejarah di Perancis. Tidak puas, mata saya memandang ke kiri dan kanan kerana kedua-dua sisi pemandangannya memantulkan keindahan tersendiri. Jika di sebelah kanan ada bangunan antik dan unik, di sebelah kiri sungai pula terdapat rimbunan pohon-pohon yang kebanyakannya sudah berwarna kuning kerana musim gugur sudahpun tiba. Sebelum ini pemandangan seindah itu hanya saya tatap di dalam gambar ataupun di internet sahaja. Kini semua keindahan alam ciptaan Allah ini sudah berada di depan mata. Ia tidak mungkin saya lupakan!
Tuhan telah tunaikan impian saya yang tersimpan sejak lama ini. Sungai Seine dan Menara Eiffel sudah saya `tawan’. Namun perjalanan saya belum berakhir.



No comments:

Post a Comment