Saya menerima panggilan telefon daripada seorang ibu, minta
diberikan nombor telefon beberapa ustaz terkenal. Tujuan ibu ini untuk meminta
ustaz-ustaz tersebut mendoakan kejayaan anaknya yang bakal menduduki
peperiksaan dan kalau boleh si ibu penyayang ini mahu minta ustaz tersebut
memberikan air penerang hati untuk anaknya itu.
Sebelum memberikan nombor yang diminta, sempat juga saya
berbual-bual dengan ibu ini mengenai anaknya. Dalam perbualan itu, saya dapat
meneka kerisauan hati si ibu. Dia
bimbang anaknya gugup menghadapi kertas-kertas peperiksaan. Dia juga risaukan
anaknya tidak mampu menjawab soalan dengan tepat seperti yang dikehendaki. Saya
benar-benar dapat memahami perasaan si ibu ini.
“Dia anak harapan saya. Sebagai anak sulung, saya mahu
dia berjaya dengan cemerlang. Tapi anak saya itu, banyak buat kerja lain
daripada menelaah pelajarannya. Sebab tu saya bimbang dia tak dapat jawab
soalan dengan baik. Kalau dapat bantuan ustaz untuk doakan anak saya dan dapat
air penerang hati, sekurang-kurangnya boleh bantu dia tenangkan hatinya. Dia
nampak tertekan sekarang.” Luah ibu ini mengenai kerisauannya terhadap prestasi
si anak.
Dalam kesempatan itu, saya cuba memberi sedikit pendapat
berdasarkan pengalaman sendiri. Saya katakan, doa ustaz dan orang-orang yang
alim dalam agama memang baik, tetapi doa seorang ibu adalah lebih baik daripada
segala doa. Doa seorang ibu, cepat Allah makbulkan. Sebabnya, ketika berdoa kita membayangkan kejayaannya,
kita sebut namanya dengan penuh kasih sayang dan kita boleh belai dirinya
dengan sentuhan cinta dalam doa itu.
Pihak lain, boleh membantu tetapi tentulah berbeza jika
kita sendiri yang bangun di tengah malam, bermunajat, berdoa dan memohon sambil
menyebut nama anak kita itu. Pihak lain, sekadar menyebut nama tanpa dapat
membayangkan wajah anak kita. Doa mereka memang ikhlas, tetapi apakah ia mampu
mengatasi keikhlasan doa ibu bapa anak itu sendiri. Doa yang tidak memerlukan apa-apa imbalan
selain mahu melihat kejayaan orang yang kita kasihi.
Dalam berdoa pun ada syaratnya. Doa haruslah disertakan
dengan usaha. Sebaldi air penerangan hati pun diminum, tetapi jika tidak ada
tindakan susulan iaitu usaha yang berterusan, sukar juga doa itu termakbul.
Memang tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Inilah peranan sebenar kita dalam
membentuk peribadi anak-anak. Kita harus terapkan ke jiwanya bahawa jika
mahukan sesuatu, dia harus berusaha mendapatkan. Jika mahu berjaya cemerlang,
belajarlah dengan cemerlang. Kerana belajar itu juga ibadah. Pasti Allah akan
nilai ibadah tersebut.
Biarpun saya tidak berniat sedikitpun mengajar si ibu ini,
selain daripada hanya mahu berkongsi pengalaman namun dia dapat merasakan
kebenaran daripada apa yang saya katakan itu. Katanya, sebelum ini setiap kali
anak-anaknya akan menghadapi peperiksaan, dia akan sibuk mencari air penerang hati
atau produk-produk penerang hati yang berasaskan keislaman untuk membantu
anaknya menghadapi ujian peperiksaan. Bagi saya, itu adalah salah satu
usahanya. Usaha seorang ibu yang mahu melihat anak-anak berjaya.
Namun selepas kami berbual-bual itu dia sudah `tersedar’ bahawa
dialah `produk doa’ yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anaknya. Sebagai
ibu bapa, kita jangan sesekali berhenti daripada berdoa untuk kebaikan dan
kesejahteraan anak-anak kita...
No comments:
Post a Comment