Wednesday, September 25, 2013

Perjalanan panjang ke Amsterdam

NURI SUPIAN




Perjalanan ke Masjid Besar Paris atau La Grande Mosque of  Paris, adalah perjalanan yang tidak diduga. Menuju ke masjid ini saya umpamakan sebagai perjalanan rahmat. Saya terpukau dan sendu melihat persekitaran masjid ini yang begitu mendamaikan. Dan ramainya Muslim yang bersolat di sini. Kemudian perjalanan menyelusuri Sungai Seine memberikan satu perasaan halus dan sukar digambarkan. Saya menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini sepenuh jiwa.
Sebaik bot persiaran, Bateaux Mouches Cruise berlabuh semula di pelabuhannya, kami melangkah turun dengan satu kenangan manis. Disebabkan masa masih ada untuk berjalan-jalan, ramai yang membuat permintaan untuk singgah semula di  Montmartre Hill. Memilih tempat ini kerana di situ terdapat banyak kedai-kedai menjual cenderahati dengan harga berpatutan.
Kebanyakan kami mengambil peluang membeli barangan cenderahati di sini untuk dibawa pulang. Cenderahati yang paling laris dan kebanyakannya dibeli adalah pemegang kunci, pelekat peti sejuk, topi, selendang, replika Menara Eiffel, dan T-Shirt.


 
Puas kami meronda-ronda dan pusing kota serta merakam tempat menarik. Seni bina bangunan di Eropah hampir sama di kebanyakan tempat. 
 Ini adalah hotel Ritz tempat terakhir Lady Diana dan Dodi Al Fayed menginap sebelum mengalami kemalangan tragis di sebuah terowong di Kota Paris.
Kami sempat dibawa ke terowong di mana tempat Lady Diana menemui ajalnya. Hanya dapat merakam dari dalam bas kerana bas tidak dibenarkan berhenti di terowong ini.
 Di persekitaran tempat pelancong menaiki bot persiar. Bot-bot ini sedang menanti pelanggan.
 Shopping dan shopping lagi. Walaupun sudah banyak yang dibeli tapi nampak setiap kali ada peluang ke tempat membeli-belah, pasti ada yang dipegang dan dibawa pulang. Bukan hanya perempuan, lelaki pun nampaknya sama hebat dalam bab shopping di sini. Mungkin terasa rugi jika tidak membeli.
 Salah satu tempat agak murah untuk membeli-belah. Ia hanya bersebelahan dengan gedung mewah. Tetapi harga di sini lebih `bertimbang rasa'... Pakaian lelaki berkualiti tinggi dan t-shirt menjadi tarikan tempat ini di kerumuni...


Perjalanan mengelilingi kota Paris sudah selesai mengikut jadual, walaupun masing-masing terasa masih belum puas menikmati keindahannya. Sebenarnya ada kejutan lain yang menanti kami. Hari yang sepatutnya diperuntukkan untuk aktiviti bebas telah bertukar menjadi lawatan ke Belanda. Walaupun perjalanan ke Amsterdam, Belanda dengan perbelanjaan sendiri tetapi ramai yang tidak menolaknya kerana kos ke Belanda dari Perancis jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos jika pergi dari Malaysia. Namun ada juga yang tidak menyertai perjalanan ke Amsterdam, kerana belum puas menjelajah Paris.
Pemandangan yang dirakam sepanjang perjalanan dari Paris ke Belgium seterusnya ke Amsterdam.
Memandang perjalanan ke Belanda memakan masa lebih dari enam jam, kami bertolak  awal pagi dengan menaiki bas. Meredah kesejukan pagi, bukan masalah besar buat kami semua kerana pemandangan sepanjang perjalanan ke Belanda sangat indah. Kami sempat singgah di Belgium sebelum meneruskan perjalanan ke negara kincir angin itu.
Hampir pukul dua petang baru kami sampai ke Amsterdam. Disebabkan sampai waktu tengah hari, kami terus dibawa makan tengah hari.
Bangunan-bangunan di Amsterdam berbeza dengan bangunan yang terdapat di kota Paris. Ada keunikan tersendiri. 

Walaupun penunjuk arahnya ada di serata tempat tetapi saya sukar membacanya kerana bahasa yang berbeza.

Nampaknya basikal bukan sahaja memainkan peranan penting kepada penduduk bandar di Amsterdam tetapi juga di kota Paris.
Ada sesuatu yang menyeronokkan sebaik kaki saya  menjejak bumi Belanda. Saya menjadi orang terakhir yang turun dari bas hari itu. Disebabkan agak tergesa-gesa, kerana bas tidak boleh lama berhenti di tempat tersebut, membuatkan saya tidak menoleh ke kiri dan kanan apabila keluar dari perut bas. Kebetulan, sebuah basikal yang ditunggang seorang wanita cantik hampir melanggar saya. Kerana masing-masing terkejut, terpantul perkataan, “maafkan saya” secara serentak antara saya dengan wanita  itu.
Saya memandang legat, kenapa wanita berwajah Belanda ini boleh berbahasa Melayu? Melihat kehairanan saya itu, wanita tersebut bersuara semula, “Dari Malaysia? Saya orang Indonesia. Selamat bertemu.” Ujarnya.
Kami berjabat tangan  tetapi perbualan kami hanya sekejap kerana saya bimbang ditinggalkan oleh rakan-rakan yang sudah menyeberangi jalan menuju ke restoran. Kami saling mengucapkan salam perpisahan dan gembira dengan pertemuan tidak sengaja itu.
“Semoga ibu gembira selama berada di sini,” ujarnya sebelum meninggalkan saya. Ini adalah pertemuan yang tidak diduga, namun saya memang tahu, ramai warga Indonesia yang sudah menjadi warga Belanda. Hampir 25 peratus rakyat Indonesia menetap di Belanda sejak lama. Kita pun tahu bahawa Belanda telah menjajah Indonesia selama 342 tahun, jadi tidak hairanlah rakyat Indonesia bertebaran di sini.
Di restoran ini kami menjamu selera. Puas rasanya dapat makan makanan yang kena dengan selera sendiri...
Bergambar sebelum menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke kincir angin. Waktu siang di Belanda ketika ini lebih cepat daripada malam. Baru pukul 2 lebih hari sudah redup seperti telah pukul empat di negara kita.

Disebabkan itu saya tidak terkejut lagi apabila kami dibawa masuk ke sebuah restoran yang sangat berbunyi Melayu, `Restoran Desa’, untuk makan tengah hari. Sekali lagi saya menjamu selera dengan sepenuh hati. Di sini juga disediakan tempat bersolat. Dan pelayan-pelayannya semua dari Indonesia. Sayang sekali saya tidak dapat bertemu dengan pemilik restoran itu,  kerana dia ada urusan di tempat lain.
Seperti biasa, kami harus mengejar masa kerana waktu siang yang singkat di sini. Kami bimbang cuaca yang gelap kerana nak hujan akan melenyapkan impian kami untuk bergambar di depan kincir angin...



1 comment:

  1. Betul la, mesti ramai rakyat Indonesia menjadi warganegara Belanja.

    ReplyDelete