Monday, September 30, 2013

Kitalah yang perlu berubah

 NURI SUPIAN



Seorang kawan mengadu, ibunya sejak akhir-akhir ini begitu cerewet. Serba tak kena dibuatnya. Ada-ada sahaja perkara yang tidak berkenan di hatinya. Bukan itu sahaja, dia mulai bimbang anak-anaknya sudah mula kompelin, mereka sudah tidak betah dengan sikap nenek mereka itu. Saya hanya mendengar. Berbeza pandangan kami kali ini.
Bercakap mengenai ibu ini, saya ada pendirian sendiri. Bagi saya kasih ibu tak boleh ditukar ganti dengan apa sekalipun. Kasih ibu tak boleh dibuat perbandingan. Setiap hari saya berdoa agar dosa-dosa ibu diampunkan Allah. Setiap hari juga saya berdoa agar diampunkan dosa kerana mungkin mengecilkan hati ibu.  Setiap masa juga saya belajar memahami hati seorang ibu. Saya takut ibu kecewa dengan sikap saya. Saya takut, apabila saya menganggap ibu sebagai bebanan terhadap mental saya, kelak anak-anak akan beranggapan yang sama terhadap diri saya. Saya menjadi beban mereka.
Ibu semakin tua. Sudah tentulah ketuaan itu membawa perubahan terhadap dirinya. Tidak seperti ibu ketika zaman mudanya dulu. Kalau dulu leteran ibu memarahi saya kerana mahu saya menjadi anaknya yang semakin baik setiap hari, hari ini kalaupun ibu cerewet, itu kerana ibu masih menganggap saya anaknya yang perlu diberi tunjuk ajar. Seorang ibu tidak pernah berasa cukup memberi pelajaran dan pengajaran kepada anak-anak, kerana biarpun sudah berumah tangga dan berkeluarga sendiri, ibu terus memainkan peranannya sebagai orang tua.
Bimbang anaknya cuai mendidik anak-anak sendiri yakni cucunya, dia pasti tidak akan teragak-agak memberikan perhatian sehingga ada kalanya, anak cucu berasa rimas dan tidak selesa. Inilah kesalahan kita dalam menilai kasih sayang sejati seorang wanita tua bernama ibu. Kita tidak sedar bahawa ketulusan hati ibu tidak pernah berubah. Dia tetap menganggap kita seperti dulu. Seorang anak yang perlukan ibu!
Kerana itu, kerap juga berlaku pertelingkahan antara ibu mentua dan menantu apabila si ibu, sukar melepaskan `si jantung hatinya’ dipelihara oleh orang lain. Mereka bimbang `orang luar’ tidak mampu memberi  kasih sayang setulus kasih sayang yang dicurahkannya kepada anaknya. Itulah ibu yang patut kita fahami.
Satu perkara yang perlu kita ingat, kitalah yang perlu belajar memahami hati orang tua. Kitalah yang perlu berubah untuk menyesuaikan diri dengan perubahan diri ibu bapa kita.   Bukan ibu bapa yang perlu mengubah dirinya untuk memahami kita! Ingat itu! Saya ingat, anda pun ingat! Suatu hari kita pun akan jadi orang tua...


Mekarnya mawar selembut dan seharum kasih ibu...


No comments:

Post a Comment