Nuri Supian
Tidak ada sesiapa pun di dunia ini mahu mahligai yang dibina berantakan atau
hancur di tengah jalan gara-gara
kehadiran orang ketiga. Namun sejak kebelakangan ini banyak pula kes-kes
seumpama ini terjadi. Siapa sahaja yang mengalami keadaan ini sudah pasti rasa
terpukul, sangat marah, sakit hati, benci dan sebagainya. Ekoran daripada itu
walaupun rumah tangga mereka berjaya diselamatkan semula, namun rasa percaya
pasti hilang kalau tidak semua pun, sebahagiannya akan dipenuhi rasa curiga.
Mereka takut pisang berbuah dua kali.
Selain itu saya percaya, kesan daripada kecurangan dalam rumah tangga atau
ketidaksetiaan pasangan dalam hubungan suami isteri, pasti membuatkan orang
yang berasa dianiaya ini, tidak mampu membangun semula rasa cinta, sama seperti
ikatan itu sebelum dicerobohi. Rasa hormat juga pasti akan merosot.
Sukar sebenarnya untuk saya membayangkan keadaan hubungan perkahwinan yang
telah dibungai oleh pengkhianatan itu. Sebab biarpun kita tahu, sebagai manusia
semua orang tidak sempurna dan pasti melakukan kesilapan, namun mengkhianati
ikatan suci adalah kesilapan yang membabitkan perasaan. Perasaan adalah sesuatu
yang halus dan memberi kesan berpanjangan di dalam minda orang terbabit. Mungkin
dia boleh memaafkan dan menerima pasangannya semula, tetapi sejauh mana dia
mampu melupakan apa yang telah terjadi.
Kerana itu, saya sedia maklum ramai wanita yang memaafkan suaminya dan
menerima mereka kembali tetapi hubungan selepas itu tidak semesra dulu. Ini
kerana penerimaan yang dibuat mungkin bersyarat atau kerana sesuatu, mungkin
kerana anak, kerana bimbangkan gelaran yang bakal disandang atau bimbangkan
masa depan.
Kerana itu, saya merasakan bagi anda yang mengalami perkara ini,
berhati-hatilah. Jika anda mahu menerima dan memaafkan pasangan lakukanlah
dengan ikhlas. Jangan meletakkan syarat sebab cinta yang mahu dibina semula itu
sudah tidak murni lagi. Ia hanya nampak tenang di atas tetapi sebenarnya
bergolak hebat di bawah. Ini amat bahaya kerana ketegangan dan keretakan
bila-bila masa boleh berlaku semula.
Pengalaman seorang kenalan dalam menempuhi ranjau perkahwinan yang diwarnai
orang ketiga ini dapat saya andalkan untuk menjadi teladan semua. Dia seorang
wanita bekerja. Kesibukannya dijadikan alasan suami untuk main kayu tiga.
Mulanya hanya sekadar suka-suka akhirnya melekat. Kecurangan itu akhirnya
sampai ke pengetahuan wanita tersebut. Ribut mula melanda rumah tangga, tetapi
kerana sayangkan anak-anak dia mempertahankannya apabila suami memohon maaf dia
menerimnya kembali tetapi wanita itu menjadi prejudis dan kerap berprasangka.
Langkah suami sentiasa dicurigai sehingga akhirnya suami berasa terkongkong dan
amat tertekan. Dan suami itu melepaskan tekanan tersebut dengan menghabiskan
masa di luar rumah. Keadaan itu berlarutan agak lama sehingga kedua-duanya
seperti hidup dalam sebuah rumah api yang panas membara. Hasrat kembali
bercantum kerana sayangkan anak-anak tidak tercapai, sebaliknya keadaan makin
parah. Akhirnya wanita ini mengalami tekanan jiwa.
Keadaan inikah yang kita inginkan?
Kalau anda mengatakan tidak, baik saya sarankan agar anda jangan
memulakan langkah menodai rumah tangga tanpa alasan yang benar-benar boleh
diterima. Jika ada kekurangan pada pasangan, berusahalah memperbaikinya bersama-sama
dan jangan mencari jalan keluar dengan membuat perhubungan sulit dengan orang
lain. Bina dan kukuhkan apa yang sudah ada dan pupuklah cinta sebab sekali anda
memberikan isteri cinta yang murni sepuluh kali isteri akan membalasnya!
Ciptalah hidup yang indah dan mewangi...
No comments:
Post a Comment