Selesai segala urusan rukun haji, saya,
suami dan rakan-rakan saya bakal berangkat ke Madinah. Tempat di mana Rasulullah
disemadikan. Masjid Nabawi masjid kedua selepas masjidilharam yang dimuliakan
oleh Allah menjadi tumpuan kami pula selepas ini. Tanah suci Mekah akan saya tinggalkan dengan pelbagai perasaan.
Namun sepuluh hari sebelum meninggalkannya, saya dan rombongan kecil kami menjelajah
bumi kelahiran Rasulullah ini mencari jejak Rasul. Bersolat sunat di beberapa
masjid yang pernah dikunjungi dan disolati oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang berada di bumi Mekah ini pelbagai peristiwa aneh, gembira, yang menduga hati, melihat kebesaran Allah dan bermacam lagi, mengajar saya menjadi hamba yang redha, bersyukur, ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri. Biarpun sebagai manusia biasa, saya tetap melakukan kesilapan, namun hati saya sentiasa diketuk untuk ingat bahawa hidup ini hanya sementara. Esok, lusa belum tentu saya masih wujud di sini
Sepanjang berada di bumi Mekah ini pelbagai peristiwa aneh, gembira, yang menduga hati, melihat kebesaran Allah dan bermacam lagi, mengajar saya menjadi hamba yang redha, bersyukur, ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri. Biarpun sebagai manusia biasa, saya tetap melakukan kesilapan, namun hati saya sentiasa diketuk untuk ingat bahawa hidup ini hanya sementara. Esok, lusa belum tentu saya masih wujud di sini
Haji Mansor atau Pak Chot, lama kami tinggal berjiran tetapi Allah pertemukan kami di Tanah Suci dan menjalin silaturahim bermula dari Kota Mekah... Subhanallah!
Bukan hanya mengutip cerita sendiri tetapi peristiwa kecil yang berlaku kepada orang lain dan orang yang terdekat dengan saya turut memberi pelajaran berguna. Kisah bagaimana pertemuan dengan jemaah yang tinggal di blok apartment yang sama di tanah air, turut memberitahu saya dan suami, betapa lemahnya kami sebagai jiran tetangga sebelum itu. Hampir lima tahun kami tinggal berjiran (ketika itu saya masih tinggal di apartment), dia di tingkat 7 sementara saya di tingkat 12, tetapi kami tidak pernah kenal dan berkenalan. Kalau bersilih pun mungkin ketika di dalam lif atau berpas-pasan di mana-mana.
Pak Chot bukan sahaja menjadi rapat dengan suami dan saya tetapi turut menjadi rakan karib kami berlima. Haji Zakaria, Haji Kana, saya, Pak Chot dan Haji Hamzah. Seorang lagi Haji Ali. Dia yang merakamkan gambar kami berlima ini...
Pertemuan penuh makna itu akhirnya membuahkan hubungan yang rapat di antara kami. Ia menjadi seperti keluarga sendiri sehingga hari ini. Kisah pertemuan dengan Haji Mansor atau kami panggil Pak Chot itu membuatkan kami mulai memerhati jiran tetangga setelah pulang ke tanahair. Tidak kira siapa mereka, Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam. Kami terasa Allah sedang memberitahu betapa `sombongnya’ kami sebelum ini. Betapa mementingkan dirinya kami sehingga tidak peduli untuk kenal siapa jiran yang tinggal bersama kami di blok itu selain yang tinggal sebelah menyebelah. Pelajaran itu amat berguna...
Perkenalan dengan Pak Chot juga memberi kebaikan kepada kami kerana lelaki itu sebelum ini sudah beberapa kali ke Mekah dan Madinah kerana mengerjakan umrah. Jadi banyak tempat-tempat yang sudah diketahuinya. Bersamanya, kami meneroka bumi Mekah selepas selesai mengerjakan ibadah haji. Kami sempat ke perkuburan Ma’ala dan mencari tempat makan yang menjadi kegemaran jemaah dari pelbagai negara. Dia juga sudah biasa dengan kerenah orang-orang Arab, apalagi para peniaganya. Ini memudahkan kami ketika ingin membeli sesuatu. Ya begitulah aturan Allah.
Kami dan Haji Mansor telah menjadi seperti saudara sendiri sebaik sahaja bertemu di Tanah Suci. Jalinan persaudaraan yang paling indah...
Kami berjalan-jalan sekitar kota Mekah, setelah selesai segala rukun haji. Ketika ini adalah minggu-minggu terakhir, kami berada di Kota Mekah.
Di Mekah juga suami saya sempat berkongsi kisah, apabila dia bertemu dengan seorang pemuda kacak. Pemuda itu meminta wang sepuluh riyal daripadanya. Kata pemuda itu, dia sedang mengumpul wang untuk pulang ke negaranya. Ketika itu, suami kebetulan tidak membawa wang ke masjid dan jika bertemu esok, Insya-Allah akan diberikan. Pemuda itu mengangguk. Masya-Allah, keesokan harinya selepas selesai solat Zohor ketika beriringan dengan suami untuk pulang ke hotel, tiba-tiba pemuda itu muncul di depan suami
Di sini tidak pernah sunyi dengan manusia, setiap masa, 24 jam.
Melihat wajahnya, suami terus teringat janji semalam. Suami memberikan wang seperti yang dijanjikan dan dia kelihatan amat gembira. Dalam sesaknya kota Mekah, dan dalam kesibukan ribuan manusia hilir mudik, dia masih mampu mengingati wajah suami dan berjaya menemui, biarpun bukan di tempat yang sama. Begitulah kehendak Allah. Kisah-kisah sebegini sengaja saya kongsikan kerana ia memberi pelajaran secara sengaja ataupun tidak sengaja kepada saya.
Dalam catatan ini juga saya ingin mengimbau sebuah kisah mengenai seorang wanita yang pernah menelefon saya (selepas saya pulang ke tanah air dari tanah suci). Dia melahirkan rasa bimbangnya untuk mengerjakan rukun haji. Dia berasa dirinya belum bersedia dan banyak dosa.
Katanya, namanya tersenarai untuk mengerjakan haji pada tahun yang sama dengan saya, tetapi mungkin kerana belum sampai seru, dia tidak terpanggil sehingga penerbangan terakhir berlepas ke tanah suci.
“Nasib baik juga saya tidak pergi, sebab saya belum benar-benar bersedia ketika itu, walaupun dalam hati sangat teruja untuk ke tanah suci. Saya takut!” Ujar wanita ini kepada saya.
Saya mendengar dengan baik. Dia juga bercerita apa yang menjadi sumber ketakutannya. Saya sedia maklum kerana bukan dia sahaja yang mengalami perasaan seperti itu, ramai lagi bakal jemaah termasuk saya sebelum melangkah ke tanah suci, berperasaan demikian.
“Allah penuh dengan kasih sayang. Jangan kita pertikaian kasih sayang itu. Bermohonlah kepada-Nya, pasti dia akan memberi.” Itu kata-kata yang dapat saya sampaikan kepada wanita ini. Saya tahu ketakutannya memang luar biasa.
Sebagai hamba-Nya, kita memang sukar melepaskan diri daripada melakukan sebarang kesalahan dan melakukan dosa-dosa. Namun selagi kita sedar, kita masih berpijak di bumi Allah dan menjunjung langit-Nya, selagi itulah Allah akan memberikan kita petunjuk dan pelindungan. Dosa pasti diampunkan jika kita memohon keampunan itu dengan bersungguh-sungguh.
Biar saya cerita satu pengalaman bagaimana peringatan Allah kepada hamba-Nya, sebagai menunjukkan kasih sayang-Nya. Kisah ini diceritakan oleh seorang hamba Allah, ketika kami selesai menunaikan solat di Masjidilharam dan sedang menunggu giliran untuk minum air zam-zam yang disediakan di dalam masjid berhadapan dataran Kaabah.
Dia berkisah tentang pengalamannya yang sentiasa berasa dahaga biarpun sudah minum berbotol-botol air. Semakin diminum semakin dahaga. “Saya hairan dan sangat takut. Sampaikan saya berasa tidak selesa kerananya. Ketika dalam sembahyang pun saya rasa sangat dahaga,” cerita hamba Allah ini.
Di Tanah Suci ini pelbagai peristiwa yang terjadi membuat kita berfikir dan bermuhasabah diri. Allah menunjukkan kebesarannya dengan pelbagai cara. Bersyukur jika kita sedar, diri sedang diuji...
“Cuaca memang panas. Saya pun selalu dahaga. Kita pun sering dipesan supaya
banyak minum air,” ujar saya menyedapkan hatinya. Dia terdiam, tetapi kemudian
berkata perlahan kepada saya, “Allah sedang memberitahu saya, mengenai
dosa-dosa lalu saya melalui rasa haus ini. Saya ahli perniagaan dan selalu
berasa apa yang diberi Allah tidak mencukupi. Makin banyak diberi, saya berasa
semakin tidak cukup. Ini ingatan untuk saya sebagai tanda Dia masih sayangkan
saya dan mahu saya bertaubat dan membuang rasa tamak itu. Saya sedar kesalahan
itu dan bermunajat serta memohon keampunan dengan sesungguhnya setiap malam di
Masjidilharam ini. Alhamdulillah, rasa haus itu hilang selepas saya melakukan
solat taubat. Saya bersyukur kerana mendapat peringatan Allah ketika masih di
dunia. Bayangkan jika saya alpa hingga akhir hayat saya,” ujarnya sebak dan tidak
mampu menahan air mata. Saya turut menangis bersamanya. Subhanallah.
Di sini tempat untuk kita merasa menghayati betapa hambanya diri kita ini. Allah Maha Besar.
Saya amat terharu dengan kisahnya. Katanya, dia mahu berkongsi pengalaman ujian itu kepada orang lain, agar masing-masing mendapat iktibar. Dan kisah itulah yang saya kongsikan bersama wanita yang menelefon saya itu, agar rasa takutnya dapat dilenyapkan. Tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa selagi kita bernama manusia. Apa yang penting kita mahu mengakui kesalahan itu dan memohon keampunan-Nya. Allah itu Maha Pengampun. Ya, saya juga mencari kebaikan di sebalik kisah yang diceritakan ini dan mensyukuri hidup ini apa adanya.
No comments:
Post a Comment