Friday, September 27, 2013

Paris, 1001 kenangan dibawa pulang

NURI SUPIAN



Saya sampai di Kinderdijk tempat terdapatnya 19 kincir angin di Belanda, ketika angin sedang bertiup kencang dan cuaca menjadi gelap. Hati berdebar kerana bimbang tidak sempat merakamkan gambar-gambar kincir angin itu. Mujur cuaca kembali cerah dan angin tidak lagi bertiup deras. Namun kami terpaksa berkejar-kejar untuk bergambar dan membeli cenderahati. Ini kerana ketika musim gugur hampir berakhir, semua kedai-kedai di sini ditutup awal. 
Biarpun terasa tidak puas berada di tempat ini, namun saya bersyukur sekurang-kurangnya saya sempat datang ke mari. Ketika malam telah berlabuh, rombongan kami bertolak semula ke Perancis. Kerana malam amat pekat dan tubuh terasa penat, kami semua tertidur sepanjang perjalanan dan hanya singgah sebentar di restoran makanan segera untuk makan dan berehat.
Walaupun hanya sekejap di Kinderdijk, saya sempat mendapat kenalan baru. Baik dan ramah. Beberapa perkataan Melayu sudah diketahuinya apabila saya menyebut datang dari Malaysia. Walaupun bersusah payah menyebut beberapa perkataan tetapi cukup buat saya bangga. Kerana itu saya tidak menolak apabila dia minta bergambar bersama. 
Singgah di restoran makanan segera ini di tengah-tengah malam buta. Walaupun lapar tidak ada satu pun mampu menyelerakan saya kecuali sekadar minum kopi panas di restoran ini.

Tengah malam kami sampai kembali ke hotel Holiday Inn di Paris. Tiba di hotel saya terus  mengemas bagasi kerana esoknya kami akan berangkat pulang ke tanah air. Saya melelapkan mata hanya sebentar. Selepas bangun subuh itu, saya terus bersiap-siap, kerana sebelum berangkat pulang kami diberi masa untuk melakukan aktiviti bebas. Apalagi, sudah tentu ramai yang mengambil kesempatan ini untuk menghabiskan baki-baki wang euro yang masih ada untuk bershopping. Saya juga tidak melepaskan peluang itu. Sebelum pulang saya mahu menatap bandar Paris sekali lagi, kerana tidak tahu bilakah saya akan kembali lagi ke sini.
Saya memilih menghabiskan masa untuk aktiviti bebas di pusat menjual barangan cenderahati di sekitar Clichy, La Villette, di La Butte Montmartre  kerana tempat ini berdekatan dengan hotel.  Seawal 8.00 pagi kami sudah berada di situ. Namun hanya ada beberapa kedai sahaja yang baru dibuka. Kebanyakan yang lain masih ditutup. Sementara menanti kedai dibuka, saya sempat mengambil gambar suasana pagi di Paris. Walaupun masih pagi tetapi Paris tetap sibuk dengan pelancong. Pagi itu saya melihat ramai pelancong dari beberapa negara lain memenuhi jalan-jalan di La Butte Montmartre.  Selain untuk melawat La Basilique du Sacre-Coeur (The Sacred-Heart Basilica) Montmarte Hill, ada juga yang ke situ untuk bershopping.  
Basikal ini tersusun rapi di stesennya dan penduduk Paris nampaknya lebih senang menunggang basikal untuk ke mana-mana di dalam bandar. Mereka boleh meletakkan basikal itu di mana-mana stesen selepas menggunakannya. Motor besar ini pula digunakan oleh polis peronda yang sentiasa mengawal keadaan dalam bandar. Saya kagum kerana mereka sangat berdisiplin dan amat bertanggungjawab dalam menjaga harta awam. Saya berdoa agar rakyat negara kita juga akan mempunyai kesedaran sivik yang lebih tinggi dalam urusan menjaga harta awam daripada orang barat ini suatu hari nanti...


Sesuatu yang menarik kota di Paris adalah  basikal sebagai alat pengangkutan yang efisien di sini. Di sepanjang jalan terdapat stesen basikal yang sememangnya untuk disewa kepada pelancong ataupun penduduk tempatan. Mereka boleh menyewa basikal itu untuk ke mana-mana di bandar ini dan boleh meletakkannya di stesen yang lain. Sayang sekali kami tidak sempat berbasikal di sana, cukuplah sekadar bergambar sahaja. Sementara itu polisnya pula sentiasa meronda di kawasan bandar dengan menggunakan motor besar. Stesen-stesen Metropolitan juga ada di setiap tempat. Jadi perjalanan untuk ke sana ke mari, menjadi amat mudah.
Suasana pagi yang menyegarkan. Jalan-jalan di Kota Paris pada waktu pagi memberikan kita satu pandangan mata yang sejuk dan syahdu. Tapi sayang  saya tidak sempat naik trem kerana mengejar masa.
Ini tandas awam tetapi saya tidak berani menggunakannya kerana ia akan terbuka sendiri apabila cukup masanya. Tak boleh saya bayangkan jika apa-apa berlaku ketika berada di dalamnya dan ia terbuka sendiri...

Setelah puas membeli-belah, saya harus pulang ke hotel kerana jadual berangkat ke tanah air  telah tiba. Tanah air bagaikan melambai. Perjalanan pulang pada tengah hari itu berjalan lancar. Dari Charles deGaulle Airport, Paris, kami sekali lagi transit di Dubai Internasional Airport. 
Kami mahu pulang. Selamat tinggal kota Paris. Ada umur kita berjumpa lagi...
Masih belum puas bershopping. Tengok dalam kapal terbang pun tetap mahu membeli-belah. Tak pa... mahu habiskan euro...
Walaupun seronok di tempat orang namun hati sentiasa ada di tanahair. Ada yang lebih menggembirakan saya di rumah nanti. Senyuman anak-anak dan suami sudah terbayang di mata...
Landskap di airport Dubai ini sangat cantik. Walaupun agak lama transit di sini sebelum berlepas pulang tetapi kami tidak jemu merayau-rayau di sini.
Comelnya kanak-kanak ini. Kami tidak dapat menahan diri untuk merakam gambar bersamanya. Terima kasih kepada si ayah kerana sedia meminjamkan anaknya kepada kami sebentar. Sungguh sporting mat saleh itu...
Posing-posing sebelum balik. 

Penerbangan yang memakan masa dua hari ini memberikan saya satu pengalaman baru apabila dapat menyaksikan pertukaran waktu siang dan malam dalam sekelip mata. Ketika matahari sedang terik, tiba-tiba cuaca terus menjadi gelap apabila kapal terbang merentasi dua sempadan. Kejadian alam ini walaupun fenomena biasa namun disebabkan inilah pertama kali saya mengalaminya, ia menjadi satu kenangan berguna untuk saya. Alangkah hebatnya keagungan Allah.
Hampir dua hari dalam penerbangan, badan terasa begitu letih namun kerana rindu pada tanah air membuatkan mata sukar dilelapkan ketika dalam kapal terbang. Wajah-wajah orang tersayang sudah terbayang di depan mata!  Bonjour Paris!


No comments:

Post a Comment