Thursday, September 26, 2013

Batang tulip dan Kincir angin

NURI SUPIAN




Meneruskan perjalanan ke Amsterdam, Belanda adalah perjalanan yang tidak termasuk di dalam jadual. Rancangan untuk ke Belanda atau juga disebut Netherlands ini, dibuat bagi memenuhi acara aktiviti bebas yang disediakan untuk peserta. Singgah di Belgium sebelum meneruskan perjalanan ke Belanda. Sampai di Belanda  ketika waktu makan tengah hari. Restoran Desa, memenuhi citarasa.
Kami tidak boleh berlengah kerana waktu siang di Belanda begitu singkat. Kami terus bertolak ke Kinderdijk, berdekatan kota Rotterdam di Holland untuk ke kincir angin, iaitu tujuan utama kebanyakan ahli rombongan apabila memilih Belanda berbanding London atau Switzerland yang turut disebut-sebut sebelum ini.  
Perjalanan menuju ke Kinderdijk penuh dengan debaran kerana keadaan cuaca kelihatan amat tidak menentu. Sesekali hujan rintik mengenai tingkap bas persiaran yang kami naiki. Cuaca juga amat mendung. Baru pukul 2.30 tapi suasana sudah hampir gelap...

Meneruskan perjalanan ke Kinderdijk, membuat hati berdebar kerana cuaca nampaknya tidak bersahabat. Awan mendung terlihat di langit. Dalam hati saya berdoa agar perjalanan ini lancar tanpa ada halangan. Alhamdulillah, walaupun menempuh perjalanan agak lama dari Amsterdam  untuk melihat kincir angin, akhirnya kami sampai juga.
Ketika tiba, angin sedang bertiup kencang sehingga sukar untuk mengambil gambar. Saya bimbang hujan turun kerana cuaca amat gelap sekali. Saya juga bimbang jika tidak dapat merakam gambar kincir angin sedangkan inilah tujuan utama kami ke sini.
Mujur juga cuaca kembali cerah dan angin tidak lagi bertiup kencang.  
Akhirnya gambar-gambar saya terakam di sini, walaupun terpaksa berperang dengan tiupan angin yang kencang... Sukanya saya. Sempat juga berposing dengan Kamizi.

Terasa puas di hati kerana berjaya merakam gambar-gambar di sini untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Angin sejuk yang membelai wajah terasa begitu syahdu. Melihat kincir angin itu, tiba-tiba saya teringatkan tanah air. Dulu ketika orang tua saya bersawah padi, kami menggunakan kipas angin yang dibuat daripada kayu untuk mengasingkan padi yang berisi dengan padi kosong. Cara tradisional itu mungkin pengaruh dari sini.
Mengapa kincir angin sinonim dengan Belanda, sedangkan sebenarnya orang Parsi yang pertama kali menggunakan kincir angin ini.  
Menurut sejarah, muka bumi Belanda dahulunya mempunyai banyak kawasan yang berada di bawah paras air. Jadi masyarakat di sana mengalihkan air itu dengan kincir air dan tanah basah dikeringkan dengan menggunakan kincir angin. Pada waktu revolusi di negara-negara Eropah, penggunaan kincir angin semakin berkembang sehingga penggunaannya menjadi penting untuk bidang pertanian dan industri. Kerana itu sehingga sekarang walaupun tidak lagi menggunakannya, masyarakat Belanda sangat menghargai kincir angin dan menjadikan 13 Mei sebagai hari kincir angin.
Di Kinderdijk terdapat 19 kincir angin dan pemandangan ini dari jauh begitu indah. Kerana itu tempat ini menjadi daya tarikan pelancong ke Belanda selain menyaksikan bunga tulip berkembang. Namun ketika saya datang ke mari, bunga tulipnya hanya tinggal batang sahaja kerana bunganya sudah gugur.
Tengok semuanya ceria di depan kincir angin. Alhamdulillah cuaca kembali pulih. Dapatlah kami menikmati suasana indah di Kinderdijk...
Kedai berlian dan jam tangan berjenama mewah. Saya belek-belek dan berkenan tetapi akhirnya letak semula. Ini bukan keperluan tapi hanya kehendak. Jangan ikutkan kata nafsu... 
Kuat pengaruh untuk membeli di kedai ini. Baru sampai je dah mula membimbit...
Tengok... saya pun tidak mampu menolak keinginan untuk membeli-belah. Harga di sini nampaknya lebih murah berbanding shopping di Kota Paris. Puas hati saya. Banyak duit saya laburkan ke sini...

Selesai menyaksikan kincir angin, kami singgah di kedai berbentuk cottage yang menjual pelbagai cenderahati, coklat, dan keju yang sememangnya menjadi tarikan utama Belanda.  Saya mencari terompah kayu tetapi kebanyakan  kedai sudah hampir ditutup menyebabkan  kami tidak boleh berlama-lamaan di sini. Rupa-rupanya kedai-kedai di sini di tutup lebih awal pada musim gugur yang menghampiri musim dingin. Semua peniaga menutup premis sebaik sahaja kami keluar dari kedai mereka.
 Kedai-kedai cenderahati ini terus ditutup sebaik sahaja kami semua melangkah keluar dari pintu kedai. Bayangkan hari baru pukul 6 petang tetapi gelapnya seperti sudah pukul 9 malam. Patutlah peniaga mahu lekas pulang. Pada mereka pada musim inilah mereka dapat pulang awal dan berehat lebih lama kerana malamnya yang panjang.


4 comments:

  1. salam..
    menarik review tentang kincir angin ni..
    berapa ye cost entrance?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih. memang seronok mengenali tempat orang lain. Saya pergi atas tajaan syarikat...

      Delete
  2. Bertuah nya. Bulan berapa kalian travel?

    ReplyDelete