Tuesday, October 1, 2013

Doronglah… dan berikan kepercayaan


 NURI SUPIAN



Anak-anak kita yang berusia 12 tahun, baru beberapa minggu ini selesai menjalankan tanggungjawab mereka terhadap peperiksaan besar bagi peringkat sekolah rendah iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ini termasuk anak bongsu saya. Waktu `gerunnya’ telah berakhir. Sekarang anak-anak itu sudah boleh tidur lena.
Berhasil dengan cemerlang atau sebaliknya terserah bagaimana cara mereka menjawab soalan tersebut. Bagi yang sudah bersedia sejak awal, tentulah tiada kerisauan di hati.  
Sekarang debaran kuat sedang berdag dig dug di hati anak-anak kita yang akan menghadapi peperiksaan PMR esok. Mereka akan berjuang, dan meluahkan apa yang sudah mereka pelajari dan timba sebelum ini, pada kertas-kertas peperiksaan. Ibu bapa teruslah berdoa. Inilah masa terbaik untuk kita bangun di tengah malam, meminta dan terus meminta... Allah Maha Mendengar.

Usaha dan doa
Ketika anak sulung dan anak kedua saya menghadapi peperiksaan PMR, saya menghadapi kerisauan yang hampir sama dengan apa yang dirasai oleh mereka. 
Saya faham dan sering diberitahu oleh kawan-kawan yang juga pakar motivasi, bahawa jangan berikan tekanan kepada anak-anak, kerana tekanan itu akan membuat mereka semakin stres. Saya berusaha menangani perasaan saya dengan baik, biarpun kadangkala ia sesuatu yang agak sukar.
Biarpun saya selalu berkata, “awak berusahalah sebaik mungkin, berikan tumpuan, tenangkan fikiran dan berdoalah kepada Allah, agar memudahkan awak menjawab soalan yang diberikan. Apabila sudah berusaha bersungguh-sungguh, selebihnya serahkan kepada Allah…” Sebenarnya jauh di sudut hati, saya sendiri resah, risau dan bimbang, adakah anak-anak saya itu mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Sebagai ibunya, setiap hari saya berdoa agar dia lulus dengan cemerlang. Akhirnya usaha mereka, dan doa saya, tidak Allah sia-sia. Mereka berjaya melepasinya dengan keputusan yang baik. Syukur Alhamdulillah.
Kini anak kedua saya sedang berjuang untuk peperiksaan SPMnya tidak lama lagi. Saya yakin apabila dia sudah berusaha dengan baik, Tuhan pasti akan membantu. Keyakinan ini saya sematkan di hatinya. Saya mendorongnya dan saya memberikan dia kepercayaan menentukan masa depan sendiri. Bagi saya keyakinan amat penting. Sebijak mana pun mereka, jika tiada keyakinan dalam diri, mereka sukar menjadi orang yang cemerlang.
Saya percaya, semua ibu bapa yang anak-anaknya sedang menghadapi saat penting dalam hidup mereka ini, akan merasai seperti apa yang saya rasakan. Berdasarkan pengalaman inilah yang saya mahu kongsi bersama anda semua. Kita boleh risau, kita boleh bimbang dan kita boleh mengharap, tetapi cara kita mesti positif. Dorongan dan doa kita akan membuatkan anak-anak tenang di dewan peperiksaan. 

Pentingnya target
Ada orang tidak berani meletakkan target atau sasaran tertentu, tetapi saya memberitahu anak-anak bahawa hidup ini memang perlukan target. Tanpa target atau sasaran, kita akan tenggelam di tengah gelombang. Dengan targetlah, kita tahu apa yang sepatutnya kita lakukan dan ke mana diri mahu kita arahkan...
Kini marilah kita sama-sama berdoa agar semua anak-anak kita menghalakan panah mereka pada sasaran yang tepat. Kita bimbing dan motivasikan jiwa mereka. Katakan jika mahukan sesuatu, mereka mesti lakukan sesuatu. Peperiksaan yang sudah, sedang dan akan anak-anak kita tempuhi umpama pintu yang membuka peluang dan kita berikan mereka ruang...
Sebagai pelajar si sulung telah menyelesaikan perjuangannya di dewan peperiksaan.
Nina si bongsu saya dan sepupunya Qayyum, baru selesai berjuang tapi masih mencari sasaran...
Anak lelaki saya, dia sudah selesaikan satu misi namun perjalanannya masih panjang. Dia mesti berani hadapi cabaran. Ketika meraikan hari bahagia mereka tahun lalu...
 
Nisha bersama sepupunya Azureen dan Elynn sedang dag dig dug  menghitung hari. Anis kini  berjuang di universiti untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor...
Hidup ini umpama ombak yang sentiasa menuju sasarannya.... 









No comments:

Post a Comment