NURI
SUPIAN
Perjalanan
ke Masjid Besar Paris atau La Grande Mosque of
Paris, adalah perjalanan yang tidak diduga. Menuju ke masjid ini saya
umpamakan sebagai perjalanan rahmat. Saya terpukau dan sendu melihat
persekitaran masjid ini yang begitu mendamaikan. Dan ramainya Muslim yang bersolat
di sini. Kemudian perjalanan menyelusuri Sungai Seine memberikan satu perasaan
halus dan sukar digambarkan. Saya menikmati keindahan alam ciptaan Allah ini sepenuh
jiwa.
Sebaik
bot persiaran, Bateaux Mouches Cruise berlabuh semula di pelabuhannya, kami
melangkah turun dengan satu kenangan manis. Disebabkan masa masih ada untuk
berjalan-jalan, ramai yang membuat permintaan untuk singgah semula di Montmartre Hill. Memilih tempat ini kerana di
situ terdapat banyak kedai-kedai menjual cenderahati dengan harga berpatutan.
Kebanyakan
kami mengambil peluang membeli barangan cenderahati di sini untuk dibawa
pulang. Cenderahati yang paling laris dan kebanyakannya dibeli adalah pemegang
kunci, pelekat peti sejuk, topi, selendang, replika Menara Eiffel, dan T-Shirt.
Puas kami meronda-ronda dan pusing kota serta merakam tempat menarik. Seni bina bangunan di Eropah hampir sama di kebanyakan tempat.
Ini adalah hotel Ritz tempat terakhir Lady Diana dan Dodi Al Fayed menginap sebelum mengalami kemalangan tragis di sebuah terowong di Kota Paris.
Kami sempat dibawa ke terowong di mana tempat Lady Diana menemui ajalnya. Hanya dapat merakam dari dalam bas kerana bas tidak dibenarkan berhenti di terowong ini.
Di persekitaran tempat pelancong menaiki bot persiar. Bot-bot ini sedang menanti pelanggan.
Shopping dan shopping lagi. Walaupun sudah banyak yang dibeli tapi nampak setiap kali ada peluang ke tempat membeli-belah, pasti ada yang dipegang dan dibawa pulang. Bukan hanya perempuan, lelaki pun nampaknya sama hebat dalam bab shopping di sini. Mungkin terasa rugi jika tidak membeli.
Salah satu tempat agak murah untuk membeli-belah. Ia hanya bersebelahan dengan gedung mewah. Tetapi harga di sini lebih `bertimbang rasa'... Pakaian lelaki berkualiti tinggi dan t-shirt menjadi tarikan tempat ini di kerumuni...
Perjalanan
mengelilingi kota Paris sudah selesai mengikut jadual, walaupun masing-masing
terasa masih belum puas menikmati keindahannya. Sebenarnya ada kejutan lain
yang menanti kami. Hari yang sepatutnya diperuntukkan untuk aktiviti bebas
telah bertukar menjadi lawatan ke Belanda. Walaupun perjalanan ke Amsterdam,
Belanda dengan perbelanjaan sendiri tetapi ramai yang tidak menolaknya kerana
kos ke Belanda dari Perancis jauh lebih murah jika dibandingkan dengan kos jika
pergi dari Malaysia. Namun ada juga yang tidak menyertai perjalanan ke Amsterdam,
kerana belum puas menjelajah Paris.
Pemandangan yang dirakam sepanjang perjalanan dari Paris ke Belgium seterusnya ke Amsterdam.
Memandang
perjalanan ke Belanda memakan masa lebih dari enam jam, kami bertolak awal pagi dengan menaiki bas. Meredah
kesejukan pagi, bukan masalah besar buat kami semua kerana pemandangan sepanjang
perjalanan ke Belanda sangat indah. Kami sempat singgah di Belgium sebelum
meneruskan perjalanan ke negara kincir angin itu.
Hampir
pukul dua petang baru kami sampai ke Amsterdam. Disebabkan sampai waktu tengah
hari, kami terus dibawa makan tengah hari.
Bangunan-bangunan di Amsterdam berbeza dengan bangunan yang terdapat di kota Paris. Ada keunikan tersendiri.
Walaupun penunjuk arahnya ada di serata tempat tetapi saya sukar membacanya kerana bahasa yang berbeza.
Nampaknya basikal bukan sahaja memainkan peranan penting kepada penduduk bandar di Amsterdam tetapi juga di kota Paris.
Ada
sesuatu yang menyeronokkan sebaik kaki saya menjejak bumi Belanda. Saya menjadi orang
terakhir yang turun dari bas hari itu. Disebabkan agak tergesa-gesa, kerana bas
tidak boleh lama berhenti di tempat tersebut, membuatkan saya tidak menoleh ke
kiri dan kanan apabila keluar dari perut bas. Kebetulan, sebuah basikal yang
ditunggang seorang wanita cantik hampir melanggar saya. Kerana masing-masing
terkejut, terpantul perkataan, “maafkan saya” secara serentak antara saya
dengan wanita itu.
Saya
memandang legat, kenapa wanita berwajah Belanda ini boleh berbahasa Melayu?
Melihat kehairanan saya itu, wanita tersebut bersuara semula, “Dari Malaysia?
Saya orang Indonesia. Selamat bertemu.” Ujarnya.
Kami
berjabat tangan tetapi perbualan kami
hanya sekejap kerana saya bimbang ditinggalkan oleh rakan-rakan yang sudah
menyeberangi jalan menuju ke restoran. Kami saling mengucapkan salam perpisahan
dan gembira dengan pertemuan tidak sengaja itu.
“Semoga ibu
gembira selama berada di sini,” ujarnya sebelum meninggalkan saya. Ini adalah
pertemuan yang tidak diduga, namun saya memang tahu, ramai warga Indonesia yang
sudah menjadi warga Belanda. Hampir 25 peratus rakyat Indonesia menetap di
Belanda sejak lama. Kita pun tahu bahawa Belanda telah menjajah Indonesia
selama 342 tahun, jadi tidak hairanlah rakyat Indonesia bertebaran di sini.
Di restoran ini kami menjamu selera. Puas rasanya dapat makan makanan yang kena dengan selera sendiri...
Bergambar sebelum menaiki bas untuk meneruskan perjalanan ke kincir angin. Waktu siang di Belanda ketika ini lebih cepat daripada malam. Baru pukul 2 lebih hari sudah redup seperti telah pukul empat di negara kita.
Disebabkan
itu saya tidak terkejut lagi apabila kami dibawa masuk ke sebuah restoran yang
sangat berbunyi Melayu, `Restoran Desa’, untuk makan tengah hari. Sekali lagi saya
menjamu selera dengan sepenuh hati. Di sini juga disediakan tempat bersolat.
Dan pelayan-pelayannya semua dari Indonesia. Sayang sekali saya tidak dapat
bertemu dengan pemilik restoran itu, kerana dia ada urusan di tempat lain.
Seperti
biasa, kami harus mengejar masa kerana waktu siang yang singkat di sini. Kami
bimbang cuaca yang gelap kerana nak hujan akan melenyapkan impian kami untuk
bergambar di depan kincir angin...