Tuesday, October 8, 2013

Apabila doa dimakbulkan

NURI SUPIAN


Beberapa hari lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan hari raya Aidiladha. Hari raya korban yang memberi begitu banyak makna kepada kita keseluruhannya. Setiapkali datangnya Aidiladha selepas empat tahun lalu, hati saya sangat bergetar... Imbauan menjadi Tetamu Allah pada tahun 2009, membuat saya sering diburu rindu untuk kembali ke tanah suci.
Saya mempunyai pengalaman agak istimewa. Sebelum sujud sebagai Tetamu Allah untuk mengerjakan haji, saya mendapat peluang melakukan ibadah Umrah dan Ziarah.
Saya masih ingat sewaktu mendapat tawaran melakukan umrah pada awal Februari 2009. Saya tergaman! Ketika itu saya sedang dalam kursus ESQ iaitu kursus motivasi diri melalui pendekatan agama dan spiritual. Kursus bagaimana mendekati diri kepada Allah melalui pekerjaan yang sedang saya lakukan.  Kursus yang memberitahu bahawa ibadah itu amat luas maknanya. Bukan sekadar solat, puasa, zakat, sedekah dan haji. Saya mula memahami erti sebuah keikhlasan. Ia bermakna melakukan sesuatu semata-mata hanya kerana Allah.
Apabila diri saya dikupas satu persatu dalam kursus itu, saya benar-benar beremosi. Saya terasa amat kerdil di sisi-Nya. Dan saya berdoa Allah memberikan saya petunjuk, memberikan saya nikmat dan rahmat-Nya. Bisikan hati seorang hamba yang lemah didengari Allah.
Saya sujud syukur dan menangis, sebaik mendapat berita yang tidak disangka-sangka itu. Ia sungguh luar biasa. Saya tidak mungkin dapat melupakannya. Sahabat saya Datuk Azlina dan suami telah memberikan saya pengalaman tersebut. Saya akan terus berdoa untuk mereka selagi hayat masih ada...
Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar. Manusia belajar melalui pengalaman. Buruk atau baik pengalaman yang ditempuh itu, pasti ia memberikan pelajaran berguna. Allah tidak merancangkan sesuatu kejadian, atau dugaan itu dengan sia-sia. Pasti semua yang diatur oleh Allah, berguna untuk kita.
Gambar ini terakam ketika kami singgah di masjid Laut Merah sebelum berangkat pulang ke tanahair ketika mengerjakan umrah...

Peluang mengerjakan umrah pada March 2009 membawa saya ke satu dimensi baru. Saya belajar berdoa dengan tulus. Saya sujud di kaki Kaabah dengan tangisan seorang hamba. Hamba yang sangat lemah. Hamba yang memohon keampunan-Nya. Ketika waktu berangkat pulang ke tanahair, saya terasa tidak mahu meninggalkan masjidilharam. Saya mahu kembali lagi memeluk kudusnya kasih Allah di dataran Kaabah. Saya ingin tawaf lagi, saya ingin saei lagi dan saya mahu datang semula bersama orang yang saya cinta. Suami saya! Dalam sedu air mata, saya menadah tangan dan bermohon dengan penuh kusyuk memohon Allah memanggil saya kembali lagi.
Allah itu Maha Pendengar dan Maha memakbulkan doa. Sebulan selepas kembali ke tanahair, saya dikejutkan dengan berita amat luar biasa indahnya. Peristiwa itu akan terus terakam diminda saya. Ia tidak mungkin akan terpadam selagi Allah memelihara otak saya.
Saya masih teringat pada senja itu di Martrade Hall, selepas solat Maghrib berjemaah bersama para peserta kursus ESQ (saya dan suami datang untuk recharge), suami sedang berpelukan dengan Datuk Dr. Haji Hussamuddin (kami memanggilnya Tuan Haji). Saya kehairanan kenapa suami 
dan majikan berpelukan. Melihat mata suami merah seperti menahan air mata, namun wajahnya kelihatan berseri, saya dapat menekan sesuatu.
Saat manis, saya, suami dan seorang rakan Haji Zakaria, merakam kenangan bersama Tuan Haji suami isteri dan saudara mara yang menghantar kami ke kompleks Tabung Haji ketika mahu berangkat ke tanah suci.  
“Nuri, saya akan hantar you dan Kana bersama beberapa pekerja paling senior untuk mengerjakan haji tahun ini. Berdoalah semoga impian ini tercapai...”
Sungguh saya mati kata-kata. Tanpa sedar saya memeluk suami. Ini anugerah yang tidak ternilaikan. Dan sejak berita itu disampaikan, saya dan suami siang malam berdoa, agar kami benar-benar dipanggil menjadi Tetamu Allah untuk menunaikan haji.
Akhirnya, 8 November 2009, saya, suami dan tiga orang rakan berangkat ke tanah suci setelah pelbagai debaran kami tempuhi. Kami berlima membuat perjalanan haji dengan doa majikan dan rakan-rakan. Kami melangkah menjadi Tetamu Allah, ketika 17 hari lagi menjelang hari Wukuf.
Saya ingin berkongsi sedikit pengalaman ini dengan anda. Pengalaman bagaimana saya belajar mengenal ragam manusia yang datang dari pelbagai pelosok dunia dan dihimpunkan oleh Allah di tanah suci itu. Semoga catatan pengalaman saya seterusnya nanti akan memberi manfaat sedikit manfaat.
Panggilan haji telah tiba lagi, menunaikan ibadah panggilan Baitullah...

3 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Puan. Perkongsian yang menyentuh hati. Saya share di blog saya http://kenapaberblog.blogspot.com/2013/10/tulislah-lagi-dan-lagi.html.

    Tqvm.
    notie ms
    Wassalam

    p/s: maaf, komen sebelumnya saya delete disebabkan tersalah ejaan.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih Nolizawati. Semoga kita sama-sama mendapat manfaat daripada perkongsian pengalaman ini. Terjuga kerana sudi membaca blog saya...

    ReplyDelete