NURI SUPIAN
Tidak ada tangisan lebih manis daripada air mata yang tumpah di depan pintu
kaabah. Tidak ada seorang pun yang memarahi atau menengking sehingga membuatkan
saya menangis tersedu-sedu di jenang kaabah itu. Air mata itu luruh tanpa
dipinta sebaik mata menyaksikan kebesaran Allah di depan mata.
Perjalanan indah yang saya alami ketika mengikuti rombongan Ziarah dan
Umrah bersama Datuk Azlina dan suami Datuk Stapa, menyaksikan begitu banyak air
mata yang tumpah. Setiap sudut tanah suci yang saya jejaki, menyebabkan diri terasa
begitu kerdil. Sukar menggambarkan bagaimana rasanya perasaan saya ketika
pertama kali melihat kaabah, sembahyang di Raudhah dan sujud di makam
Rasulullah.
14 March 2009 adalah tarikh keramat itu. Biarpun sudah empat tahun ia
berlalu, namun setiap kali menyebut nama Mekah dan Madinah hati saya bergetar. Kenangan
ini kenangan terindah. Ia sebuah perjalanan spiritual.
Suami dan anak menghantar saya untuk meneruskan perjalanan ke tanah suci.
Hajah Wan Chik Daud, Noorizan dan saya menyusun langkah untuk menjadi tetamu-Nya...
Sejak tahu saya bakal menjadi tetamu Allah, tidak putus-putusnya saya berdoa
agar impian menjejakkan kaki ke tanah suci, dan menatap wajah sebenar Kaabah, menjadi
kenyataan dan Allah permudahkan segala urusannya.
Segala buku panduan berkenaan umrah dan ziarah saya beli. Saya juga meminta
nasihat daripada mereka yang lebih arif. Saya tahu perjalanan ke Mekah tidak
sama seperti melawat negara-negara lain yang telah saya kunjungi.
Bersama 20 jemaah yang lain, saya berangkat ke tanah suci. Dalam perjalanan
menuju ke Madinah dan Mekah, saya berdoa agar Allah membimbing hati saya. Ini
adalah pengalaman pertama saya ke tanah suci.
Kami sampai di Jeddah ketika sudah masuk waktu Asar. Sementara menanti
segala urusan bagasi selesai, kami mengerjakan solat Asar, Maghrib dan Isyak di
lapangan terbang antarabangsa Saudi di Jeddah. Urusan agak memakan masa. Jemaah
lelaki nampaknya diperiksa lebih ketat oleh pihak imigresen Saudi, berbanding
jemaah wanita. Kami akur ini adalah prosedur. Apa yang penting akhirnya semua
berjalan lancar.
Perjalanan menuju ke Madinah bermula selepas jam menunjukkan pukul 10 malam.
Perjalanan yang memakan masa hampir 6
jam dari Jeddah ke Madinah itu tidak terasa penat, apabila mutawif memberitahu,
kami akan sampai ke Madinah menjelang waktu Subuh.
Sebaik selesai mandi dan berwuduk, azan berkumandang. Syahdunya meresap ke
setiap urat nadi. Saya tidak mampu menahan air mata ketika pertama kali
mendengar azan yang begitu merdu berkumandang dari Masjid Nabawi. Saya menangis
teresak-esak ketika pertama kali sujud di masjid ini. Rasa nikmat yang sukar
digambarkan melalui kata-kata mahupun tulisan.
Air mata berjurai apabila mendengar azan pertama ketika sampai ke kota Madinah.
Banyak kisah yang kami kutip dan kongsi bersama ketika berada di Madinah. Ujian kecil membawa makna yang besar...
Ketika di tanah air saya berdoa agar diberi kesempatan melakukan seberapa
banyak solat di masjid ini. Saya tahu sembahyang di masjid kedua terpenting
selepas Masjidilharam ini menjanjikan kelebihan bersamaan dengan 1000 kali
solat di tempat lain. Alhamdulillah, Allah memberikan kekuatan dan kesihatan
untuk saya melakukannya.
Di Masjid Nabawi, kami dibawa melawat makam Rasulullah s.a.w., makan
Syaidina Abu Bakar As-Siddiq dan Syaidina Umar r.a.
Di depan Raudhah, jiwa terasa begitu tenang. Biarpun terpaksa bersesak,
saya tetap mendapat kesempatan bersolat dan berdoa di situ. Subhanallah!
Jemaah kami turut dibawa menziarah Masjid Qubra, Masjid Qiblatain,
perkuburan al-Baqi, Bukit Magnet, pasar kurma dan makam Syuhada di Jabal Uhud.Allah menunjukkan kebesarannya! Bau harum semerbak di persekitaran makam
para syuhada, membuat para jemaah tidak mampu menahan sebak.
Melihat perkuburan di mana Syaidina Hamzah dan para sahabat disemadikan berdekatan dengan Jabal Uhud, saya berusaha membayangkan keadaan bagaimana para syuhada ini berjuang menegakkan agama Allah, sehingga ke titisan darah terakhir dan gugur sebagai syahid.
Melihat perkuburan di mana Syaidina Hamzah dan para sahabat disemadikan berdekatan dengan Jabal Uhud, saya berusaha membayangkan keadaan bagaimana para syuhada ini berjuang menegakkan agama Allah, sehingga ke titisan darah terakhir dan gugur sebagai syahid.
Harum semerbak di makam syuhada.
Sewaktu mutawif bersirah mengenai pengorbanan para syuhada ini,
perlahan-lahan saya berjalan ke dalam diri sendiri, sebesar apakah pengorbanan
dan jihad saya untuk agama?
Hanya doa dan al-Fatihah yang mampu saya hadiahkan untuk para syuhada ini.
Suasana Madinah memang mendamaikan. Tanahnya subur. Para jemaah kemudian dibawa melawat kebun kurma. Dan kesempatan
berkunjung di pasar kurma ini, memberi peluang saya memilih pelbagai jenis
kurma terbaik. Setiap jenis kurma itu ada kelebihan tersendiri
Kami menghayati bumi Rasulullah dengan menikmati lazatnya kurma di tanah subur di ladang kurma ini.
Madain Saleh
Sebelum berangkat ke kota Mekah, kami dibawa ke Madain Saleh, kira-kira 350km dari Madinah. Madain Saleh yang terletak di Al-Ula ketika kedatangan kami itu, baru dua tahun dibuka untuk ziarah.
Sebelum berangkat ke kota Mekah, kami dibawa ke Madain Saleh, kira-kira 350km dari Madinah. Madain Saleh yang terletak di Al-Ula ketika kedatangan kami itu, baru dua tahun dibuka untuk ziarah.
Bukit-bukit di belakang kami adalah ukiran tinggalan kaum Thamud.
Kami bermalam di hotel Al-Ula ketika berada di Madain Saleh. Ada kisah yang tersembunyi di sini...
Selain penduduk
tempatan, hanya tiga buah negara diberi kebenaran untuk melawat ke sini,
Malaysia, Brunei dan Singapura. Bagaimanapun permit perlu diperoleh sebelum ke
sini. Madain Saleh telah diiktiraf sebagai tapak arkeologi.
Ada kisah di sebalik ukiran berupa gunung gajah ini...
Ketika saya sedang bergambar bersama dengan kanak-kanak di sini, anak bongsu saya sedang meraikan hari lahirnya di tanahair bersama ayah dan adik-beradiknya. Saya melepaskan rindu padanya melalui kanak-kanak ini.
Menunjukkan cara bagaimana makanan disediakan pada zaman dahulu. Saya hanya berpeluang mengambil gambar sahaja kerana makanan ini sekadar untuk pertunjukan.
Kami bernasib baik kerana pada hari kedatangan kami, kebetulan penduduk Madain Saleh sedang meraikan pameran mengenai kehidupan zaman Rasulullah.
Ukiran pada gunung yang menakjubkan. Allah memberikan pelbagai kebijaksanaan kepada hanba-hamba-Nya mengikut zaman masing-masing. Tetapi kaum Tsamud akhirnya menjadi kufur nikmat dan menolak agama yang dibawa oleh Nabi Saleh untuk mereka.
Bekas tinggalan kaum Tsamud ini terdapat beberapa makam dan rumah kediaman
yang dipahat dan diukir di kawasan gunung-ganang. Di sinilah Allah telah
menurunkan bala kepada kaum Tsamud apabila mereka menolak Nabi Saleh a.s
sebagai utusan Allah dan membunuh unta betina yang merupakan mukjizat Allah
kepada Nabi Saleh. Kisah ini telah diterangkan di dalam al-Quran surah
al-A’raaf.
Berkali-kali saya beristighfar memohon perlindungan Allah. Kami juga
dinasihatkan memperbanyakkan zikir ketika bermalam di sini. Di Madain Saleh kami
sempat melawat stesen kereta api yang dibina pada zaman Uthmaniyyah.
Kembali ke Madiah dan malam sebelum berangkat ke Mekah, saya sempat
beriktikaf di Masjid Nabawi dan
menziarah semula ke Raudhah serta makam Rasulullah. Pelbagai peristiwa manis
terakam di sini.
Perjalanan ke kota Mekah
Meneruskan perjalanan ke kota Mekah adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu.
Ketika miqat di Bil Ali, saya memanjatkan doa, minta Allah beri pelindungan.
Cerita-cerita pelik yang didengar sebelum ini, yang baik cuba dijadikan panduan
dan buruk minta dijauhkan.
Pemandangan yang sempat dirakam ketika kami dalam perjalanan dari |Madinah menuju ke kota Mekah. Matahari senja...
Singgah makan ketika dalam perjalanan...
Akhirnya Kaabah ini ada di depan mata. Saya bersujud syukur di sini. Saya luahkan segalanya dan bermohon Allah ampunkan segala dosa. Suhbanallah...
Pukul 2 pagi kami masih di berada di Masjidilharam. Siang dan malam saya berdoa untuk sampai ke tanah suci, akhirnya di sinilah saya beriktikaf.
Saya segera teringat pesanan Allahyarham Dato Haji Fikry, bos yang telah
dianggap sebagai abang dan telah berkali-kali melakukan ibadah haji dan
umrah, sehari sebelum berangkat ke tanah
suci.
Kata-katanya melekat kuat di minda saya. Kata-kata itu kembali bergema di
hati, sebaik sahaja mata memandang Kaabah. “Nuri, jangan terikat dengan buku-buku
doa yang tergantung di leher. Renunglah
Kaabah dengan penuh rasa insaf dan berdoalah dari hati yang dalam. Hanya kita
yang mengetahui, apa yang kita inginkan dan apakah dosa-dosa yang telah kita
lakukan. Berdoalah bersungguh-sungguh. Jaga niat dan jaga hati!”
Benar seperti yang dikatakan, mulut tak mampu bermadah kata. Mata tak mampu
berkelip. Hanya air mata menjadi saksi betapa kerdilnya diri di hadapan Kaabah.
“Subhanallah! Subhanallah! Subhanallah!” Hanya perkataan itu sahaja yang mampu terucap
di bibir saya. Itu adalah suara hati yang tercetus di bibir. Kaki saya terasa
tidak mampu berdiri tegak. Saya terus sujud syukur menyembah Ilahi. Tuhan
sukarnya menggambarkan perasaan ini…
Melakukan ibadah umrah dengan bimbingan Mutawif, bagai sebuah mimpi indah.
Air zam zam terasa begitu manis apabila kami membasahkan tekak selepas selesai bertawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah, melakukan saie dengan berjalan berulang alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sejauh 395 meter sebelum bertahallul (bercukur/bergunting), pada tengah malam itu.
Air zam zam terasa begitu manis apabila kami membasahkan tekak selepas selesai bertawaf tujuh kali mengelilingi Kaabah, melakukan saie dengan berjalan berulang alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah sejauh 395 meter sebelum bertahallul (bercukur/bergunting), pada tengah malam itu.
Selesai melakukan ibadah umrah, saya terasa seperti menjadi manusia baru.
Puas mengesat air mata tetapi ia turun semakin laju.
Biarpun tubuh terasa penat namun tidak ramai yang ingin pulang ke hotel.
Masing-masing tidak mahu melepaskan peluang melakukan sembahyang dan beriktikaf
di Masjidilharam.
Ribuan manusia berkumpul di Masjidilharam dan berasak-asak untuk mencari
redha Allah. Dalam suasana bersesak itu, kami tetap memohon doa, agar Allah
memberi kesempatan untuk mengucup hajarulaswad, bersolat dan berdoa di Hijir
Ismail, di Makam Nabi Ibrahim dan di depan Multazam.
Di depan multazam ini kami sering bersujud. Dataran Kaabah yang sentiasa penuh dengan manusia yang datang dari pelbagai pelusuk dunia.
Doa di tanah suci dimakbulkan Allah. Biarpun penuh dengan ribuan manusia,
ruang untuk saya mencium hajarulaswad tetap terbuka. Saya dan rakan-rakan juga
berpeluang bersolat di Hijir Ismail, dan berdoa di depan Multazam setiap kali
selesai tawaf sunat.
Di tanah suci Mekah, kami meneruskan ziarah. Ketika ke Gua Hira’, saya
berusaha menahan air mata namun tidak
berdaya. Air mata itu tumpah juga. Dari kaki gunung, saya memandang ke mulut
gua, tempat di mana Nabi Muhammad menerima wahyunya yang pertama dan seterusnya
Islam berkembang dengan titik keringat serta air mata Rasulullah.
Ustaz Bakri sedang memberi tazkirah kepada kami mengenai perjuangan Rasulullah di Gua Hira'.
Saya benar-benar melepaskan tangisan di sini. "Ya Rasulullah, aku mengunjungi bumi sucimu... Berikan syafaatmu apabila aku berpulang kelak."
Mutawif yang memandu rombongan kami dengan begitu sendu membisikkan agar kami
dapat mengutip nilai-nilai murni perjuangan Rasulullah dalam mengembangkan
agama suci ini melalui tulisan, apabila beliau mengetahui dalam rombongan kami
ada para penulis.
Walaupun tidak mampu berjihad menggunakan pedang seperti zaman Rasulullah,
namun saya akan berjuang membentuk nilai-nilai murni itu melalui cara saya.
Menulis! Pena adalah pedang saya. Dan saya berdoa agar pena itu sentiasa tajam.
Ini yang dapat saya kutip di Gua Hira’.
Catatan cinta di Jabal Rahmah
Seterusnya ziarah kami sampai ke puncak cinta Adam dan Hawa di Jabal Rahmah,
tempat pertemuan selepas kedua-duanya diturunkan dari syurga. Saya bertitip doa
di situ agar cinta kasih saya pada suami dan anak-anak sekuat cinta Adam dan
Hawa.
Kami tidak melepaskan peluang memohon di tempat mustajab ini.
Kami temui cinta |Adam dan Hawa di sini...
Beberapa tempat bersejarah lain sempat kami ziarahi. Thoif adalah perkampungan
ibu susuan Nabi Muhammad s.a.w., Halimahtun Saadiah. Kawasan ini begitu subur
dan terkenal dengan buah delima dan bunga-bungaan.
Dalam kontangnya tanah Mekah namun bunga-bunga mekar dan berkembang di Thoif.
Penduduk kota Mekah akan bercuti musim panas di bandar Thoif ini kerana di sini udaranya lebih segar dan buah-buahan tumbuh subur di bumi tempat Rasulullah disusukan oleh ibu angkatnya...
Kami ke pasar buah untuk menikmati kesegaran dan kelazatan buah-buahan yang memang terkenal di Thoif.
Sempat singgah makan nasi mandi. Bagaimana saya mahu menceritakan betapa lazatnya hidangan nasi ini?
Namun di Thoif juga menurut sejarah Rasulullah sebelum baginda berangkat ke
Madinah, terjadi peristiwa menyedihkan apabila penduduknya pernah mencederakan
dan menghalau Nabi Muhammad, sewaktu baginda menyampaikan pesan Allah untuk
menyebarkan Islam.
Di sini adalah antara tempat yang termakbulnya doa. Kami menitipkan doa untuk ahli keluarga yang telah pergi... Siangnya sebelum majlis ini diadakan saya menerima berita pemergian sahabat baik saya Allahyarham Jalil Yusof ke pangkuan Ilahi.
Datuk Azlina dan suami membuat majlis untuk meraikan anak-anak yatim kota Mekah di padang Muzalifah. Majlis penuh emosi ini merapatkan hubungan perasaan antara kami dan kanak-kanak yang sudah kehilangan ibu bapa tersayang. Antara mereka ada anak-anak Pelastin yang bapa mereka terkorban dalam perang.
Hampir dua minggu di Madinah dan Mekah, menjadi tetamu Allah, banyak yang
dapat dijadikan iktibar. Sewaktu tawaf
widak (tawaf selamat tinggal), hati terasa begitu berat untuk meninggalkan
Kaabah. Belum pun pulang, tapi rasa rindu pada rumah Allah dan Rasulnya telah
menerpa hati. Biarpun berat kaki melangkah tetapi kami harus pulang. Di depan
Kaabah, saya berdoa sepenuh hati agar saya akan dipanggil kembali ke sini
menjadi tetamu Allah untuk mengerjakan haji.
Kaabah aku datang lagi ke sisimu... Di sini terhimpunnya segala doa.
Kami diberi peluang untuk bersolat Zohor di masjid laut merah ini sebelum berangkat pulang ke tanah air.
Kenangan terakam indah di bumi ambiya...
Saya masih ingat doa saya ketika itu, ”Ya
Allah, aku akan datang lagi ke sini, ke rumah-Mu bersama suamiku. Kau Maha
Pendengar dan Kau sedang Mendengar doaku ini. Ya Allah makbulkanlah doa
hamba-Mu ini...” Subahnallah! Allah mendengar doa itu kerana beberapa bulan
selepas pulang mengerjakan umrah, saya kembali lagi ke tanah suci Mekah bersama suami
mengerjakan haji. Jadi, Nikmat Allah yang
manakah dapat kita dustakan... (surah Ar-Rahman)
Suara hati saya terdengar di sini...
No comments:
Post a Comment