Thursday, October 24, 2013

Berpisah di dataran Kaabah dan mencari cinta seteguh cinta Hajar




Selesai segala ibadah wajib haji di Mina, kami berangkat pulang ke Mekah. Mina saya tinggalkan dengan doa agar dipertemukan lagi saya dengan tempat penuh barakah ini. Banyak yang saya peroleh di sini. Saya berdoa semoga ada jejak-jejak kaki saya, sama ada di Arafah atau Mina yang pernah dijejak oleh Rasulullah dan para sahabatnya dahulu. Ini doa seorang hamba...
saya sempat bergambar kenangan bersama rakan-rakan di dalam khemah di Mina sebelum kami berangkat pulang ke Mekah. Kemesraan yang terjalin di sini, kini masih lagi terasa indahnya.
Kami sedang menanti giliran untuk menaiki bas pulang ke kota Mekah. Mina kami tinggalkan dengan penuh kesyahduan...
Mekah, bumi yang penuh dengan keajaiban. Sesuatu yang tak disangka, tidak mustahil berlaku di sini. Semua itu atas kehendak-Nya. Beberapa kejadian kecil yang berlaku mengetuk pintu hati saya agar hati terus teguh bergantung kepada-Nya.
Saya teringat bagaimana ketika mengerjakan tawaf dan saie haji, saya dan suami terpisah kerana halangan oleh jemaah dari negara lain yang melintas di hadapan kami secara bergerombolan lebih daripada 20 orang tanpa putus. Saya yang sedang memegang hujung jubah suami dan jalan beriringan terpaksa melepaskan pegangan. Namun sebelum mengerjakan tawaf, kami sudah berjanji jika terpisah ketika tawaf, masing-masing akan teruskan rukun haji itu hingga selesai. Seperti biasa tempat pertemuan adalah di pintu masuk babusalam.
Dataran Kaabah selepas selesai wukuf dan melontar di jamrah memang amat padat. Semua Jemaah mahu menyelesaikan tawaf dan saie haji. Kami sudah bersedia mengenainya. Kerana itu apabila sudah terputus pegangan, saya meneruskan pusingan tawaf. Ketika sedang tawaf bersama ribuan jemaah itu, tiba-tiba saya terasa bahu saya dipegang. Menoleh ke sisi, saya melihat seorang wanita berusia sekitar 60-an sedang ada di sebelah saya. Dia terus memegang dan memberitahu ingin mengikut saya kerana dia sudah terpisah daripada sanak-saudaranya. Saya mengangguk dan membiarkan dia terus memegang hujung telekung saya. Pusingan tawafnya juga sama seperti saya. Ini lebih memudahkan. Saya melangkah perlahan mengikut langkah wanita Iran itu. Kami bertawaf beriringan. Sama-sama menjaga tertib.
Memohon keampunan setiap kali bertawaf mengelilingi Kaabah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya...
 
Pada pusingan terakhir tawaf, dia bertemu semula dengan sanak saudaranya. Wanita itu bergabung  bersama keluarganya tetapi dia terus memegang saya dan meminta saya menyertai mereka meneruskan pusingan akhir itu. Saya menyertai mereka sehingga selesai tawaf. Kami sama-sama mengucapkan terima kasih. Akhirnya dia mengajak saya mengikutnya bersama  menuju ke tempat saie. Ya, sudah tentu saya mahu. Dia sangat baik. Saya fikir mungkin suami saya sudah ada di sana, namun saya tidak bertemunya di situ. Saya meneruskan saie. Saya tidak perlu menunggu sesiapa. Tidak ada yang mengusarkan hati, kerana saya tahu suami sedang mendoakan saya sebagaimana saya mendoakannya.
Dalam sendirian tanpa suami di sisi menghayati rukun haji ini, saya tidak mampu menahan sebak. Saya membayangkan betapa tabahnya Siti Hajar berulang alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah untuk mencari air, bagi menghilangkan dahaga untuk anakanda yang dicintainya Nabi Ismail.
Perjalanan Saie mengajar saya erti pengorbanan sebenar seorang isteri dan seorang ibu yang sangat ikhlas dalam menjalankan suruhan dan perintah Allah. Ketika berlari-lari anak itu, saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya Hajar berlari di padang pasir di tengah panas dan terik mentari. Jiwanya kental mendidik dan membesarkan anak, biarpun tiada suami di sisi. Pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak seperti saya dan jemaah lain yang berlari-lari anak di bawah bumbung indah dan berhawa dingin. Siti Hajar dapatkah saya menemuinya `di sana’ kelak? Saya memohon keampunan Allah.
Siti Hajar berpisah bertahun-tahun lamanya bersama suaminya Nabi Ibrahim yang amat dicintai, sedangkan saya, baru hanya berpisah sebentar. Tidak terduga dalamnya cinta Siti Hajar. Cinta yang ikhlas kerana Allah.
Sebaik selesai saie, saya kembali ke dalam masjidilharam untuk melakukan solat sunat. Ada ruang kosong di dalam masjid yang mengadap multazam. Saya mengambil tempat yang biasa saya bersolat. Di sebelah saya, tersenyum seorang wanita dari Turki. Sebaik membentangkan sejadah, dia meminta izin untuk berkongsi sejadah bersama saya. Tentu sahaja saya membenarkannya. Namun sebelum kami meneruskan solat, dia meminta saya menjaga barangannya kerana dia mahu mengambil air zam zam.
Permintaan itu tidak sukar untuk saya penuhi. Saya menanti dia di situ. Wanita itu tidak lama, kerana tidak sampai 15 minit, dia sudah kembali di sebelah saya. Dia bukan sahaja membawa air untuk dirinya, tetapi juga membawa air zam zam untuk saya juga. Saya yang memang sedang dahaga menerima pemberian itu dengan rasa syukur. Alhamdulillah. Kami solat sunat bersama-sama. Sebaik habis berdoa, saya terlihat kelibat seorang lelaki di sebelah. Terus menoleh, rupa-rupanya dia suami saya. Dia tersenyum. Saya fikir inilah senyuman paling manis pernah saya lihat daripada seorang suami.
Mencari cinta seteguh cinta Siti Hajar tetapi mampukah saya?
Sebelum melangkah keluar dari masjid, saya sempat bertukar alamat bersama wanita Turki ini. Dia bukan sahaja memberi saya minuman, tetapi turut memberikan saya buah kurma yang begitu sedap rasanya. Mempelawa saya ke negaranya. Katanya, selepas Mekah dan Madinah, Turki lah tempat yang paling indah untuk di lawati oleh umat Islam. Saya pun berdoa, agar suatu hari nanti, saya akan sampai ke Turki tempat asalnya bunga tulip yang menjadi bunga kebanggaan negara Belanda itu. Silaturahim sudah terjalin antara saya dan wanita itu. Biarpun tidak bertemu lagi selepas itu, tetapi kebaikannya saya kenang hingga ke hari ini.

Kenangan berada di masjidilharam menunaikan ibadah haji, sebuah kenangan terindah...

No comments:

Post a Comment