Hari pertama melontar di jumrahtul Aqabah, suasana
di tempat melontar tidak terlalu bersesak. Semuanya dapat melontar dengan
tenang biarpun dipenuhi jemaah. Tempat melontar yang sudah dibuat sebanyak tiga
tingkat itu memudahkan para jemaah melakukan ibadah. Allah tetap akan memberi
kita ruang biarpun di celahan jutaan manusia di situ.
Saya dan suami tidak terburu-buru. Kami mencari
ruang yang selamat dan selesa. Selesai melontar dan bertahalul pada 10
Zulhijjah itu, lepas sudah beberapa larangan ketika di dalam ihram buat para
jemaah. Jemaah lelaki sudah boleh menanggalkan kain ihram dan mengenakan
pakaian biasa yang berjahit.
Ada juga jemaah yang pulang ke Mekah selepas
melontar untuk melakukan tawaf dan saie tetapi saya, suami dan rakan-rakan
mengambil keputusan untuk terus tinggal di Mina bagi menghayati erti sebenar
sebuah perjalanan haji.
Menghadapi kesukaran? Itu memang tidak dapat
dielakkan tetapi sudah 47 tahun (ketika itu) saya diberikan oleh Allah dengan
pelbagai keselesaan tempat tinggal, makan minum, mandi dan sebagainya, jadi
sekadar enam hari diuji sedikit himpitan, tentu saya sedia menerimanya.
Pengalaman seperti ini, amat berharga kerana Allah sedang mengajar saya menjadi
lebih sabar dan lebih bersyukur.
Suasana pagi di jamrah sungguh indah. Kami sempat menikmati keindahan matahari terbit daripada sini. Sinarnya yang kekuning-kuningan menembusi awan-awan yang putih bersih, memberi kedamaian di hati...
Kami merakamkan kenangan di sini selepas selesai melontar...
Lihat betapa mudahnya jemaah hari ini untuk melakukan ibadah melontar. Tangga elektrik ini sentiasa bergerak untuk memudahkan jemaah.
Meneruskan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah
pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah memberi ruang kepada kami untuk melihat keberkatan
bumi Mina dengan lebih dekat. Maha Besar Allah, di dalam kesesakan para Jemaah melalui
terowong muassim itu, saya dipertemukan dengan seseorang yang setiap hari di
dalam masjidilharam, berdoa untuk bertemu kami berlima.
Kak Siti dan suami, mereka juga dari pejabat kami
tetapi pergi melalui pakej dan datang pada penerbangan awal. Menurutnya, dia
berdoa agar Allah pertemukan kami, tidak
kira di mana sepanjang kami sama-sama berada di Mekah.
Katanya, dia hampir berputus asa, namun terus berdoa
di tempat-tempat mustajab. Harapan terasa makin tipis kerana selepas selesai mengerjakan
semua rukun dan wajib haji, dia akan segera berangkat pulang ke tanahair dalam
penerbangan awal.
Allah Maha Mendengar segala doa. Pada 12 Zulhijjah,
di dalam terowong muassim yang semakin sendat itu, kerana selepas melontar pada
10 Zulhijjah selepas Asar, kami memilih melontar jamrah hari berikutnya pada
waktu dhuha. Kami sudah faham, walaupun manusia berasak-asak ketika ini, jika
kita bersabar pasti ada ruang untuk kita melontar.
Kami berlima jarang berpisah. Ke mana pun bersama-sama dalam susah dan senang...
Dalam kesesakan ini, saya terpandang seseorang yang
sepertinya amat saya kenali berjalan selangkah di hadapan saya. Melajukan
langkah untuk memastikan adakah apa yang saya lihat itu benar, akhirnya saya
berdiri bersebelahan orang itu. Subhanallah! memang benar. Dia orang yang saya
sangka. Kami berpelukan di celahan orang ramai itu. Dia menangis. Kami
melangkah beriringan keluar dari terowong dan menuju ke tempat melontar
bersama-sama. Tidak ada yang mustahil di sini…
Di dalam Terowong Muassim ini saya bertemu dengan Kak Siti dan suaminya.
Kak Siti di sebelah saya. Kami sama-sama keluar terowong dan menuju ke jamrah untuk melontar pada hari kedua. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan.
Allah pertemukan kami di sini. Tiada yang mustahil bagi Allah.
Saya masih ingat kata-katanya ketika itu, “duit itu
bukan rezeki saya lagi. Mungkin orang yang mengambilnya benar-benar terdesak…”
Subhanallah. Ujian yang sedikit memberi makna yang besar. Itulah ujian hati.
Saya melihat keredhaan lelaki itu di sebalik senyumannya.
Hari terakhir melontar jamrah, sekali lagi saya
melihat sebuah keajaiban Allah. Disebabkan ini adalah hari terakhir kami berada
di Mina setelah selesai melontar di ketiga-tiga hari tasyrik dan akan pulang ke
Mekah, saya mengambil peluang melihat-lihat barang dagangan para peniaga yang
memenuhi ruang sepanjang jalan kami menuju ke khemah.
Setiap hari selepas selesai melontar, kami akan
singgah membeli makanan di deretan kedai makan yang berada tidak jauh dari
tempat melontar. Roti arab yang istimewa. Sepanjang di Mina kami tidak
melepaskan peluang makan roti ini.
Di hari terakhir itulah, ketika saya sedang
membelek-belek cincin, suami datang mendekati saya meminta wang kecil kerana peniaga
kedai itu mahukan wang secukupnya untuk membayar makanan. Ia bagi memudahkan
urusan jual beli memandangkan terlalu ramai jemaah beratur untuk mendapatkan
roti arab itu.
Saya mengeluarkan beg duit dari beg sandang yang
disediakan oleh Tabung Haji. Mengambil wang yang diminta dan kembali
membelek-belek jualan milik peniaga berkulit gelap itu. Selesai suami membeli
makanan, kami terus beredar setelah membeli beberapa barang yang saya berkenan.
Saya berjalan tanpa memandang ke belakang lagi.
Tetapi hampir 500 meter perjalanan, saya terasa
ingin membuka beg sandang dan masya-Allah, beg duit saya tidak ada di situ.
Saya memandang suami dan memberitahunya. Ia bukan semata-mata soal duit yang
ada di dalam beg itu, tetapi banyak dukomen penting saya turut berada di
dalamnya.
Saya, suami dan rakan-rakan kami berpatah balik.
Sepanjang perjalanan itu saya berdoa agar Allah memelihara beg itu, kalau benar
ia di situ. Ketika sampai di situ semula, saya lihat tempat itu dikerumuni
ramai jemaah pelbagai negara sedang membeli. Namun di sudut meja itu, di
celahan orang ramai, saya terlihat bayangan merah beg duit saya.
Beg duit ini tidak saya gunakan lagi tetapi saya akan terus menyimpannya sebagai kenangan terindah. Allah mengajar saya sesuatu melaluinya. Maka Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ar-Rahman (surah 55)
Bimbang itu hanya bayangan, saya terus ke sudut meja
itu dan benarlah itu beg duit saya. Mengambil dan membukanya. Tidak ada satu
pun yang hilang. Semuanya tersusun rapi di situ. Subhanallah... Beg itu terbiar
di tempat terbuka, namun Allah lah yang memeliharanya. Ini bukan kebetulan
tetapi Allah sedang menunjukkan kuasa-Nya. Lama kami sama-sama terdiam.
Masing-masing bertafakur. Saya terasa semakin kerdil di sisi-Nya. Sampai di
khemah saya terus bersujud syukur. Pengalaman demi pengalaman di bumi barakah ini,
membuat saya semakin mengenal Sang Pencipta...
Selesai sudah ibadah melontar. Allah melindungi kami sepanjang berada di tanah sucinya yang penuh berakah.
No comments:
Post a Comment