Subuh hari pertama di kota suci Mekah sebagai tetamu
Allah untuk mengerjakan haji, saya dikejutkan oleh suami pukul 3 pagi untuk
bersiap-siap ke Masjidilharam mengerjakan solat Subuh. Mengharungi kesejukan
Subuh di Kota Mekah memberikan kesegaran luar biasa. Biarpun malam itu, kami
tidur lambat kerana tersalah hotel tetapi sedikitpun tidak ada rasa mengantuk
di mata saya. Ini nikmat pertama yang `dihadiahkan’ oleh Allah ketika di kota
Mekah.
Kerana belum biasa dengan persekitaran jalan
tambahan hari masih gelap, kami berlima sama-sama memerhati jalan. Tidak mahu
tersalah lagi. Antara hotel Seif Al Yamani dengan Masjidilharam lebih kurang
700 meter. Apabila kami berjalan sedikit sahaja ke hadapan, dataran masjid
sudah kelihatan.
Saya sentiasa berdoa agar dapat solat mengadap depan multazam ini. Saya berdoa setiap hari. Allah Maha Pendengar...
Selesai solat Subuh yang pertama, kami cuba mengikut
laluan lain pula untuk pulang ke hotel. Kali ini kami lebih bersemangat kerana
kami jalan berlima. Memang sudah dilorongkan Allah, dalam perjalanan pulang itu,
kami terlihat ramai jemaah haji dari pelbagai bangsa sedang beratur panjang.
Untuk mengetahui apa yang ditunggu oleh para jemaah ini, kami mendekati kawasan
itu. Alhamdulillah, rupa-rupa para jemaah ini beratur menanti roti canai.
Walaupun baru sehari meninggalkan tanahair, tercium harum
bau roti canai ini, kami terasa rindu untuk menjamahnya. Akhirnya kami turut
beratur. Subhanallah, patutlah ramai yang berbaris, sedap sungguh rasa roti
canai itu. Walaupun kami berlima tetapi kami membeli 10 keping. Di hotel mungkin
ada jemaah lain yang teringin. Memang benar pun. Rotinya terasa begitu lembut
dan lemak. Jauh lebih besar daripada roti canai kita di sini. Ia hampir sebesar
sebiji pinggan dan harganya sekeping hanya satu riyal. Saya fikir ramai jemaah Malaysia
yang tahu mengenai roti canai ini (saya menyebutnya roti canai kerana ia tidak
berbeza langsung dengan roti canai di sini kecuali rasanya jauh lebih sedap).
Cerita roti canai hanya sebuah selingan. Saya
bercerita mengenainya kerana selepas hari pertama itu, kami tidak dapat lagi
merasainya kecuali pada hari terakhir kami di Kota Mekah, baru kami dapat
menjamahnya semula. Hari-hari selepas hari pertama itu, semakin ramai orang
tahu tentang keenakan roti canai tersebut dan ada yang sanggup turun untuk
solat Subuh lebih awal semata-mata, untuk menempah roti tersebut. Mereka akan
membayar dahulu dan diberikan resit. Pulang dari solat Subuh terus beratur
untuk mengambilnya. Kami selepas itu, cukuplah berpuas hati dengan makanan di
hotel. Ia pun sedap juga. Kami tidak perlu membesarkan selera di sini. Sebab
apabila kita sentiasa menerima apa pun yang disediakan dengan rasa bersyukur,
kita akan dapat menikmati lazatnya makanan itu.
Saya teringat pesan Ustaz Zahazan yang memberi
ceramah ketika berkursus haji dahulu. Katanya, apabila kita membetulkan niat,
Allah akan meluruskan jalan. Jangan banyak bersungut dan membazir. Di Mekah
tempat kita beribadah. Lakukannya dengan sebaik yang kita mampu. Saya berusaha
mengikut nasihat itu. Ia nasihat yang baik.
Disebabkan hanya saya seorang jemaah perempuan dalam
kumpulan kecil kami, saya sentiasa diapit oleh empat lelaki yang sememangnya
teman rapat saya dan suami. Ketika sampai di pintu masjid, saya harus menuju ke
saf wanita sementara empat lelaki itu menuju ke arah saf lelaki. Kami berjanji
bertemu di pintu masuk. Siapa yang selesai dahulu akan menunggu di situ. Kami masuk
melalui pintu Babusalam. Pintu yang penuh berakah.
Saya belajar memahami orang lain, melalui diri sendiri. Allah sentiasa memberikan pertunjuk-Nya.
Babusalam adalah laluan kami setiap hari untuk masuk ke masjidilharam. Kami mencari redha Allah. Semoga doa-doa kami di sini Allah perkenankan...
Sahabat-sahabat saya. Dari kiri Haji Mohd Ali, Haji Hamzah, Haji Ishak (suami saya) dan Haji Zakaria.
Masuk melalui pintu ini, kita akan terus dapat
melihat Multazam, Hajarul Aswad dan makam Nabi Ibrahim. Alhamdulillah kami terpilih
untuk melalui pintu itu setiap hari, kerana pintu itu adalah arah dari hotel
tempat kami menginap.
Ada sesuatu yang mahu saya kongsi di sini dengan
anda yang membaca blog saya. Disebabkan kawasan yang mengadap Multazam, Hajarul
Aswad, makam Nabi Ibrahim dan dapat melihat dengan jelas Hijir Ismail dari situ,
bukan satu perkara mudah untuk mendapat tempat solat di kawasan itu, biarpun
kami masuk melalui Babusalam. Saya terus teringatkan pesanan Prof Mohd Kamil
Ibrahim dalam bukunya Trevolog Haji, yang telah saya baca ketika mahu
mengerjakan umrah enam bulan sebelum itu. Kuasa doa dan pengantungan kepada
Allah membuktikan betapa Allah itu amat Pengasih dan Penyayang.
Sejak hari pertama itu, saya berdoa dan yakin Allah
akan membantu saya. Turun dari hotel saya terus berdoa, “Ya Allah, aku datang ke sini atas jemputan-Mu. Jadikanlah aku
tetamu-Mu yang istimewa. Aku mahu bersolat mengadap multazam. Kau permudahkanlah
Ya Allah. Kau terimalah segala ibadahku biar sedaif mana pun hamba-Mu ini, Ya
Allah. Aku datang ke sini hanya kerana-Mu Ya Allah. Hanya kerana-Mu. Kau bantu
dan lindungilah aku... Ampunilah dosa-dosaku Ya Allah, biar sebanyak mana pun
dosa itu. Kau Maha Pengampun...
Inilah doa yang saya baca setiap hari, sebaik turun
ke lobi hotel menuju ke masjidilharam bagi mengerjakan solat sama ada Subuh,
Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Saya berdoa bersungguh-sungguh, malahan kerap
air mata saya gugur ketika membacakan doa ini. Saya tahu siapa diri saya. Dan
kepada-Nya tempat saya memohon keampunan. Selepas berdoa saya membayangkan saya
sedang bersolat mengadap pintu Kaabah.
Dan sepanjang perjalanan menuju ke masjidilharam,
saya akan beristighfar. Saya fikir bukan saya sahaja yang berbuat demikian,
empat yang lain juga begitu kerana sepanjang perjalanan ke masjid, kami jarang
berbual. Masing-masing seperti dalam dunia sendiri. Dan kami hanya bertitip
pesan di pintu Babusalam.
Subhanallah... saya tidak dapat menggambarkan
perasaan saya melalui tulisan ini, kerana sepanjang saya bersolat di masjidilharam
itu, di depan Multazam lah tempat saya mengadap ketika bersolat. Dan yang
lelakinya berada di dataran Kaabah bersolat di depan pintu Kaabah. Hanya sekali
dua sahaja saya bersolat di tempat lain, itupun jika suami dan rakan yang lain mahu
bersolat di tingkat atas dan mengajak saya bersama. Ya saya pun mahu
merasainya. Setiap sudut di masjid ini harus dijelajahi.
Kami sentiasa berlima ke mana-mana sahaja. Dan kami menjadi semakin akrab setelah pulang ke tanah air. Rindunya suasana seperti ini. Ya Allah, sampaikan kami semula ke tanah suci-Mu...
Dari tingkat atas kelihatan manusia sedang memenuhi dataran Kaabah. Ketika ini kami bertawaf di tingkat atas. Walaupun pusingannya lebih lama tetapi keadaan tidak begitu berasak-asak. Namun tawaf berdekatan Kaabah lebih terasa syahdunya...
Berkongsi cerita tentang laluan untuk duduk di dalam masjid mengadap Multazam, ada juga masanya jika saya terlambat sedikit turun ke masjid, di kawasan multazam itu telah penuh. Adakalanya polis yang mengawal tidak membenarkan jemaah menaiki tangga untuk masuk ke situ, tetapi Alhamdulillah saya sentiasa diberikan laluan. Mungkin kerana saya tidak datang berkumpulan. Saya hanya sendiri, jadi tiada halangan untuk saya. Dan lebih membuat hati saya tersentuh apabila sampai di dalam masjid, ada sahaja yang sudi memberikan saya tempat duduk. Saya berdoa siapa pun mereka yang memberikan saya tempat duduk itu, diberikan rahmat Allah. Semoga Allah makbulkan.
Setiap hari dan setiap masa ketika di tanah suci,
saya berdoa dan terus berdoa agar keberadaan saya di dunia ini memberi manfaat
kepada orang lain. Agar kewujudan saya bukan sia-sia. Saya berusaha memahami
orang lain melalui diri saya sendiri. Saya meletakkan setiap peristiwa yang
digerakkan berlaku kepada saya, sebagai cara Allah mengajar saya untuk lebih
banyak bersabar dan prihatin. Ketika semua tetamu Allah berasak-asak merebut
saf untuk menunaikan sembahyang di dalam Masjidilharam, saya sedar bahawa kita
tidak boleh sombong dan mementingkan diri. Hidup ini perlu berkongsi. Tidak
boleh bermegah dengan apa yang kita ada, kerana tanpa orang lain apalah
maknanya diri kita ini.
Sesekali kami berlima bersolat di tingkat paling atas. Ini waktu antara Maghrib dan Isyak. Ketika ini jemaah masih belum penuh lagi.
Kerana itu saya selalu berpesan pada diri sendiri
agar melapangkan tempat untuk orang lain di sebelah saya seperti mana orang
lain melapangkan tempat duduk mereka untuk saya, biarpun keadaan sudah sesak.
Bagi saya, sesak hanya sekejap. Apabila semua orang sudah bangun berdiri untuk mengerjakan
solat, pasti ada ruang untuk masing-masing bersujud kepada-Nya. Dan ianya
memang benar. Allah sentiasa melapangkan masjid itu biar berjuta orang
mendudukinya.
Saya diberi peluang mengalami pelbagai peristiwa
menarik di tanah suci. Allah sudah mengaturkannya begitu. Selagi
Allah memberikan kita ujian, dugaan dan petunjuk, itu tandanya Allah sangat
sayangkan kita sebagai hamba-Nya. Kitalah yang harus belajar memahami kasih
sayang Allah yang didatangkan kepada kita dalam pelbagai bentuk dan rupa...
Selepas ini saya akan kongsikan pengalaman ketika
berada di Arafah, Muzalifah dan Mina untuk mengerjakan rukun haji dan bagaimana
pertemuan suami dengan jiran tetangga yang tidak pernah kami temui ketika hidup
berjiran, tetapi Allah pertemukan kami di satu hotel, satu level dan rahsia itu
terbuka ketika di Masjidilharam. Maha Besar Allah. Dia yang mengetahui
segala-galanya.
No comments:
Post a Comment