Tanggal 8 November 2009, saya bersiap-siap untuk
meneruskan perjalanan ibadah ke Madinah. Ini adalah hari terakhir saya berada
di Mekah. Selepas solat subuh, saya, suami dan tiga yang lain berjanji untuk
membuat umrah terakhir sebelum berangkat. Habis bersarapan pagi, kami mengerjakan
dhuda sebentar. Pada mulanya kami mahu berangkat ke Masjid Tanaim yang hanya 5
km sahaja dari Masjidilharam untuk miqat umrah, pada pukul 9 pagi tetapi ada
yang mahu membasuh pakaian dahulu. Jadi kami
akhirnya sepakat untuk miqat di Tanaim pukul 10 pagi. Saya menanti dengan penuh
debar. Jarang hati saya berdebar tetapi pagi itu terasa lain.
Ini adalah solat Subuh terakhir saya di masjidilharam pada musim haji itu. Saya bersyukur dengan apa yang sudah saya nikmati sebelumnya.
Dalam menunggu suami dan rakan-rakan kami, saya
terus mengemas barang-barang yang masih belum dimasukkan ke dalam beg untuk
perjalanan seterusnya esok. Allah Maha Besar dalam saya sibuk mengemas, saya
mendapat halangan untuk meneruskan hajat
melakukan umrah terakhir itu. Saya terdiam. Pelbagai perasaan masuk ke fikiran
saya. Rasa ingin menangis pun ada. Saya nyatakan kepada suami mengenai uzur
syarie itu. Dia mengucapkan Alhamdulillah... Saya terdiam. Kenapa? Adakah dia
gembira? Melihat wajah saya yang suram, suami memujuk. Katanya ketika di
tanahair, bukankah kami sudah berdoa agar Allah permudahkan segala perjalanan
haji kami hingga selesai. Jangan ada halangan terutama mengenai keuzuran ini. Siang
malam kami berdoa agar uzur syarie itu dapat dilambatkan kedatangannya.
Benar, Allah sudah makbulkan doa itu kerana
sepatutnya uzur syarie saya memang bertepatan pada waktu wukuf di Arafah dan
melontar di Mina. Dalam keadaan bersesak di Arafah dan Mina, apalagi
keterbatasan penggunaan bilik air, tentu saya tidak selesa jika uzur ketika itu.
Paling pentingnya, tentu saya tidak dapat melakukan pelbagai solat ketika Wukuf
di Arafah. Syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan dan uzur itu tertunda hingga
saat saya mahu berangkat ke Madinah. Saya sempat menghabiskan waktu-waktu
sebelum meninggalkan Mekah dengan menambahkan tawaf, solat wajib, sunat dan beriktikaf
di Masjidilharam.
Biarpun berkali-kali menjejakkan kaki di sini, ia tidak mampu menghilangkan rindu untuk berkunjung semula...
Sekali lagi saya mengucap syukur apabila suami
memberitahu, “Jika sudah berniat ihram di masjid Tanaim, tetapi tidak sempat
mengerjakan tawaf umrah, pasti kita tidak boleh meneruskan perjalanan ke
Madinah esok pagi sehingga awak kembali suci untuk melaksanakan umrah... Allah
mengatur semua itu dengan sebaik-baiknya. Jadi kita mesti terima keuzuran ini dengan
hati terbuka..."
Kata-kata itu membuatkan saya terus menadah tangan mensyukuri apa yang sudah dijanjikan
Allah untuk saya.
Walaupun amat tersentuh kerana tidak dapat melakukan
tawaf wada’ sebelum berangkat ke Madinah, namun
saya sentiasa yakin apa yang sudah ditentukan oleh Allah itu ada kebaikan di
sebaliknya. Allah telah memudahkan segala urusan dan perjalanan haji saya seperti yang saya doakan.
Mekah akhirnya kami tinggalkan dengan niat untuk kembali lagi
dengan izin-Nya suatu hari nanti. Kami menuju ke Madinah untuk bertemu jejak
Rasulullah.
Kami akan berangkat ke Madinah. Sedang menanti petugas menaikkan beg-beg ke atas bas. Pelbagai perasaan dirasai ketika ini...
Perjalanan ke Madinah pada 9 November itu membawa
sebuah perasaan baru. Saya mahu sekali lagi mengunjungi Makam Rasulullah dan
solat sunat di Raudhah. Ingin melihat semula makam para sahabat di Jabal Uhud, ingin menikmati teh di kebun kurma dan banyak lagi yang masih mahu saya rasai semula.
Perjalanan yang memakan masa hampir 6 jam itu tidak
begitu meletihkan kerana kami singgah di beberapa tempat rehat. Pemandangan di
kiri kanan jalan juga membuatkan mata tidak mahu lelap. Luasnya padang pasir
dan gunung-ganang sepanjang perjalanan membuat saya tidak puas memandang. Pemandangan sebegini tidak saya temui di tanahair. Ada
yang sempat dirakamkan dari dalam bas.
Beginilah keadaan padang pasir yang dipenuhi batu-batan sepanjang perjalanan dari Mekah ke Madinah. Ada bukit-bukit dan gunung-ganangnya yang berwarna coklat kemerah-merahan. Sangat cantik dilihat dalam pancaran cahaya pagi...
Bangunan-bangunan dan rumah-rumah penempatan mulai kelihatan apabila hampir memasuki kota Madinah.
Kami juga singgah antara sempadan Mekah dan
Madinah untuk urusan imigresen. Dalam
persinggahan itu kami bukan sahaja menerima bekalan makanan tetapi juga
mendapat hadiah berupa buku-buku agama dan terjemahan al-Quran.
Menjelang waktu Asar kami sampai ke hotel Al-Haram,
tempat di mana saya dan suami akan menginap sepanjang di Madinah. Perasaan yang sama saya rasai semula seperti ketika pertama kali menjejakkan kaki ke kota Madinah.
Selesai
urusan kemasukan ke bilik masing-masing, saya membersihkan diri. Saya tidak
tergesa-gesa untuk mengejar waktu solat seperti jemaah yang lain kerana dalam
keuzuran. Saya merehatkan diri di dalam bilik hotel sementara menunggu suami
pulang dari masjid Nabawi.
Saya mendapat rakan sebilik yang lain di hotel Al-Haram.
Kesemua rakan sebilik saya kali ini adalah guru. Sebenarnya mereka tidaklah
asing buat saya kerana kami sudah saling kenal mengenali. Di Mekah kami sama hotel, sama tingkat dan kerap bertegur sapa. Kami juga satu
khemah ketika di Arafah dan Mina.
Belum pun bermalam bersama sebagai rakan sebilik di
sini, saya sudah merasakan keserasiannya. Kesemua mereka berasal dari Kedah. Kami
mengumpul pelbagai cerita bersama-sama...
Di sini saya menginap sepanjang tinggal di Madinah. Sangat dekat dengan Masjid Nabawi.
No comments:
Post a Comment