NURI SUPIAN
Zaman
senang dan zaman susah memang boleh datang dan pergi. Kadangkala umpama
membalikkan tapak tangan. Datang sekelip mata dan hilang pun sekelip mata juga.
Itulah hidup yang kerap pula diumpamakan sebagai roda yang berpusing, kejap di
atas dan ke bawah. Sebab itulah apabila dalam waktu menyenangkan, ingat pada
mereka yang dirundung kesusahan. Jangan anggap senang itu milik kita selamanya.
Bagi yang dalam kesusahan usah menangis menyalahkan takdir atau merintih kerana
nasib malang. Ingat kesusahan itu pun satu `kesenangan’ yang akan berguna suatu
hari kelak.
Saya
belajar perkara ini daripada seseorang yang jauh lebih muda daripada saya. Dia
memberitahu bahawa kesenangan mengajarnya untuk ingat susah. Kerana itu apabila dia mengalami zaman susah
kerana perniagaannya jatuh merudum, dia menghadapinya dengan tenang. Ketika
mengejar kesenangan, dia diasuh untuk menikmati kesenangan itu dan tayangkannya
agar orang lain termotivasi melihat apa yang digenggam dan apa yang sudah
dicapai. Menggetarkan! Memberi inspirasi kepada orang yang ingin berjaya dan
kaya perlukan usaha dan semangat yang kuat. Azam ditanam agar rezeki mesti
dikongsi dan tidak kaya sendiri. Alhamdulillah, niat itu amat baik tetapi
perjalanan hidup yang lurus kerapkali dibengkokkan.
“Ketika
melihat ramai yang ingin senang dan memiliki apa yang dihajati, saya sama
teruja. Apabila apa yang diimpi jadi kenyataan, hidup pasti lebih bermakna.
Cuma kita ini manusia lemah. Lemah melihat silauan. Mata cepat terpejam dan
khayal dalam kilauan itu. Kerana ramai menjadi lupa, maka terperangkaplah di
situ. Ujian susah pun bermula…” mukadimah kata yang penuh dengan makna. Saya
faham apa yang dimaksudkan.
Hari
ini dia tidak mengejar lagi. Dia ingin duduk dan diam menikmati kesusahan yang
diberikan. Hatinya lebih tenang, tidak ada lagi beban untuk mempamerkan diri.
Kesusahan ini memberikan `kesenangan’ yang tersendiri. Lihatlah kekayaan Allah,
ketika dia memberikan kekayaan harta dan kita sibuk dengan kekayaan itu, dia
hilangkan sedikit ketenangan di hati kerana setiap hari harus berfikir,
berfikir dan berfikir agar senang itu kekal. Sedangkan yang kekal itu hanya
Allah. Hari ini dia hanya diberikan sedikit, kerana sedikit, dia tidak boleh
lagi menayangkannya, namun hatinya terasa lebih ringan. Hidupnya kembali
memberi makna. Rupanya inilah yang dicari-carinya selama ini.
Harta
biar banyak tetapi hati jangan tamak. Rezeki biar menimbun tetapi mata jangan
rabun. Allah memang menyuruh kita berusaha mencari kesenangan hidup tetapi jangan
sesekali keluar dari tali Allah. Ingat pesan ini carilah rezeki seolah-olah
kita akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadatlah seolah-olah kita akan mati
esok hari. Pesan ini amat mendalam maknanya…
Jadilah
kita orang yang beramal dengan rezeki, dan kekayaan itu adalah bonusnya…dan
jadilah kita orang yang diberikan nikmat dan rahmat itu akhirannya…
No comments:
Post a Comment