Thursday, October 10, 2013

Mekah tempat belajar Redha



Saya, bersama semua jemaah sampai ke Lapangan Terbang Jeddah hampir waktu Zohor (waktu tempatan). Agak lama kami di sini kerana pelbagai urusan imigresen dan urusan jemaah oleh Tabung Haji dan pihak Saudi. Kami keluar dari lapangan  terbang setelah menghampiri waktu Asar. Setelah semua urusan imigresen dan bagasi selesai, kami diberikan masa rehat sebentar sebelum menaiki bas masing-masing.
Perjalanan dari Jeddah ke Mekah mengambil masa lebih kurang dua jam. Kami sampai di hotel  melewati waktu Maghrib. Setelah mendapat bilik masing-masing, kami membersihkan diri, makan dan berehat sebentar. Malam itu, kami hanya bersolat Maghrib dan Isyak di dalam bilik.
Kami diminta berkumpul di lobi hotel pukul 10 malam untuk melakukan umrah. Kami sudah bermiqat dalam kapal terbang ketika kapal terbang melintasi  Qarnul Manazil, iaitu lebih kurang satu jam dari Jeddah. Semua jemaah termasuk saya tidak sabar-sabar untuk melakukan ibadah itu. Biarpun sudah ada sedikit pengalaman melakukan umrah enam bulan sebelumnya, namun umrah kali ini adalah satu tugas besar. Ia umrah untuk melengkapkan haji.

Perjalanan indah sebagai tetamu Allah kami hayati bersama. Semoga ibadah kami diterima-Nya.
Setelah diberi taklimat oleh pengurusan tabung haji, kami bergerak beramai-ramai menuju ke Masjidilharam. Mutawif Arab yang membimbing untuk kami melakukan umrah adalah dari pihak muassasah. Disebabkan jumlah jemaah yang ramai, sudah tentu kita memahami, ia tidak seperti apa yang telah diatur.
Mutawif tentu sukar memuaskan hati semua orang, tambahan pula beliau menggunakan bahasa Arab untuk menerangkan perjalanan tawaf, saei dan bertahalul. Saya fikir bukan semua faham apa yang dijelaskan. Namun disebabkan hampir kesemua jemaah sudah berkursus haji, jadi masing-masing cuba memahaminya dengan  baik. Saya dapat melihat beberapa warga tua mengangguk-anggukkan kepala. Biarpun mungkin faham, saya kira bagi yang pertama kali datang ke tanah suci, ia harus lebih berhati-hati. Saya meletakkan diri saya di tempat mereka.
Gambar Masjidilharam di waktu malam. Saya menumpahkan doa sepanjang berada di sini dan saya juga belajar menjadi redha sebagai hamba Allah.
Sebelum memulakan tawaf, saya memberi sedikit pesan berdasarkan pengalaman saya kepada suami dan tiga rakan saya jika kami terpisah dengan mutawif atau kumpulan jemaah yang lain. Kami sepakat jika terpisah, masing-masing mesti selesaikan tawaf dan tunggu di tempat lampu hijau (tempat menandakan tawaf bermula). Alhamdulillah, kami berjaya melaksanakan pusingan tawaf dengan sempurna, namun kumpulan besar kami sudah berpecah. Kami mengikut mutawif menuju ke tempat saei dan melakukan ibadah itu dengan tertib sehingga selesai dan bertahalul. Keluar sudah kami daripada ihram. Dan selesai sudah ibadah umrah kami. Biarpun ada yang terus pulang ke hotel selepas itu, namun saya dan suami mengambil keputusan untuk menunaikan solat-solat sunat di masjidilharam.
Jemaah dari pelbagai pelusuk negara sudah penuh sesak di dalam masjid. Saya faham keadaan ini kerana waktu Wukuf semakin hampir. Kebanyakan jemaah yang berada di Madinah sudah berada di Mekah.
Saya dan suami mula berangkat meninggalkan masjidilharam ketika jam menunjukkan pukul 1.30 pagi. Kami bertemu beberapa orang rakan jemaah dari maktab yang sama ketika dalam perjalanan pulang ke hotel. Tetapi ada sesuatu yang berlaku pada malam itu.
Ini masjid Jin. Saya akan bersembahyang Zohor di sini pada hari Jumaat. Kami wanita biasanya dinasihatkan untuk bersembahyang di masjid berdekatan tempat tinggal dan memberi lalu kepada kaum lelaki untuk bersembahyang Jumaat di Masjidilharam. Subahallah. Setiap masjid ditanah haram mempunyai keberkatannya yang tersendiri...

Nama hotel di tag kami tersalah. Ketika bergerak pulang, kami mengikut nama hotel yang ada di tag itu tetapi Masya-Allah, kami sudah tersalah hotel. Sampai di lobi, saya lihat keadaan hotel itu amat berlainan dengan hotel tempat kami ditempatkan. Saya dan suami berpandangan sesama sendiri. Hari sudah larut benar. Kami akhirnya mengambil keputusan bertemu dengan pengurusan hotel tersebut untuk meminta tolong. Seorang kaki hotel tersebut telah membawa kami pulang ke Hotel Seif Al Yamani, hotel penginapan kami yang sebenar. Rupanya hotel itu hanya beberapa meter sahaja dari hotel tersebut.
Biarpun sedikit bimbang, kami selamat sampai ke hotel tempat kami menginap selama berada di Mekah. Rupa-rupanya bukan kami sahaja yang tersalah hotel. Ada beberapa jemaah lain juga sama seperti kami. Apabila sampai ke lobi hotel, mereka bertanya, “tadi tersalah hotel tak?” Kami hanya tersenyum dan mengangguk. Ini bukan salah orang lain tetapi kami sendiri yang tidak memberi perhatian pada jalan ketika menuju ke masjidilharam.
Ini adalah Pasar Seng tempat lalu jemaah menuju ke Masjidilharam dan ada singgah membeli-belah selepas pulang dari solat di masjid. Saya juga kerap menggunakan laluan ini. (gambar dari blog Biar Disayang Allah)
Akhirnya kami tahu kenapa tag kami tercatat nama Hotel Gazzah. Kami pun sepatutnya menginap di hotel itu, tetapi ia agak padat untuk menampung semua jemaah dari penerbangan yang sama dengan saya. Kerana itu, pihak tabung haji telah memindahkan lebih kurang 40 jemaah termasuk saya ke hotel lain, namun tag itu tidak sempat ditukarkan nama hotelnya.
Ia satu peristiwa kecil  yang berlaku pada malam pertama kami sampai, tetapi ada maknanya pada saya. Allah akan menguji kita dengan pelbagai cara. Mekah tempat kita belajar redha...
Ini kawasan Hotel Gazzah. Di depannya adalah masjid Kucing. Kini tempat ini yang sering saya berulang-alik empat tahun lalu sudah dirobohkan untuk meluaskan dataran masjidilharam.
Masjid Jin ini betul-betul berhadapan dengan Hotel Seif Yamani, hotel saya, suami dan tiga rakan-rakan menginap sepanjang menjadi tetamu Allah di kota suci Mekah

No comments:

Post a Comment