Monday, October 14, 2013

Wukuf hari pintu langit terbuka




Mendengar khutbah haji atau khutbah Arafah yang disampaikan oleh Dato’ Seri Jamil Khir, saya tidak mampu menahan air mata. Sebak sungguh! Saya melihat siaran langsung itu. Saya memang nanti-nantikannya. Saya dapat melihat para jemaah menangis tersedu-sedu. Mereka tidak dapat menahan perasaan ketika khutbah itu dibacakan. Bukan hanya jemaah, Dato’ Seri Jamil Khir sendiri dilihat tidak mampu menahan tangis, ketika sedang membacakan kuthbah Arafah dan ketika sedang membacakan doa. Melihat siaran langsung itu, kenangan ketika mengerjakan Wukuf di Arafah pada 2009, kembali mengimbau dan berlintas langsung di minda saya.
Saya teringat kembali, kami para jemaah haji diminta bersiap sedia untuk melakukan perjalanan menuju Arafah pada 25 November 2009. Jemaah di hotel kami akan dibawa secara berperingkat-peringkat mengikut tingkat hotel masing-masing, bagi mengelakkan kesesakan di lobi dan untuk memudahkan urusan. Bermula jam 11 pagi, perjalanan pertama telah dimulakan. Sebelum berangkat ke Arafah, saya naik ke bumbung hotel untuk mengambil kain-kain jemuran. Hotel itu memang menyediakan tempat jemuran kain bagi yang tidak menghantar kain ke dobi. Saya memilih membasuh sendiri. Dari tingkat atas itu, saya melihat cuaca sangat mendung. Adakah hujan akan turun?
Ini adalah tempat kami menjemur pakaian. Tidak ada aktiviti lain di sini selain beribadah. Jadi sekadar membasuh pakaian memberi kami sedikit kerja. Biasanya kami membasuh waktu malam dan menjemurkan selepas sarapan pagi. Dari tempat ini kami boleh melihat perkuburan Ma'ala...

Ketika mendengar nama tingkat saya diumumkan, saya turun ke lobi hotel. Ketika itu waktu sudah menunjukkan hampir pukul 11.30 pagi.  Memang tidak dapat dielakkan kita daripada menanti. Bukan kerja mudah menguruskan ribuan jemaah serentak. Dalam kami menunggu-nunggu ketibaan bas, cuaca kelihatan semakin gelap dan akhirnya hujan turun mencurah-curah. Sangat lebat! Ia hujan rahmat. Sepanjang saya di kota Mekah, cuaca amat panas dan berdebu. Tambahan pula kerja-kerja meruntuhkan beberapa bangunan sedang dijalankan. Hujan itu dapat meredakan dan menyejukkan cuaca.
Hujan terus mencurah-curah tanpa henti. Pengurusan Tabung Haji semakin sibuk untuk menaikkan para jemaah ke dalam bas. Akhirnya tiba giliran saya menaiki bas dengan berpayung. Di dalam bas, kami diminta berniat ihram haji bersama-sama. Kami akhirnya bergerak menuju Arafah. Dan sepanjang perjalanan, hujan tetap tidak berhenti  mencurah, sebagaimana tidak berhentinya  kami bertalbiah.
Labaik Allahuma labaik. Labaika laa syariikalaka labaik. Innal hamda wani'mata lakal walmulk. Laa syariikalak. (Aku datang kepada Mu ya Allah, aku datang. Aku datang dengan tidak mensyirikkan Engkau, aku datang. Sesungguhnya segala kepujian kepada Engkau, segala ni'mat dari Engkau dan kerajaan kepunyaan Engkau. Tiada sekutu bagi Engkau)
Kota Mekah ke Padang Arafah kalau dalam keadaan biasa, perjalanannya lebih kurang setengah jam sahaja.  Jaraknya pula hanya lebih kurang 22 km, namun dalam keadaan hujan lebat dan kesesakan jalanraya yang luar biasa, menyebabkan kami mesti banyak bersabar. Kami sampai di Arafah menghampiri waktu Asar. Langit Arafah sudah terang benderang. Cahaya panas mula memancar, biarpun kesan hujan masih ada.
Sebaik sahaja kaki  memijak tanah Arafah, saya menadah tangan. Air mata semakin murah dan mencurah. Ya Allah kau sempatkan aku untuk berwukuf di tanah suci-Mu. Kau ampunilah dosa-dosaku... Saya terus bermohon pelindungan Allah.
Ketika baru sampai ke Arafah. Ini adalah pemandangan khemah kami ketika berada di bumi bertuah itu.
Ini Thahirah rakan sebilik saya. Kami menjadi rapat seperti adik beradik biarpun hanya sebulan lebih sahaja kami bersama di Mekah kerana kami tidak bersama ketika di Madinah. Thahirah dan suaminya amat aktif. dia dan suaminya menjadi sukarelawan untuk membantu para petugas tabung haji menjaga jemaah sepanjang di Arafah.

Setelah mendapat tempat di khemah yang sudah tersedia itu, saya berehat sebentar. Bersilaturahim dengan rakan-rakan baru yang ditempatkan dalam satu khemah. Permaidani masih sedikit lembab di beberapa sudut, namun ia telah kering menjelang senja. Saya membersihkan tubuh dan mendapat kesempatan mandi. Sebenarnya ujian lain di Arafah adalah bersabar dengan kesesakan di bilik air. Jutaan manusia berkumpul di tempat yang sama dan mahu menggunakan kemudahan yang diberikan dalam masa hampir sama setiap masa, membuatkan semua di antara kami berusaha menjaga air wuduk. Kami menggunakan masa bermalam di Arafah dengan menghabiskannya dengan solat-solat wajib dan sunat, berzikir dan bertalbiah. 
Di Arafah saya teringat satu peristiwa yang membuat kami dilanda bimbang. Seorang rakan di dalam khemah tiba-tiba diserang sakit perut yang teruk. Doktor dari Tabung Haji dipanggil tetapi nampaknya dia memerlukan rawatan lebih rapi dan segera dibawa ke hospital. Kami berdoa agar dia selamat dan segera kembali ke khemah, namun hingga keesokan harinya dia masih ditahan di wad. Alhamdulillah menjelang waktu Wukuf, dia telah dihantar semula ke Arafah. Keadaannya semakin baik biarpun nampak masih lemah. Sedikit ujian untuknya tapi dia kelihatan begitu tabah dan sabar.
Kami para jemaah dari Tabung Haji, sememangnya telah diberitahu mengenai masalah bilik air dan bilik mandi, jadi semua orang harus cepat bersedia. Saya bangun pukul 2 pagi untuk `menempah’ bilik air. Saya fikir waktu ini, mungkin kurang sedikit jemaah menggunakan bilik air itu tetapi Subhanallah ketika sampai ke bilik air yang tidak jauh dari khemah, saya sudah melihat satu barisan panjang. Rupa-rupanya ada orang lebih awal daripada saya. Kalau tidak sedang berhajat, menanti itu bukan satu kepayahan. Namun kebanyakan jemaah berempati. Tandas itu milik semua jemaah. Jarang ada yang mementingkan diri di sini.
Setelah siap membersihkan diri dan berwuduk, saya dan beberapa yang lain melakukan beberapa solat-solat sunat sementara menanti waktu Subuh. Debaran menanti waktu Wukuf amat terasa. Masing-masing sukar memejamkan mata.  Ini waktu penentu! Ketika azan Subuh bergema dari khemah lelaki, kami terus meluruskan saf. Fajar 9 Zulhijjah telah menyingsing. Kami di Arafah menyambutnya dengan penuh gembira dan syukur. Saya masih terkenang-kenangkan perasaan itu,  ketika ini.

Selepas solat Subuh, kami meninjau-ninjau di luar khemah. Bukit itu nampat sangat cantik dari jauh dan ada jemaah yang memanjat dan tidur di sana. Ia pilihan masing-masing.

Selesai solat, kebanyakan jemaah keluar khemah mahu menyedut udara subuh di Arafah. Dalam suasana pagi yang masih berbalam, saya, suami dan ramai jemaah lain, mengusuri jalan-jalan di sekitarnya. Tidak jauh dari khemah kami ada sebuah bukit. Kelihatan ramai jemaah yang sedang memanjat bukit-bukit itu dan ada juga yang tidur di celah batu di situ. Mereka mungkin sedang mencari tempat yang afdal untuk berdoa. Tetapi kebanyakan jemaah itu bukan dari Malaysia.  Kami hanya memandang dari kaki bukit. Pelbagai cara manusia menjadi redha Allah. Semoga mereka mendapat rahmat-Nya. Itu yang saya katakan pada suami dan dia mengaminkannya.
Saya dan suami bersarapan, setelah puas menyedut udara Arafah yang segar. Ia menyegarkan tubuh kami.

Saya dan Thahirah menjadi rapat sepanjang di tanah suci. Saya berharap dapat bertemu Thahirah lagi, biarpun kami pernah berhubung selepas kembali ke tanahair.

Suasana dingin pagi di Arafah, benar-benar membuat hati rasa tersentuh. Rasa syahdu menyelinap ke seluruh kalbu. Saya bersyukur kerana diberikan kesempatan seperti ini oleh Allah SWT. Saya dipilih-Nya bukan kerana saya kaya, bukan kerana saya mulia, dan bukan sekali-kali kerana saya alim tetapi saya terpilih kerana itu janji Allah untuk saya sejak di luh mahfuz lagi.  Selepas bersarapan pagi, saya berehat-rehat sebentar sementara menunggu waktu kuthbah haji dan Arafah dibacakan. Saya meneruskan zikir.
Waktu yang dinanti-nanti sudah tiba. Hari di mana pintu-pintu lagi terbuka dan doa-doa diterima. Kami berkumpul mendengar kuthbah yang dibacakan oleh ustaz dari Tabung Haji. Sungguh syahdu dan menyentuh hati. Bukan hanya saya menangis tetapi hampir semua jemaah yang ada bersama saya tersedu-sedu. Saya menghayati perjuangan Rasulullah, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan para sahabat. Saya terasa amat kerdil dan begitu kecil. Tidak mampu membandingkan walau sekecil apa pun dengan pengorbanan para junjungan besar ini. Saya hamba-Nya yang lemah yang sentiasa meminta perlindungan-Nya.
Di akhir doa, saya memandang ke langit. Saya seperti mahu mencari sesuatu di sana. Subhanallah, saya melihat langit Arafah selepas waktu Asar itu, amat indah. Sungguh indah! Hati terasa ringan dan tenang. saya tidak berani menyatakan sesuatu tetapi pergerakan awan itu seperti sedang terbuka perlahan-lahan. 
Saya merakamnya beberapa klip untuk dijadikan kenangan. Dan saya hanya melihatnya semula selepas kembali ke Mekah.

Selesai kuthbah dan berdoa, kami bersolat berjemaah dan ketika matahari sudah tergelincir, masing-masing mencari tempat sendiri untuk memohon doa. Saya dan suami memilih berada di tengah padang. Di situ dipenuhi para jemaah namun masing-masing khusyuk dalam dunia sendiri. Hari ini adalah hari Hamba dan Tuhannya. Hari memohon sebanyak-banyaknya doa kerana doa-doa itu akan diangkat ke langit oleh para malaikat. Kami benar-benar hanyut dengan perasaan sendiri. Doa itu hanya antara saya dan Allah. Sebelum menyendiri, saya dan suami berdoa bersama. Dia membacakan doa dan saya mengaminkannya. Semoga Allah terima doa itu.
Hari Wukuf selesai sudah. Namun perjalanan haji ini masih panjang. Kami harus berangkat ke Muzalifah. Banyaknya pengalaman yang telah kutip. Ada yang akan saya kongsikan lagi.



No comments:

Post a Comment