Tuesday, October 29, 2013

Kisah-kisah aneh yang mengetuk pintu hati




Selesai segala urusan rukun haji, saya, suami dan rakan-rakan saya bakal berangkat ke Madinah. Tempat di mana Rasulullah disemadikan. Masjid Nabawi masjid kedua selepas masjidilharam yang dimuliakan oleh Allah menjadi tumpuan kami pula selepas ini. Tanah suci Mekah akan saya tinggalkan dengan pelbagai perasaan. Namun sepuluh hari sebelum meninggalkannya, saya dan rombongan kecil kami menjelajah bumi kelahiran Rasulullah ini mencari jejak Rasul. Bersolat sunat di beberapa masjid yang pernah dikunjungi dan disolati oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang berada di bumi Mekah ini pelbagai peristiwa aneh, gembira, yang menduga hati, melihat kebesaran Allah dan bermacam lagi, mengajar saya menjadi hamba yang redha, bersyukur, ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri. Biarpun sebagai manusia biasa, saya tetap melakukan kesilapan, namun hati saya sentiasa diketuk untuk ingat bahawa hidup ini hanya sementara. Esok, lusa belum tentu saya masih wujud di sini

Haji Mansor atau Pak Chot, lama kami tinggal berjiran tetapi Allah pertemukan kami di Tanah Suci dan menjalin silaturahim bermula dari Kota Mekah... Subhanallah!

Bukan hanya mengutip cerita sendiri tetapi peristiwa kecil yang berlaku kepada orang lain dan orang yang terdekat dengan saya turut memberi pelajaran berguna. Kisah bagaimana pertemuan dengan jemaah yang tinggal di blok apartment yang sama di tanah air, turut memberitahu saya dan suami, betapa lemahnya kami sebagai jiran tetangga sebelum itu. Hampir lima tahun kami tinggal berjiran (ketika itu saya masih tinggal di apartment), dia di tingkat 7 sementara saya di tingkat 12, tetapi kami tidak pernah kenal dan berkenalan. Kalau bersilih pun mungkin ketika di dalam lif atau berpas-pasan di mana-mana.
Allah pertemukan kami di kota Mekah. Di Hotel Seif Al Yamani, kami ditempatkan di tingkat yang sama. Biliknya berselang beberapa bilik sahaja dari bilik saya. Kami selalu berjumpa di lobi dan hanya tersenyum dan memberi salam. Namun hati saya meneka-neka seperti pernah melihat lelaki itu, tetapi tak pasti di mana. Saya nyatakan kepada suami. Dia juga berperasaan demikian. Suatu hari, suami dan jemaah itu bertemu di pintu masjid sementara menunggu saya. Mereka bertanya khabar dan bercerita lebih lanjut. Dan alangkah terperanjatnya, apabila sedar selama ini, kami tinggal berjiran. Bayangkan lima tahun di tanahair tidak kenal antara satu sama lain, tetapi baru tiga hari di kota Mekah, Allah pertemuan kami. Dan pertemuan itu pula di dalam masjid yang penuh dengan barakah. Maha Besar Kuasa Allah.
Pak Chot bukan sahaja menjadi rapat dengan suami dan saya tetapi turut menjadi rakan karib kami berlima. Haji Zakaria, Haji Kana, saya, Pak Chot dan Haji Hamzah. Seorang lagi Haji Ali. Dia yang merakamkan gambar kami berlima ini...

Pertemuan penuh makna itu akhirnya membuahkan hubungan yang rapat di antara kami. Ia menjadi seperti keluarga sendiri sehingga hari ini. Kisah pertemuan dengan Haji Mansor atau kami panggil Pak Chot itu membuatkan kami mulai memerhati jiran tetangga setelah pulang ke tanahair. Tidak kira siapa mereka, Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam. Kami terasa Allah sedang memberitahu betapa `sombongnya’ kami sebelum ini. Betapa mementingkan dirinya kami sehingga tidak peduli untuk kenal siapa jiran yang tinggal bersama kami di blok itu selain yang tinggal sebelah menyebelah. Pelajaran itu amat berguna...
Perkenalan dengan Pak Chot juga memberi kebaikan kepada kami kerana lelaki itu sebelum ini sudah beberapa kali ke Mekah dan Madinah kerana mengerjakan umrah. Jadi banyak tempat-tempat yang sudah diketahuinya. Bersamanya, kami meneroka bumi Mekah selepas selesai mengerjakan ibadah haji. Kami sempat ke perkuburan Ma’ala dan mencari tempat makan yang menjadi kegemaran jemaah dari pelbagai negara. Dia juga sudah biasa dengan kerenah orang-orang Arab, apalagi para peniaganya. Ini memudahkan kami ketika ingin membeli sesuatu. Ya begitulah aturan Allah.

Kami dan Haji Mansor telah menjadi seperti saudara sendiri sebaik sahaja bertemu di Tanah Suci. Jalinan persaudaraan yang paling indah...

Kami berjalan-jalan sekitar kota Mekah, setelah selesai segala rukun haji. Ketika ini adalah minggu-minggu terakhir, kami berada di Kota Mekah.

Di Mekah juga suami saya sempat berkongsi kisah, apabila dia bertemu dengan seorang pemuda kacak. Pemuda itu meminta wang sepuluh riyal daripadanya. Kata pemuda itu, dia sedang mengumpul wang untuk pulang ke negaranya. Ketika itu, suami kebetulan tidak membawa wang ke masjid dan jika bertemu esok, Insya-Allah akan diberikan. Pemuda itu mengangguk. Masya-Allah, keesokan harinya selepas selesai solat Zohor ketika beriringan dengan suami untuk pulang ke hotel, tiba-tiba pemuda itu muncul di depan suami
Di sini tidak pernah sunyi dengan manusia, setiap masa, 24 jam. 

Melihat wajahnya, suami terus teringat janji semalam. Suami memberikan wang seperti yang dijanjikan dan dia kelihatan amat gembira. Dalam sesaknya  kota Mekah, dan dalam kesibukan ribuan manusia hilir mudik, dia masih mampu mengingati wajah suami dan berjaya menemui, biarpun bukan di tempat yang sama. Begitulah kehendak Allah. Kisah-kisah sebegini sengaja saya kongsikan kerana ia memberi pelajaran secara sengaja ataupun tidak sengaja kepada saya.
Dalam catatan ini juga saya ingin mengimbau sebuah kisah mengenai seorang wanita yang pernah menelefon saya (selepas saya pulang ke tanah air dari tanah suci). Dia melahirkan rasa bimbangnya untuk mengerjakan rukun haji. Dia berasa dirinya belum bersedia dan banyak dosa. 
Katanya, namanya tersenarai untuk mengerjakan haji pada tahun yang sama dengan saya, tetapi mungkin kerana belum sampai seru, dia tidak terpanggil sehingga penerbangan terakhir berlepas ke tanah suci.
“Nasib baik juga saya tidak pergi, sebab saya belum benar-benar bersedia ketika itu, walaupun dalam hati sangat teruja untuk ke tanah suci. Saya takut!” Ujar wanita ini kepada saya.
Saya mendengar dengan baik. Dia juga bercerita apa yang menjadi sumber ketakutannya. Saya sedia maklum kerana bukan dia sahaja yang mengalami perasaan seperti itu, ramai lagi bakal jemaah termasuk saya sebelum melangkah ke tanah suci, berperasaan demikian.
“Allah penuh dengan kasih sayang. Jangan kita pertikaian kasih sayang itu. Bermohonlah kepada-Nya, pasti dia akan memberi.” Itu kata-kata yang dapat saya sampaikan kepada wanita ini. Saya tahu ketakutannya memang luar biasa.
Sebagai hamba-Nya, kita memang sukar melepaskan diri daripada melakukan sebarang kesalahan dan melakukan dosa-dosa. Namun selagi kita sedar, kita masih berpijak di bumi Allah dan menjunjung langit-Nya, selagi itulah Allah akan memberikan kita petunjuk dan pelindungan. Dosa pasti diampunkan jika kita memohon keampunan itu dengan bersungguh-sungguh.
Biar saya cerita satu pengalaman bagaimana peringatan Allah kepada hamba-Nya, sebagai menunjukkan kasih sayang-Nya. Kisah ini diceritakan oleh seorang hamba Allah, ketika kami selesai menunaikan solat di Masjidilharam dan sedang menunggu giliran untuk minum air zam-zam yang disediakan di dalam masjid berhadapan dataran Kaabah. 
Dia berkisah tentang pengalamannya yang sentiasa berasa dahaga biarpun sudah minum berbotol-botol air. Semakin diminum semakin dahaga. “Saya hairan dan sangat takut. Sampaikan saya berasa tidak selesa kerananya. Ketika dalam sembahyang pun saya rasa sangat dahaga,” cerita hamba Allah ini.
Di Tanah Suci ini pelbagai peristiwa yang terjadi membuat kita berfikir dan bermuhasabah diri. Allah menunjukkan kebesarannya dengan pelbagai cara. Bersyukur jika kita sedar, diri sedang diuji...

“Cuaca memang panas. Saya  pun selalu dahaga. Kita pun sering dipesan supaya banyak minum air,” ujar saya menyedapkan hatinya. Dia terdiam, tetapi kemudian berkata perlahan kepada saya, “Allah sedang memberitahu saya, mengenai dosa-dosa lalu saya melalui rasa haus ini. Saya ahli perniagaan dan selalu berasa apa yang diberi Allah tidak mencukupi. Makin banyak diberi, saya berasa semakin tidak cukup. Ini ingatan untuk saya sebagai tanda Dia masih sayangkan saya dan mahu saya bertaubat dan membuang rasa tamak itu. Saya sedar kesalahan itu dan bermunajat serta memohon keampunan dengan sesungguhnya setiap malam di Masjidilharam ini. Alhamdulillah, rasa haus itu hilang selepas saya melakukan solat taubat. Saya bersyukur kerana mendapat peringatan Allah ketika masih di dunia. Bayangkan jika saya alpa hingga akhir hayat saya,” ujarnya sebak dan tidak mampu menahan air mata. Saya turut menangis bersamanya. Subhanallah.
Di sini tempat untuk kita merasa menghayati betapa hambanya diri kita ini. Allah Maha Besar.

Saya amat terharu dengan kisahnya. Katanya, dia mahu berkongsi pengalaman ujian itu kepada orang lain, agar masing-masing mendapat iktibar. Dan kisah itulah yang saya kongsikan bersama wanita yang menelefon saya itu, agar rasa takutnya dapat dilenyapkan. Tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa selagi kita bernama manusia. Apa yang penting kita mahu mengakui kesalahan itu dan memohon keampunan-Nya. Allah itu Maha Pengampun. Ya, saya juga mencari kebaikan di sebalik kisah yang diceritakan ini dan mensyukuri hidup ini apa adanya.

Saya sentiasa berdoa agar ada peluang dan ruang untuk saya menjejakkan kaki ke sini lagi... 

Thursday, October 24, 2013

Berpisah di dataran Kaabah dan mencari cinta seteguh cinta Hajar




Selesai segala ibadah wajib haji di Mina, kami berangkat pulang ke Mekah. Mina saya tinggalkan dengan doa agar dipertemukan lagi saya dengan tempat penuh barakah ini. Banyak yang saya peroleh di sini. Saya berdoa semoga ada jejak-jejak kaki saya, sama ada di Arafah atau Mina yang pernah dijejak oleh Rasulullah dan para sahabatnya dahulu. Ini doa seorang hamba...
saya sempat bergambar kenangan bersama rakan-rakan di dalam khemah di Mina sebelum kami berangkat pulang ke Mekah. Kemesraan yang terjalin di sini, kini masih lagi terasa indahnya.
Kami sedang menanti giliran untuk menaiki bas pulang ke kota Mekah. Mina kami tinggalkan dengan penuh kesyahduan...
Mekah, bumi yang penuh dengan keajaiban. Sesuatu yang tak disangka, tidak mustahil berlaku di sini. Semua itu atas kehendak-Nya. Beberapa kejadian kecil yang berlaku mengetuk pintu hati saya agar hati terus teguh bergantung kepada-Nya.
Saya teringat bagaimana ketika mengerjakan tawaf dan saie haji, saya dan suami terpisah kerana halangan oleh jemaah dari negara lain yang melintas di hadapan kami secara bergerombolan lebih daripada 20 orang tanpa putus. Saya yang sedang memegang hujung jubah suami dan jalan beriringan terpaksa melepaskan pegangan. Namun sebelum mengerjakan tawaf, kami sudah berjanji jika terpisah ketika tawaf, masing-masing akan teruskan rukun haji itu hingga selesai. Seperti biasa tempat pertemuan adalah di pintu masuk babusalam.
Dataran Kaabah selepas selesai wukuf dan melontar di jamrah memang amat padat. Semua Jemaah mahu menyelesaikan tawaf dan saie haji. Kami sudah bersedia mengenainya. Kerana itu apabila sudah terputus pegangan, saya meneruskan pusingan tawaf. Ketika sedang tawaf bersama ribuan jemaah itu, tiba-tiba saya terasa bahu saya dipegang. Menoleh ke sisi, saya melihat seorang wanita berusia sekitar 60-an sedang ada di sebelah saya. Dia terus memegang dan memberitahu ingin mengikut saya kerana dia sudah terpisah daripada sanak-saudaranya. Saya mengangguk dan membiarkan dia terus memegang hujung telekung saya. Pusingan tawafnya juga sama seperti saya. Ini lebih memudahkan. Saya melangkah perlahan mengikut langkah wanita Iran itu. Kami bertawaf beriringan. Sama-sama menjaga tertib.
Memohon keampunan setiap kali bertawaf mengelilingi Kaabah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya...
 
Pada pusingan terakhir tawaf, dia bertemu semula dengan sanak saudaranya. Wanita itu bergabung  bersama keluarganya tetapi dia terus memegang saya dan meminta saya menyertai mereka meneruskan pusingan akhir itu. Saya menyertai mereka sehingga selesai tawaf. Kami sama-sama mengucapkan terima kasih. Akhirnya dia mengajak saya mengikutnya bersama  menuju ke tempat saie. Ya, sudah tentu saya mahu. Dia sangat baik. Saya fikir mungkin suami saya sudah ada di sana, namun saya tidak bertemunya di situ. Saya meneruskan saie. Saya tidak perlu menunggu sesiapa. Tidak ada yang mengusarkan hati, kerana saya tahu suami sedang mendoakan saya sebagaimana saya mendoakannya.
Dalam sendirian tanpa suami di sisi menghayati rukun haji ini, saya tidak mampu menahan sebak. Saya membayangkan betapa tabahnya Siti Hajar berulang alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah untuk mencari air, bagi menghilangkan dahaga untuk anakanda yang dicintainya Nabi Ismail.
Perjalanan Saie mengajar saya erti pengorbanan sebenar seorang isteri dan seorang ibu yang sangat ikhlas dalam menjalankan suruhan dan perintah Allah. Ketika berlari-lari anak itu, saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya Hajar berlari di padang pasir di tengah panas dan terik mentari. Jiwanya kental mendidik dan membesarkan anak, biarpun tiada suami di sisi. Pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak seperti saya dan jemaah lain yang berlari-lari anak di bawah bumbung indah dan berhawa dingin. Siti Hajar dapatkah saya menemuinya `di sana’ kelak? Saya memohon keampunan Allah.
Siti Hajar berpisah bertahun-tahun lamanya bersama suaminya Nabi Ibrahim yang amat dicintai, sedangkan saya, baru hanya berpisah sebentar. Tidak terduga dalamnya cinta Siti Hajar. Cinta yang ikhlas kerana Allah.
Sebaik selesai saie, saya kembali ke dalam masjidilharam untuk melakukan solat sunat. Ada ruang kosong di dalam masjid yang mengadap multazam. Saya mengambil tempat yang biasa saya bersolat. Di sebelah saya, tersenyum seorang wanita dari Turki. Sebaik membentangkan sejadah, dia meminta izin untuk berkongsi sejadah bersama saya. Tentu sahaja saya membenarkannya. Namun sebelum kami meneruskan solat, dia meminta saya menjaga barangannya kerana dia mahu mengambil air zam zam.
Permintaan itu tidak sukar untuk saya penuhi. Saya menanti dia di situ. Wanita itu tidak lama, kerana tidak sampai 15 minit, dia sudah kembali di sebelah saya. Dia bukan sahaja membawa air untuk dirinya, tetapi juga membawa air zam zam untuk saya juga. Saya yang memang sedang dahaga menerima pemberian itu dengan rasa syukur. Alhamdulillah. Kami solat sunat bersama-sama. Sebaik habis berdoa, saya terlihat kelibat seorang lelaki di sebelah. Terus menoleh, rupa-rupanya dia suami saya. Dia tersenyum. Saya fikir inilah senyuman paling manis pernah saya lihat daripada seorang suami.
Mencari cinta seteguh cinta Siti Hajar tetapi mampukah saya?
Sebelum melangkah keluar dari masjid, saya sempat bertukar alamat bersama wanita Turki ini. Dia bukan sahaja memberi saya minuman, tetapi turut memberikan saya buah kurma yang begitu sedap rasanya. Mempelawa saya ke negaranya. Katanya, selepas Mekah dan Madinah, Turki lah tempat yang paling indah untuk di lawati oleh umat Islam. Saya pun berdoa, agar suatu hari nanti, saya akan sampai ke Turki tempat asalnya bunga tulip yang menjadi bunga kebanggaan negara Belanda itu. Silaturahim sudah terjalin antara saya dan wanita itu. Biarpun tidak bertemu lagi selepas itu, tetapi kebaikannya saya kenang hingga ke hari ini.

Kenangan berada di masjidilharam menunaikan ibadah haji, sebuah kenangan terindah...

Sunday, October 20, 2013

Bukan kebetulan tetapi Allah sedang menunjukkan Kebesaran-Nya



Hari pertama melontar di jumrahtul Aqabah, suasana di tempat melontar tidak terlalu bersesak. Semuanya dapat melontar dengan tenang biarpun dipenuhi jemaah. Tempat melontar yang sudah dibuat sebanyak tiga tingkat itu memudahkan para jemaah melakukan ibadah. Allah tetap akan memberi kita ruang biarpun di celahan jutaan manusia di situ.
Saya dan suami tidak terburu-buru. Kami mencari ruang yang selamat dan selesa. Selesai melontar dan bertahalul pada 10 Zulhijjah itu, lepas sudah beberapa larangan ketika di dalam ihram buat para jemaah. Jemaah lelaki sudah boleh menanggalkan kain ihram dan mengenakan pakaian biasa yang berjahit.
Ada juga jemaah yang pulang ke Mekah selepas melontar untuk melakukan tawaf dan saie tetapi saya, suami dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk terus tinggal di Mina bagi menghayati erti sebenar sebuah perjalanan haji.
Menghadapi kesukaran? Itu memang tidak dapat dielakkan tetapi sudah 47 tahun (ketika itu) saya diberikan oleh Allah dengan pelbagai keselesaan tempat tinggal, makan minum, mandi dan sebagainya, jadi sekadar enam hari diuji sedikit himpitan, tentu saya sedia menerimanya. Pengalaman seperti ini, amat berharga kerana Allah sedang mengajar saya menjadi lebih sabar dan lebih bersyukur.
Suasana pagi di jamrah sungguh indah. Kami sempat menikmati keindahan matahari terbit daripada sini. Sinarnya yang kekuning-kuningan menembusi awan-awan yang putih bersih, memberi kedamaian di hati...
Kami merakamkan kenangan di sini selepas selesai melontar...
Lihat betapa mudahnya jemaah hari ini untuk melakukan ibadah melontar. Tangga elektrik ini sentiasa bergerak untuk memudahkan jemaah.

Meneruskan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah memberi ruang kepada kami untuk melihat keberkatan bumi Mina dengan lebih dekat. Maha Besar Allah, di dalam kesesakan para Jemaah melalui terowong muassim itu, saya dipertemukan dengan seseorang yang setiap hari di dalam masjidilharam, berdoa untuk bertemu kami berlima.
Kak Siti dan suami, mereka juga dari pejabat kami tetapi pergi melalui pakej dan datang pada penerbangan awal. Menurutnya, dia berdoa  agar Allah pertemukan kami, tidak kira di mana sepanjang kami sama-sama berada di Mekah.
Katanya, dia hampir berputus asa, namun terus berdoa di tempat-tempat mustajab. Harapan terasa makin tipis kerana selepas selesai mengerjakan semua rukun dan wajib haji, dia akan segera berangkat pulang ke tanahair dalam penerbangan awal.
Allah Maha Mendengar segala doa. Pada 12 Zulhijjah, di dalam terowong muassim yang semakin sendat itu, kerana selepas melontar pada 10 Zulhijjah selepas Asar, kami memilih melontar jamrah hari berikutnya pada waktu dhuha. Kami sudah faham, walaupun manusia berasak-asak ketika ini, jika kita bersabar pasti ada ruang untuk kita melontar.
Kami berlima jarang berpisah. Ke mana pun bersama-sama dalam susah dan senang...
Dalam kesesakan ini, saya terpandang seseorang yang sepertinya amat saya kenali berjalan selangkah di hadapan saya. Melajukan langkah untuk memastikan adakah apa yang saya lihat itu benar, akhirnya saya berdiri bersebelahan orang itu. Subhanallah! memang benar. Dia orang yang saya sangka. Kami berpelukan di celahan orang ramai itu. Dia menangis. Kami melangkah beriringan keluar dari terowong dan menuju ke tempat melontar bersama-sama. Tidak ada yang mustahil di sini…
Di dalam Terowong Muassim ini saya bertemu dengan Kak Siti dan suaminya.
Kak Siti di sebelah saya. Kami sama-sama keluar terowong dan menuju ke jamrah untuk melontar pada hari kedua. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan.
Allah pertemukan kami di sini. Tiada yang mustahil bagi Allah.

Biarpun di tanah suci ini terpelihara kesuciannya namun manusia tetap dengan ragamnya. Kami dinasihatkan agar berhati-hati dengan beg duit sepanjang di sini kerana ada juga penyeluk saku berkeliaran di antara jemaah yang sedang melakukan ibadah dan tempat-tempat orang sedang berdagang. Seorang Jemaah daripada rombongan kami terpaksa redha apabila beg duitnya hilang dalam sekelip mata, apabila dia selesai memberikan sedekah kepada pengemis yang ada di sepanjang jalan menuju ke tempat melontar.
Saya masih ingat kata-katanya ketika itu, “duit itu bukan rezeki saya lagi. Mungkin orang yang mengambilnya benar-benar terdesak…” Subhanallah. Ujian yang sedikit memberi makna yang besar. Itulah ujian hati. Saya melihat keredhaan lelaki itu di sebalik senyumannya.
Hari terakhir melontar jamrah, sekali lagi saya melihat sebuah keajaiban Allah. Disebabkan ini adalah hari terakhir kami berada di Mina setelah selesai melontar di ketiga-tiga hari tasyrik dan akan pulang ke Mekah, saya mengambil peluang melihat-lihat barang dagangan para peniaga yang memenuhi ruang sepanjang jalan kami menuju ke khemah.
Setiap hari selepas selesai melontar, kami akan singgah membeli makanan di deretan kedai makan yang berada tidak jauh dari tempat melontar. Roti arab yang istimewa. Sepanjang di Mina kami tidak melepaskan peluang makan roti ini.
Di hari terakhir itulah, ketika saya sedang membelek-belek cincin, suami datang mendekati saya meminta wang kecil kerana peniaga kedai itu mahukan wang secukupnya untuk membayar makanan. Ia bagi memudahkan urusan jual beli memandangkan terlalu ramai jemaah beratur untuk mendapatkan roti arab itu.
Saya mengeluarkan beg duit dari beg sandang yang disediakan oleh Tabung Haji. Mengambil wang yang diminta dan kembali membelek-belek jualan milik peniaga berkulit gelap itu. Selesai suami membeli makanan, kami terus beredar setelah membeli beberapa barang yang saya berkenan. Saya berjalan tanpa memandang ke belakang lagi.
Tetapi hampir 500 meter perjalanan, saya terasa ingin membuka beg sandang dan masya-Allah, beg duit saya tidak ada di situ. Saya memandang suami dan memberitahunya. Ia bukan semata-mata soal duit yang ada di dalam beg itu, tetapi banyak dukomen penting saya turut berada di dalamnya.
Saya, suami dan rakan-rakan kami berpatah balik. Sepanjang perjalanan itu saya berdoa agar Allah memelihara beg itu, kalau benar ia di situ. Ketika sampai di situ semula, saya lihat tempat itu dikerumuni ramai jemaah pelbagai negara sedang membeli. Namun di sudut meja itu, di celahan orang ramai, saya terlihat bayangan merah beg duit saya.

Beg duit ini tidak saya gunakan lagi tetapi saya akan terus menyimpannya sebagai kenangan terindah. Allah mengajar saya sesuatu melaluinya. Maka Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ar-Rahman (surah 55)

Bimbang itu hanya bayangan, saya terus ke sudut meja itu dan benarlah itu beg duit saya. Mengambil dan membukanya. Tidak ada satu pun yang hilang. Semuanya tersusun rapi di situ. Subhanallah... Beg itu terbiar di tempat terbuka, namun Allah lah yang memeliharanya. Ini bukan kebetulan tetapi Allah sedang menunjukkan kuasa-Nya. Lama kami sama-sama terdiam. Masing-masing bertafakur. Saya terasa semakin kerdil di sisi-Nya. Sampai di khemah saya terus bersujud syukur. Pengalaman demi pengalaman di bumi barakah ini, membuat saya semakin mengenal Sang Pencipta...
Selesai sudah ibadah melontar. Allah melindungi kami sepanjang berada di tanah sucinya yang penuh berakah. 



Wednesday, October 16, 2013

Mengutip batu, membilang dosa...

NURI SUPIAN



Selesai Wukuf, diri terasa seperti baru. Kerja-kerja haji selepas Wukuf kami teruskan. Menjelang waktu Mahgrib kami bersiap-siap untuk ke Muzalifah. Meninggalkan Arafah yang hanya lebih kurang 11 km sahaja dari Muzalifah. Bumi Arafah yang penuh dengan keberkatan saya tinggalkan dengan satu perasaan yang amat indah. Semuanya telah saya adukan kepada Allah di situ. Air mata saya sudah menitik di bumiArafah tanda saya manusia tidak sempurna. Allah juga tempat memohon segala perlindungan.
Kami bergerak menuju Muzalifah lebih kurang pukul 9 malam. Kami menaiki bas mengikut giliran. Namun sebelum pukul 10 malam saya dan rakan-rakan sudah berada di Muzalifah untuk mabit di situ.  Jemaah sudah agak ramai  di tengah padang. Kami memilih tempat di antara jemaah-jemaah itu.
Ketika mengutip anak-anak batu saya teringat kata-kata seorang ustaz, ia umpama membilang dosa di dalam gelap. Kami berzikir sementara mengutip anak-anak batu. Anak-anak batu itu saya simpan elok-elok dalam uncang yang memang telah dibawa dari tanahair.  
Kami berehat selepas mengutip anak-anak batu. Di sini ramai Jemaah mengambil peluang untuk meneruskan doa kerana Muzalifah adalah antara tempat doa dimakbulkan.
Sepanjang mabit di Muzalifah, kami meneruskan, solat sunat, berdoa dan berzikir. Kami juga mengambil peluang merehatkan tubuh. Ada jemaah yang melelapkan mata bertujuan mengumpul  tenaga bagi tugas-tugas melempar di jumrah keesokannya. Biarpun hanya membentang tikar tanpa tilam, tanpa selimut, dan tanpa bantal tetapi mata saya tidak mampu bertahan. Saya terlelap juga di tengah padang itu beralaskan beg pakaian yang dibawa. Lena!  Sepertiga malam di situ cukup untuk kami berdoa, berzikir dan berehat bagi memulihkan tenaga. Apabila terkejut dari lena hampir sejam itu, mata terasa segar. Di Muzalifah, saya tidak mengalami masalah bilik air kerana biarpun hanya beberapa jam sahaja mabit di situ saya dapat mandi dengan selesa tanpa berebut. Alhamdulillah!
Mabit di Muzalifah adalah antara wajib haji yang mestik dilaksanakan oleh para Jemaah.
 
Kami menaiki bas ke Mina yang jaraknya lebih kurang 3.5 km  dari Muzalifah ketika jam menunjukkan pukul 2 pagi. Perjalanan ke Mina lancar. Sampai di Mina kami terus menuju ke khemah yang sudah disediakan. Di dalam khemah, saya tidur sebentar bagi merehatkan tubuh. Hanya sebentar! Saya tidur mahu segera ke bilik air kerana sudah sedia maklum keadaan bilik memang sentiasa sesak tanpa mengira waktu. Pengalaman di Arafah sudah membayangkan suasana itu. Pukul  3 pagi saya sudah beratur di depan bilik air. Di depan setiap bilik air jemaah berbaris panjang.
Ketika beratur itu kami biasanya ambil peluang untuk mengenali antara satu sama lain. Apabila kita berbual tidak terasa lama menanti giliran. Doa saya agar Allah memelihara air wuduk ketika di Masjidilharam, saya teruskan juga doa itu di Arafah dan Mina. Dua-dua tempat ini tempat Allah menguji kesabaran hamba-Nya. Di sini kita dapat melihat ragam manusia. Di sini juga saya menilai diri sendiri. Saya sering berishtigfar agar Allah membantu saya menjaga hati. Saya takut!
Suami saya dan rakan-rakan di dalam khemah di Mina. Semuanya sudah selesai melontar jumrah Aqabah pada  10 Zulhijjah, iaitu hari  hari raya Aidiladha.
Menjelang Solat Subuh pertama di Mina, jemaah sudah bersedia. Kaum lelaki telah mula bertakbir. Hati saya menjadi sayu. Teringat ibu dan anak-anak di tanahair. Rindu! Namun kerinduan itu menjadi sesuatu yang amat indah. Saya terasa tenang biarpun hati sedang rindu kepada mereka. Saya berdoa dalam solat tahajjud agar semua yang saya kasihi di tanahair dipelihara Allah. Saya akan menelefon mereka biasanya selepas Zohor.
Selepas Subuh, ramai jemaah yang berjalan menuju ke jumrahtul Aqabah untuk melontar. Namun begitu pihak Tabung Haji menasihatkan  para jemaah Malaysia memilih waktu selamat, iaitu sebelah petang. Kami melangkah untuk melontar di Jumrahtul Aqabah pada hari pertama itu, selepas Asar.
Perjalanan menuju ke jumrah penuh sesak. Kami melalui khemah-khemah dari pelbagai negara lain. Perjalanan sejauh lebih kurang 3km itu tidak terasa kerana sepanjang jalan kami mengalunkan takbir raya. Ketika ini semua jemaah tidak kira dari mana datangnya, sama-sama mengalunkan takbir ini dalam bahasa yang sama, biarpun berlainan bahasa ketika bertutur.  Ia bagaikan sebuah pemandangan yang sangat menakjubkan. Semuanya serba-putih bersih. Masing-masing masih di dalam  ihram.
 

Keadaan di dalam Terowong Muassim. Di sini tragedi keruntuhan yang berlaku beberapa tahun sebelum saya datang ke sini...
Melalui Terowong Al-Muassim, ribuan manusia berasak-asak masuk ke terowong yang sama. Saya berdoa kepada Allah, “Ya Allah berikanlah aku kekuatan untuk meneruskan perjalanan ini. Kau kuatkan kakiku untuk terus melangkah dan sampai ke tempat melontar. Kau bantu dan lindungilah aku dan semua jemaah yang sedang menuju ke tempat melontar itu ya Allah. Kami ke sini semata-mata kerana-Mu ya Allah...”
Melalui terowong saya teringat tragedi runtuhan yang berlaku di terowong itu. Kerana itu saya berdoa bersungguh-sungguh membacakan doa di dalam hati. Mohon pada Allah semoga tidak berlaku lagi tragedi seperti itu. Ini adalah kali pertama saya melalui terowong Muassim ini.
Keluar dari terowong cuaca cerah dan udara kembali segar. Kami meneruskan perjalanan menuju jumrah untuk melontar. Ia bagaikan sekumpulan pahlawan yang sedang menuju ke medan perang. Tidak kelihatan wajah penat atau letih malahan masing-masing tidak sabar menuju destinasi. Ia bukan sekadar melontar anak batu tetapi mahu melontarkan nafsu...


Monday, October 14, 2013

Wukuf hari pintu langit terbuka




Mendengar khutbah haji atau khutbah Arafah yang disampaikan oleh Dato’ Seri Jamil Khir, saya tidak mampu menahan air mata. Sebak sungguh! Saya melihat siaran langsung itu. Saya memang nanti-nantikannya. Saya dapat melihat para jemaah menangis tersedu-sedu. Mereka tidak dapat menahan perasaan ketika khutbah itu dibacakan. Bukan hanya jemaah, Dato’ Seri Jamil Khir sendiri dilihat tidak mampu menahan tangis, ketika sedang membacakan kuthbah Arafah dan ketika sedang membacakan doa. Melihat siaran langsung itu, kenangan ketika mengerjakan Wukuf di Arafah pada 2009, kembali mengimbau dan berlintas langsung di minda saya.
Saya teringat kembali, kami para jemaah haji diminta bersiap sedia untuk melakukan perjalanan menuju Arafah pada 25 November 2009. Jemaah di hotel kami akan dibawa secara berperingkat-peringkat mengikut tingkat hotel masing-masing, bagi mengelakkan kesesakan di lobi dan untuk memudahkan urusan. Bermula jam 11 pagi, perjalanan pertama telah dimulakan. Sebelum berangkat ke Arafah, saya naik ke bumbung hotel untuk mengambil kain-kain jemuran. Hotel itu memang menyediakan tempat jemuran kain bagi yang tidak menghantar kain ke dobi. Saya memilih membasuh sendiri. Dari tingkat atas itu, saya melihat cuaca sangat mendung. Adakah hujan akan turun?
Ini adalah tempat kami menjemur pakaian. Tidak ada aktiviti lain di sini selain beribadah. Jadi sekadar membasuh pakaian memberi kami sedikit kerja. Biasanya kami membasuh waktu malam dan menjemurkan selepas sarapan pagi. Dari tempat ini kami boleh melihat perkuburan Ma'ala...

Ketika mendengar nama tingkat saya diumumkan, saya turun ke lobi hotel. Ketika itu waktu sudah menunjukkan hampir pukul 11.30 pagi.  Memang tidak dapat dielakkan kita daripada menanti. Bukan kerja mudah menguruskan ribuan jemaah serentak. Dalam kami menunggu-nunggu ketibaan bas, cuaca kelihatan semakin gelap dan akhirnya hujan turun mencurah-curah. Sangat lebat! Ia hujan rahmat. Sepanjang saya di kota Mekah, cuaca amat panas dan berdebu. Tambahan pula kerja-kerja meruntuhkan beberapa bangunan sedang dijalankan. Hujan itu dapat meredakan dan menyejukkan cuaca.
Hujan terus mencurah-curah tanpa henti. Pengurusan Tabung Haji semakin sibuk untuk menaikkan para jemaah ke dalam bas. Akhirnya tiba giliran saya menaiki bas dengan berpayung. Di dalam bas, kami diminta berniat ihram haji bersama-sama. Kami akhirnya bergerak menuju Arafah. Dan sepanjang perjalanan, hujan tetap tidak berhenti  mencurah, sebagaimana tidak berhentinya  kami bertalbiah.
Labaik Allahuma labaik. Labaika laa syariikalaka labaik. Innal hamda wani'mata lakal walmulk. Laa syariikalak. (Aku datang kepada Mu ya Allah, aku datang. Aku datang dengan tidak mensyirikkan Engkau, aku datang. Sesungguhnya segala kepujian kepada Engkau, segala ni'mat dari Engkau dan kerajaan kepunyaan Engkau. Tiada sekutu bagi Engkau)
Kota Mekah ke Padang Arafah kalau dalam keadaan biasa, perjalanannya lebih kurang setengah jam sahaja.  Jaraknya pula hanya lebih kurang 22 km, namun dalam keadaan hujan lebat dan kesesakan jalanraya yang luar biasa, menyebabkan kami mesti banyak bersabar. Kami sampai di Arafah menghampiri waktu Asar. Langit Arafah sudah terang benderang. Cahaya panas mula memancar, biarpun kesan hujan masih ada.
Sebaik sahaja kaki  memijak tanah Arafah, saya menadah tangan. Air mata semakin murah dan mencurah. Ya Allah kau sempatkan aku untuk berwukuf di tanah suci-Mu. Kau ampunilah dosa-dosaku... Saya terus bermohon pelindungan Allah.
Ketika baru sampai ke Arafah. Ini adalah pemandangan khemah kami ketika berada di bumi bertuah itu.
Ini Thahirah rakan sebilik saya. Kami menjadi rapat seperti adik beradik biarpun hanya sebulan lebih sahaja kami bersama di Mekah kerana kami tidak bersama ketika di Madinah. Thahirah dan suaminya amat aktif. dia dan suaminya menjadi sukarelawan untuk membantu para petugas tabung haji menjaga jemaah sepanjang di Arafah.

Setelah mendapat tempat di khemah yang sudah tersedia itu, saya berehat sebentar. Bersilaturahim dengan rakan-rakan baru yang ditempatkan dalam satu khemah. Permaidani masih sedikit lembab di beberapa sudut, namun ia telah kering menjelang senja. Saya membersihkan tubuh dan mendapat kesempatan mandi. Sebenarnya ujian lain di Arafah adalah bersabar dengan kesesakan di bilik air. Jutaan manusia berkumpul di tempat yang sama dan mahu menggunakan kemudahan yang diberikan dalam masa hampir sama setiap masa, membuatkan semua di antara kami berusaha menjaga air wuduk. Kami menggunakan masa bermalam di Arafah dengan menghabiskannya dengan solat-solat wajib dan sunat, berzikir dan bertalbiah. 
Di Arafah saya teringat satu peristiwa yang membuat kami dilanda bimbang. Seorang rakan di dalam khemah tiba-tiba diserang sakit perut yang teruk. Doktor dari Tabung Haji dipanggil tetapi nampaknya dia memerlukan rawatan lebih rapi dan segera dibawa ke hospital. Kami berdoa agar dia selamat dan segera kembali ke khemah, namun hingga keesokan harinya dia masih ditahan di wad. Alhamdulillah menjelang waktu Wukuf, dia telah dihantar semula ke Arafah. Keadaannya semakin baik biarpun nampak masih lemah. Sedikit ujian untuknya tapi dia kelihatan begitu tabah dan sabar.
Kami para jemaah dari Tabung Haji, sememangnya telah diberitahu mengenai masalah bilik air dan bilik mandi, jadi semua orang harus cepat bersedia. Saya bangun pukul 2 pagi untuk `menempah’ bilik air. Saya fikir waktu ini, mungkin kurang sedikit jemaah menggunakan bilik air itu tetapi Subhanallah ketika sampai ke bilik air yang tidak jauh dari khemah, saya sudah melihat satu barisan panjang. Rupa-rupanya ada orang lebih awal daripada saya. Kalau tidak sedang berhajat, menanti itu bukan satu kepayahan. Namun kebanyakan jemaah berempati. Tandas itu milik semua jemaah. Jarang ada yang mementingkan diri di sini.
Setelah siap membersihkan diri dan berwuduk, saya dan beberapa yang lain melakukan beberapa solat-solat sunat sementara menanti waktu Subuh. Debaran menanti waktu Wukuf amat terasa. Masing-masing sukar memejamkan mata.  Ini waktu penentu! Ketika azan Subuh bergema dari khemah lelaki, kami terus meluruskan saf. Fajar 9 Zulhijjah telah menyingsing. Kami di Arafah menyambutnya dengan penuh gembira dan syukur. Saya masih terkenang-kenangkan perasaan itu,  ketika ini.

Selepas solat Subuh, kami meninjau-ninjau di luar khemah. Bukit itu nampat sangat cantik dari jauh dan ada jemaah yang memanjat dan tidur di sana. Ia pilihan masing-masing.

Selesai solat, kebanyakan jemaah keluar khemah mahu menyedut udara subuh di Arafah. Dalam suasana pagi yang masih berbalam, saya, suami dan ramai jemaah lain, mengusuri jalan-jalan di sekitarnya. Tidak jauh dari khemah kami ada sebuah bukit. Kelihatan ramai jemaah yang sedang memanjat bukit-bukit itu dan ada juga yang tidur di celah batu di situ. Mereka mungkin sedang mencari tempat yang afdal untuk berdoa. Tetapi kebanyakan jemaah itu bukan dari Malaysia.  Kami hanya memandang dari kaki bukit. Pelbagai cara manusia menjadi redha Allah. Semoga mereka mendapat rahmat-Nya. Itu yang saya katakan pada suami dan dia mengaminkannya.
Saya dan suami bersarapan, setelah puas menyedut udara Arafah yang segar. Ia menyegarkan tubuh kami.

Saya dan Thahirah menjadi rapat sepanjang di tanah suci. Saya berharap dapat bertemu Thahirah lagi, biarpun kami pernah berhubung selepas kembali ke tanahair.

Suasana dingin pagi di Arafah, benar-benar membuat hati rasa tersentuh. Rasa syahdu menyelinap ke seluruh kalbu. Saya bersyukur kerana diberikan kesempatan seperti ini oleh Allah SWT. Saya dipilih-Nya bukan kerana saya kaya, bukan kerana saya mulia, dan bukan sekali-kali kerana saya alim tetapi saya terpilih kerana itu janji Allah untuk saya sejak di luh mahfuz lagi.  Selepas bersarapan pagi, saya berehat-rehat sebentar sementara menunggu waktu kuthbah haji dan Arafah dibacakan. Saya meneruskan zikir.
Waktu yang dinanti-nanti sudah tiba. Hari di mana pintu-pintu lagi terbuka dan doa-doa diterima. Kami berkumpul mendengar kuthbah yang dibacakan oleh ustaz dari Tabung Haji. Sungguh syahdu dan menyentuh hati. Bukan hanya saya menangis tetapi hampir semua jemaah yang ada bersama saya tersedu-sedu. Saya menghayati perjuangan Rasulullah, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan para sahabat. Saya terasa amat kerdil dan begitu kecil. Tidak mampu membandingkan walau sekecil apa pun dengan pengorbanan para junjungan besar ini. Saya hamba-Nya yang lemah yang sentiasa meminta perlindungan-Nya.
Di akhir doa, saya memandang ke langit. Saya seperti mahu mencari sesuatu di sana. Subhanallah, saya melihat langit Arafah selepas waktu Asar itu, amat indah. Sungguh indah! Hati terasa ringan dan tenang. saya tidak berani menyatakan sesuatu tetapi pergerakan awan itu seperti sedang terbuka perlahan-lahan. 
Saya merakamnya beberapa klip untuk dijadikan kenangan. Dan saya hanya melihatnya semula selepas kembali ke Mekah.

Selesai kuthbah dan berdoa, kami bersolat berjemaah dan ketika matahari sudah tergelincir, masing-masing mencari tempat sendiri untuk memohon doa. Saya dan suami memilih berada di tengah padang. Di situ dipenuhi para jemaah namun masing-masing khusyuk dalam dunia sendiri. Hari ini adalah hari Hamba dan Tuhannya. Hari memohon sebanyak-banyaknya doa kerana doa-doa itu akan diangkat ke langit oleh para malaikat. Kami benar-benar hanyut dengan perasaan sendiri. Doa itu hanya antara saya dan Allah. Sebelum menyendiri, saya dan suami berdoa bersama. Dia membacakan doa dan saya mengaminkannya. Semoga Allah terima doa itu.
Hari Wukuf selesai sudah. Namun perjalanan haji ini masih panjang. Kami harus berangkat ke Muzalifah. Banyaknya pengalaman yang telah kutip. Ada yang akan saya kongsikan lagi.