Friday, November 22, 2013

Ziarah dalam, ziarah luar dan ziarah hati



Lama saya tidak mengadap komputer untuk meneruskan kisah-kisah manis dan berkongsi pengalaman berharga di tanah suci. Tuhan memberikan saya sedikit dugaan. Deman, batuk, dan selesema yang agak teruk. Ia mengambil masa sedikit untuk sembuh.  Sakit! Ya... saya jarang dirundung rasa sakit yang berpanjangan tetapi sesekali Allah `merehatkan’ saya dengan sakit ini tentu ada hikmahnya. Perjalanan hidup kita bukan sentiasa indah sebagaimana yang selalu kita gambarkan.

Doa seorang suami. Semoga dimakbulkan segala doa di sini...

Ujian sakit ini memberikan saya masa untuk memikir bahawa kesihatan itu milik Allah dan sakit ini juga tanda Allah sedang memberi kasih sayangnya. Sakit sedikit, apabila sihat saya sedar betapa pentingnya bersyukur dan menjaga kesihatan.
Memulakan perjalanan untuk ziarah di Madinah.
 Kami abadikan kenangan terindah di sini...
 Ketika di Mekah dan Madinah, saya bersyukur kerana terpelihara daripada sakit yang menghalang saya daripada melakukan ibadah kepadaNya. Saya menjaga diri dan mengikut semua arahan Tabung Haji dan arahan doktor yang bertugas. Saya juga bersedia dengan pelbagai suplemen demi memastikan diri saya sihat sepanjang melakukan ibadah di tanah suci. Batuk-batuk kecil bukan satu halangan besar. Ia perkara biasa ketika di Tanah suci. Alhamdulillah, semuanya elok-elok belaka. Keadaan kesihatan yang diizinkan Allah itu membuatkan saya sedar bahawa apabila kita mengadu kepadaNya, Dia akan mendengar rintihan itu.
Menyambung kisah-kisah manis di Madinah, saya sentiasa terbayang-bayang perjalanan Haji saya sebelum berangkat pulang ke tanah air. Pada hari kedua di Madinah, kami semua dibawa ziarah luar dan dalam. Kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan, saya hanya mengikut para jemaah ziarah luar masjid. Ketika jemaah lain masuk ke masjid Nabawi, saya bersama beberapa wanita lain dalam jemaah kami yang juga keuzuran menunggu di luar.
Saya dapat membayangkan perasaan jemaah yang pertama kali dibawa melawat, kerana saya sudah mengalami perasaan itu ketika melakukan ibadah umrah beberapa bulan sebelum mengerjakan haji.
Biarpun sudah masuk dan bersujud syukur di dalam masjid dan di sisi Raudhah, namun hati meronta-ronta untuk kembali menikmati perasaan itu. Saya berdoa agar saya segera suci untuk kembali masuk ke masjid Nabawi.
Ziarahi kami diteruskan keesokkan harinya, menziarah ke beberapa masjid bersejarah sekitar Madinah, ke Jabal Uhud, kebun kurma menikmati teh yang lazat dan memilih kurma-kurma bermutu di kebun itu.
 Di kebun kurma. Kali kedua saya datang ke sini, namun perasaan teruja terus menakluki hati...
 Kami sempat dihidangkan dengan the lazat di kebun ini.
Ya... Allah lindungi kami dan redhai kebahagiaan kami hingga akhir hayat.
Kami dibawa juga melalui pusat penyelidikan sejarah Islam serta melihat dari dekat universiti Madinah. Ziarahi ini membuat saya bersyukur kerana merasa alangkah bertuahnya diri, kerana dapat kembali menziarahi tempat-tempat itu dalam tempoh yang berdekatan.
 Jabal Uhud tempat menyimpan seribu sejarah Rasulullah dan para sahabat. Di sini Islam terus berkembang pesat...

 Kami sempat berdoa beramai-ramai di makam para sabahat dan para syuhadah. Syurgalah tempat mereka...
Saya dan suami belajar sesuatu yang berharga di sini. Tiada yang lebih indah daripada kasih sayang Allah...

Ketika ingatan saya pada semua tempat yang diziarahi itu masih basah dalam ingatan, saya diizinkan oleh Allah untuk datang semula ke sini dan lebih bermakna kedatangan saya kali ini bersama cinta hati saya. Di sini kami sama-sama berdoa panjang. Kali pertama dulu saya datang dan terus masuk ke masjid memohon doa kepada Allah, tetapi datang kali kedua, suami saya pula memohon doa di masjid-masjid penuh berakah itu. Saya hanya berdoa dari luar. Semoga Allah menerima doa-doa itu. Sesungguhnya kini saya amat rindukan suasana tersebut. Allah sudah mengaturnya begitu, saya redha...
Berlatarbelakangkan masjid qiblatain atau dua kiblat. Tidak sempat singgah di situ kali ini kerana semua mahu cepat kerana hari itu adalah hari Jumaat.
Hari ketiga di Madinah, saya kembali suci. Subuh pertama di musim haji itu, saya bangun penuh semangat. Saya akan melangkah masuk ke masjid dan menuju Raudhah untuk mencari redha Allah. Sembahyang Subuh pagi itu, Alhamdulillah saya duduk di saf perempuan paling hadapan. Apabila selesai solat Subuh, saya mahu meneruskan solat sunat di depan Raudhah. Pekerja wanita yang menjaga ruang saf memberitahu, dinding akan dibuka selepas solat subuh. Sesiapa yang mahu ke Raudhah boleh menanti hingga dinding untuk menuju ke Raudhah dari dalam ruang solat itu dibuka. Saya menanti dengan sabar.
Tepat masa seperti yang dikatakan dinding dibuka dan saya berjalan berbaris mengikut apa yang diarahkan. Saya bersama para jemaah lain terpaksa berhenti di beberapa `stesen’ sebelum sampai ke kawasan Raudhah. Kerana saya bersendirian, saya bersilaturahim dengan beberapa jemaah dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Ini bagi memudahkan perjalanan saya menuju ke Raudhah. Sempat kami berbual dan berkenalan lebih rapat, namun kami tidak mahu membuang masa terlalu banyak dengan bersembang, biarpun sebenarnya dari satu stesen ke satu stesen mengambil masa yang lama.
Sementara menanti, beberapa ustazah dari Indonesia memberi tazkirah. Amat berguna untuk bekalan ilmu yang bermanfaat. Dengan pengisian ilmu itu, kami tidak terasa lama menunggu. Saya akhirnya sampai juga di depan makam Rasulullah dan di depan Raudhah.

Dalam keadaan berasak-asak itu, saya berdoa agar saya diberi kesempatan bersolat sunat dengan tenang di situ. Saya ingin berdoa sepuas-puasnya di situ. Sepanjang masa menanti sebelumnya, saya memang tidak henti berdoa, agar saya diberi kelapangan bersolat di situ. Saya berdoa bersungguh-sungguh dari hati.
Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Sebaik berada di ruang itu, saya mendapat tempat yang benar-benar mengadap makam Rasul. Saya mengerjakan sujud syukur dan solat sunat. Tidak diganggu biarpun jemaah dari pelbagai negara berasak-asak di situ. Saya tidak sedar air mata saya mengalir. Ia tumpah di situ. Para pekerja wanita yang menjaga di kawasan itu yang biasanya akan meminta para jemaah cepat-cepat solat dan beredar keluar untuk memberi laluan kepada jemaah yang lain, tidak menganggu saya. Malahan dia memberi peluang dengan menjaga ruang ketika saya sedang bersolat. Allah Maha Besar.  Nikmat Allah yang mana satukah, dapat saya dustakan...
Selesai solat dan berdoa dengan tenang, saya mahu melangkah pergi, sebelumnya saya sempat mengucapkan terima kasih kepada petugas kerana memberi peluang saya bersolat dengan tenang. Dia tersenyum. Saya mendoakan kebahagiaan untuknya. Saya dapat merasakan dia seorang yang sangat memahami dan saya yakin bukan saya seorang yang dibantunya. Mungkin ramai jemaah lain turut mendapat bantuan ikhlasnya itu.
Di Raudhah juga saya teringatkan satu peristiwa hingga kini saya tidak mampu melupakan. Dalam perjalanan keluar dari Raudhah pada suatu hari iaitu selepas pergi beberapa kali saya ke sana, dalam melangkah sendiri keluar dari masjid, saya bertemu dengan seorang warga emas. Saya tidak pasti dia berasal dari negara mana. Saya melihat wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu, berjalan perlahan di hadapan saya. Sangat perlahan dan akhirnya terbongkok. Saya mempercepatkan langkah untuk melihat apa yang terjadi kepada wanita bertubuh kecil itu.
Dia hamper rebah ketika saya benar-benar hampir dengannya. Saya sempat memautnya. Minta dia berpaut ke bahu sambil memapahkan menghala ke luar. Namun dia kelihatan amat lemah. Saya fikir dia mungkin perlukan air tetapi saya tidak melihat dia membawa botol air di tangan. Tong air zam-zam juga tidak ada di situ.  Akhirnya saya mengeluarkan botol air saya yang sudah tinggal kurang daripada separuh itu. Dengan rasa serba salah saya memberikan air lebihan saya kepadanya.
Melihat saya mengeluarkan air. dia terus menghulurkan tangan. Tetapi keadaannya amat lemah. Saya mendudukkannya di lantai berkarpet merah itu dan memangku kepalanya sambil memberikan air.
"Saya mendengar dia berbisik syukran...syukran beberapa kali. Saya cuba membangunkannya selepas itu tetapi dia benar-benar tidak berdaya. Beberapa jemaah wanita lalu dan memandang. Mungkin mereka fikir itu ibu saya.
Saya meletakkan wanita itu dan mencari petugas masjid untuk meminta bantuan. Beberapa orang datang dan memberikan bantuan. Mereka membawa wanita itu pergi dan saya hanya sempat mencium dahinya. Selepas itu saya tidak tahu apakah yang berlaku. Namun sebelum melangkah keluar masjid saya melakukan solat sunat. Saya tidak tahu bagaimana mahu membantu wanita yang sudah dibawa pergi itu selain berdoa kepada Allah, agar wanita hampir sebaya ibu saya itu selamat dan dilindungi Allah.
Kami berdoa di hadapan kubah makan Rasulullah di luar masjid...




Monday, November 4, 2013

Maksud sebuah debaran


Tanggal 8 November 2009, saya bersiap-siap untuk meneruskan perjalanan ibadah ke Madinah. Ini adalah hari terakhir saya berada di Mekah. Selepas solat subuh, saya, suami dan tiga yang lain berjanji untuk membuat umrah terakhir sebelum berangkat. Habis bersarapan pagi, kami mengerjakan dhuda sebentar. Pada mulanya kami mahu berangkat ke Masjid Tanaim yang hanya 5 km sahaja dari Masjidilharam untuk miqat umrah, pada pukul 9 pagi tetapi ada yang mahu membasuh pakaian dahulu.  Jadi kami akhirnya sepakat untuk miqat di Tanaim pukul 10 pagi. Saya menanti dengan penuh debar. Jarang hati saya berdebar tetapi pagi itu terasa lain.
Ini adalah solat Subuh terakhir saya di masjidilharam pada musim haji itu. Saya bersyukur dengan apa yang sudah saya nikmati sebelumnya.

Dalam menunggu suami dan rakan-rakan kami, saya terus mengemas barang-barang yang masih belum dimasukkan ke dalam beg untuk perjalanan seterusnya esok. Allah Maha Besar dalam saya sibuk mengemas, saya mendapat halangan  untuk meneruskan hajat melakukan umrah terakhir itu. Saya terdiam. Pelbagai perasaan masuk ke fikiran saya. Rasa ingin menangis pun ada. Saya nyatakan kepada suami mengenai uzur syarie itu. Dia mengucapkan Alhamdulillah... Saya terdiam. Kenapa? Adakah dia gembira? Melihat wajah saya yang suram, suami memujuk. Katanya ketika di tanahair, bukankah kami sudah berdoa agar Allah permudahkan segala perjalanan haji kami hingga selesai. Jangan ada halangan terutama mengenai keuzuran ini. Siang malam kami berdoa agar uzur syarie itu dapat dilambatkan kedatangannya.
Benar, Allah sudah makbulkan doa itu kerana sepatutnya uzur syarie saya memang bertepatan pada waktu wukuf di Arafah dan melontar di Mina. Dalam keadaan bersesak di Arafah dan Mina, apalagi keterbatasan penggunaan bilik air, tentu saya tidak selesa jika uzur ketika itu. Paling pentingnya, tentu saya tidak dapat melakukan pelbagai solat ketika Wukuf di Arafah. Syukur Alhamdulillah, Allah permudahkan dan uzur itu tertunda hingga saat saya mahu berangkat ke Madinah. Saya sempat menghabiskan waktu-waktu sebelum meninggalkan Mekah dengan menambahkan tawaf, solat wajib, sunat dan beriktikaf di Masjidilharam.
Biarpun berkali-kali menjejakkan kaki di sini, ia tidak mampu menghilangkan rindu untuk berkunjung semula...
Sekali lagi saya mengucap syukur apabila suami memberitahu, “Jika sudah berniat ihram di masjid Tanaim, tetapi tidak sempat mengerjakan tawaf umrah, pasti kita tidak boleh meneruskan perjalanan ke Madinah esok pagi sehingga awak kembali suci untuk melaksanakan umrah... Allah mengatur semua itu dengan sebaik-baiknya. Jadi kita mesti terima keuzuran ini dengan hati terbuka..."
Kata-kata itu membuatkan saya terus menadah tangan mensyukuri apa yang sudah dijanjikan Allah untuk saya.
Walaupun amat tersentuh kerana tidak dapat melakukan tawaf wada’ sebelum berangkat ke Madinah,  namun saya sentiasa yakin apa yang sudah ditentukan oleh Allah itu ada kebaikan di sebaliknya. Allah telah memudahkan segala urusan dan perjalanan haji saya seperti yang saya doakan.
Mekah akhirnya kami tinggalkan dengan niat untuk kembali lagi dengan izin-Nya suatu hari nanti. Kami menuju ke Madinah untuk bertemu jejak Rasulullah.

Kami akan berangkat ke Madinah. Sedang menanti petugas menaikkan beg-beg ke atas bas. Pelbagai perasaan dirasai ketika ini...

Perjalanan ke Madinah pada 9 November itu membawa sebuah perasaan baru. Saya mahu sekali lagi mengunjungi Makam Rasulullah dan solat sunat di Raudhah. Ingin melihat semula makam para sahabat di Jabal Uhud, ingin menikmati teh di kebun kurma dan banyak lagi yang masih mahu saya rasai semula.
Perjalanan yang memakan masa hampir 6 jam itu tidak begitu meletihkan kerana kami singgah di beberapa tempat rehat. Pemandangan di kiri kanan jalan juga membuatkan mata tidak mahu lelap. Luasnya padang pasir dan gunung-ganang sepanjang perjalanan membuat saya tidak puas memandang. Pemandangan sebegini tidak saya temui di tanahair. Ada yang sempat dirakamkan dari dalam bas. 
Beginilah keadaan padang pasir yang dipenuhi batu-batan sepanjang perjalanan dari Mekah ke Madinah. Ada bukit-bukit dan gunung-ganangnya yang berwarna coklat kemerah-merahan. Sangat cantik dilihat dalam pancaran cahaya pagi...
Bangunan-bangunan dan rumah-rumah penempatan mulai kelihatan apabila hampir memasuki kota Madinah.

Kami juga singgah antara sempadan Mekah dan Madinah untuk urusan imigresen.  Dalam persinggahan itu kami bukan sahaja menerima bekalan makanan tetapi juga mendapat hadiah berupa buku-buku agama dan terjemahan al-Quran.
Menjelang waktu Asar kami sampai ke hotel Al-Haram, tempat di mana saya dan suami akan menginap sepanjang di Madinah. Perasaan yang sama saya rasai semula seperti ketika pertama kali menjejakkan kaki ke kota Madinah.
Selesai urusan kemasukan ke bilik masing-masing, saya membersihkan diri. Saya tidak tergesa-gesa untuk mengejar waktu solat seperti jemaah yang lain kerana dalam keuzuran. Saya merehatkan diri di dalam bilik hotel sementara menunggu suami pulang dari masjid Nabawi.
Saya mendapat rakan sebilik yang lain di hotel Al-Haram. Kesemua rakan sebilik saya kali ini adalah guru. Sebenarnya mereka tidaklah asing buat saya kerana kami sudah saling kenal mengenali. Di Mekah kami sama hotel, sama tingkat dan kerap bertegur sapa. Kami juga satu khemah ketika di Arafah dan Mina.

Belum pun bermalam bersama sebagai rakan sebilik di sini, saya sudah merasakan keserasiannya. Kesemua mereka berasal dari Kedah. Kami mengumpul pelbagai cerita bersama-sama...
Di sini saya menginap sepanjang tinggal di Madinah. Sangat dekat dengan Masjid Nabawi.

Tuesday, October 29, 2013

Kisah-kisah aneh yang mengetuk pintu hati




Selesai segala urusan rukun haji, saya, suami dan rakan-rakan saya bakal berangkat ke Madinah. Tempat di mana Rasulullah disemadikan. Masjid Nabawi masjid kedua selepas masjidilharam yang dimuliakan oleh Allah menjadi tumpuan kami pula selepas ini. Tanah suci Mekah akan saya tinggalkan dengan pelbagai perasaan. Namun sepuluh hari sebelum meninggalkannya, saya dan rombongan kecil kami menjelajah bumi kelahiran Rasulullah ini mencari jejak Rasul. Bersolat sunat di beberapa masjid yang pernah dikunjungi dan disolati oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Sepanjang berada di bumi Mekah ini pelbagai peristiwa aneh, gembira, yang menduga hati, melihat kebesaran Allah dan bermacam lagi, mengajar saya menjadi hamba yang redha, bersyukur, ikhlas dan tidak mementingkan diri sendiri. Biarpun sebagai manusia biasa, saya tetap melakukan kesilapan, namun hati saya sentiasa diketuk untuk ingat bahawa hidup ini hanya sementara. Esok, lusa belum tentu saya masih wujud di sini

Haji Mansor atau Pak Chot, lama kami tinggal berjiran tetapi Allah pertemukan kami di Tanah Suci dan menjalin silaturahim bermula dari Kota Mekah... Subhanallah!

Bukan hanya mengutip cerita sendiri tetapi peristiwa kecil yang berlaku kepada orang lain dan orang yang terdekat dengan saya turut memberi pelajaran berguna. Kisah bagaimana pertemuan dengan jemaah yang tinggal di blok apartment yang sama di tanah air, turut memberitahu saya dan suami, betapa lemahnya kami sebagai jiran tetangga sebelum itu. Hampir lima tahun kami tinggal berjiran (ketika itu saya masih tinggal di apartment), dia di tingkat 7 sementara saya di tingkat 12, tetapi kami tidak pernah kenal dan berkenalan. Kalau bersilih pun mungkin ketika di dalam lif atau berpas-pasan di mana-mana.
Allah pertemukan kami di kota Mekah. Di Hotel Seif Al Yamani, kami ditempatkan di tingkat yang sama. Biliknya berselang beberapa bilik sahaja dari bilik saya. Kami selalu berjumpa di lobi dan hanya tersenyum dan memberi salam. Namun hati saya meneka-neka seperti pernah melihat lelaki itu, tetapi tak pasti di mana. Saya nyatakan kepada suami. Dia juga berperasaan demikian. Suatu hari, suami dan jemaah itu bertemu di pintu masjid sementara menunggu saya. Mereka bertanya khabar dan bercerita lebih lanjut. Dan alangkah terperanjatnya, apabila sedar selama ini, kami tinggal berjiran. Bayangkan lima tahun di tanahair tidak kenal antara satu sama lain, tetapi baru tiga hari di kota Mekah, Allah pertemuan kami. Dan pertemuan itu pula di dalam masjid yang penuh dengan barakah. Maha Besar Kuasa Allah.
Pak Chot bukan sahaja menjadi rapat dengan suami dan saya tetapi turut menjadi rakan karib kami berlima. Haji Zakaria, Haji Kana, saya, Pak Chot dan Haji Hamzah. Seorang lagi Haji Ali. Dia yang merakamkan gambar kami berlima ini...

Pertemuan penuh makna itu akhirnya membuahkan hubungan yang rapat di antara kami. Ia menjadi seperti keluarga sendiri sehingga hari ini. Kisah pertemuan dengan Haji Mansor atau kami panggil Pak Chot itu membuatkan kami mulai memerhati jiran tetangga setelah pulang ke tanahair. Tidak kira siapa mereka, Melayu atau bukan Melayu, Islam atau bukan Islam. Kami terasa Allah sedang memberitahu betapa `sombongnya’ kami sebelum ini. Betapa mementingkan dirinya kami sehingga tidak peduli untuk kenal siapa jiran yang tinggal bersama kami di blok itu selain yang tinggal sebelah menyebelah. Pelajaran itu amat berguna...
Perkenalan dengan Pak Chot juga memberi kebaikan kepada kami kerana lelaki itu sebelum ini sudah beberapa kali ke Mekah dan Madinah kerana mengerjakan umrah. Jadi banyak tempat-tempat yang sudah diketahuinya. Bersamanya, kami meneroka bumi Mekah selepas selesai mengerjakan ibadah haji. Kami sempat ke perkuburan Ma’ala dan mencari tempat makan yang menjadi kegemaran jemaah dari pelbagai negara. Dia juga sudah biasa dengan kerenah orang-orang Arab, apalagi para peniaganya. Ini memudahkan kami ketika ingin membeli sesuatu. Ya begitulah aturan Allah.

Kami dan Haji Mansor telah menjadi seperti saudara sendiri sebaik sahaja bertemu di Tanah Suci. Jalinan persaudaraan yang paling indah...

Kami berjalan-jalan sekitar kota Mekah, setelah selesai segala rukun haji. Ketika ini adalah minggu-minggu terakhir, kami berada di Kota Mekah.

Di Mekah juga suami saya sempat berkongsi kisah, apabila dia bertemu dengan seorang pemuda kacak. Pemuda itu meminta wang sepuluh riyal daripadanya. Kata pemuda itu, dia sedang mengumpul wang untuk pulang ke negaranya. Ketika itu, suami kebetulan tidak membawa wang ke masjid dan jika bertemu esok, Insya-Allah akan diberikan. Pemuda itu mengangguk. Masya-Allah, keesokan harinya selepas selesai solat Zohor ketika beriringan dengan suami untuk pulang ke hotel, tiba-tiba pemuda itu muncul di depan suami
Di sini tidak pernah sunyi dengan manusia, setiap masa, 24 jam. 

Melihat wajahnya, suami terus teringat janji semalam. Suami memberikan wang seperti yang dijanjikan dan dia kelihatan amat gembira. Dalam sesaknya  kota Mekah, dan dalam kesibukan ribuan manusia hilir mudik, dia masih mampu mengingati wajah suami dan berjaya menemui, biarpun bukan di tempat yang sama. Begitulah kehendak Allah. Kisah-kisah sebegini sengaja saya kongsikan kerana ia memberi pelajaran secara sengaja ataupun tidak sengaja kepada saya.
Dalam catatan ini juga saya ingin mengimbau sebuah kisah mengenai seorang wanita yang pernah menelefon saya (selepas saya pulang ke tanah air dari tanah suci). Dia melahirkan rasa bimbangnya untuk mengerjakan rukun haji. Dia berasa dirinya belum bersedia dan banyak dosa. 
Katanya, namanya tersenarai untuk mengerjakan haji pada tahun yang sama dengan saya, tetapi mungkin kerana belum sampai seru, dia tidak terpanggil sehingga penerbangan terakhir berlepas ke tanah suci.
“Nasib baik juga saya tidak pergi, sebab saya belum benar-benar bersedia ketika itu, walaupun dalam hati sangat teruja untuk ke tanah suci. Saya takut!” Ujar wanita ini kepada saya.
Saya mendengar dengan baik. Dia juga bercerita apa yang menjadi sumber ketakutannya. Saya sedia maklum kerana bukan dia sahaja yang mengalami perasaan seperti itu, ramai lagi bakal jemaah termasuk saya sebelum melangkah ke tanah suci, berperasaan demikian.
“Allah penuh dengan kasih sayang. Jangan kita pertikaian kasih sayang itu. Bermohonlah kepada-Nya, pasti dia akan memberi.” Itu kata-kata yang dapat saya sampaikan kepada wanita ini. Saya tahu ketakutannya memang luar biasa.
Sebagai hamba-Nya, kita memang sukar melepaskan diri daripada melakukan sebarang kesalahan dan melakukan dosa-dosa. Namun selagi kita sedar, kita masih berpijak di bumi Allah dan menjunjung langit-Nya, selagi itulah Allah akan memberikan kita petunjuk dan pelindungan. Dosa pasti diampunkan jika kita memohon keampunan itu dengan bersungguh-sungguh.
Biar saya cerita satu pengalaman bagaimana peringatan Allah kepada hamba-Nya, sebagai menunjukkan kasih sayang-Nya. Kisah ini diceritakan oleh seorang hamba Allah, ketika kami selesai menunaikan solat di Masjidilharam dan sedang menunggu giliran untuk minum air zam-zam yang disediakan di dalam masjid berhadapan dataran Kaabah. 
Dia berkisah tentang pengalamannya yang sentiasa berasa dahaga biarpun sudah minum berbotol-botol air. Semakin diminum semakin dahaga. “Saya hairan dan sangat takut. Sampaikan saya berasa tidak selesa kerananya. Ketika dalam sembahyang pun saya rasa sangat dahaga,” cerita hamba Allah ini.
Di Tanah Suci ini pelbagai peristiwa yang terjadi membuat kita berfikir dan bermuhasabah diri. Allah menunjukkan kebesarannya dengan pelbagai cara. Bersyukur jika kita sedar, diri sedang diuji...

“Cuaca memang panas. Saya  pun selalu dahaga. Kita pun sering dipesan supaya banyak minum air,” ujar saya menyedapkan hatinya. Dia terdiam, tetapi kemudian berkata perlahan kepada saya, “Allah sedang memberitahu saya, mengenai dosa-dosa lalu saya melalui rasa haus ini. Saya ahli perniagaan dan selalu berasa apa yang diberi Allah tidak mencukupi. Makin banyak diberi, saya berasa semakin tidak cukup. Ini ingatan untuk saya sebagai tanda Dia masih sayangkan saya dan mahu saya bertaubat dan membuang rasa tamak itu. Saya sedar kesalahan itu dan bermunajat serta memohon keampunan dengan sesungguhnya setiap malam di Masjidilharam ini. Alhamdulillah, rasa haus itu hilang selepas saya melakukan solat taubat. Saya bersyukur kerana mendapat peringatan Allah ketika masih di dunia. Bayangkan jika saya alpa hingga akhir hayat saya,” ujarnya sebak dan tidak mampu menahan air mata. Saya turut menangis bersamanya. Subhanallah.
Di sini tempat untuk kita merasa menghayati betapa hambanya diri kita ini. Allah Maha Besar.

Saya amat terharu dengan kisahnya. Katanya, dia mahu berkongsi pengalaman ujian itu kepada orang lain, agar masing-masing mendapat iktibar. Dan kisah itulah yang saya kongsikan bersama wanita yang menelefon saya itu, agar rasa takutnya dapat dilenyapkan. Tidak ada manusia yang tidak melakukan dosa selagi kita bernama manusia. Apa yang penting kita mahu mengakui kesalahan itu dan memohon keampunan-Nya. Allah itu Maha Pengampun. Ya, saya juga mencari kebaikan di sebalik kisah yang diceritakan ini dan mensyukuri hidup ini apa adanya.

Saya sentiasa berdoa agar ada peluang dan ruang untuk saya menjejakkan kaki ke sini lagi... 

Thursday, October 24, 2013

Berpisah di dataran Kaabah dan mencari cinta seteguh cinta Hajar




Selesai segala ibadah wajib haji di Mina, kami berangkat pulang ke Mekah. Mina saya tinggalkan dengan doa agar dipertemukan lagi saya dengan tempat penuh barakah ini. Banyak yang saya peroleh di sini. Saya berdoa semoga ada jejak-jejak kaki saya, sama ada di Arafah atau Mina yang pernah dijejak oleh Rasulullah dan para sahabatnya dahulu. Ini doa seorang hamba...
saya sempat bergambar kenangan bersama rakan-rakan di dalam khemah di Mina sebelum kami berangkat pulang ke Mekah. Kemesraan yang terjalin di sini, kini masih lagi terasa indahnya.
Kami sedang menanti giliran untuk menaiki bas pulang ke kota Mekah. Mina kami tinggalkan dengan penuh kesyahduan...
Mekah, bumi yang penuh dengan keajaiban. Sesuatu yang tak disangka, tidak mustahil berlaku di sini. Semua itu atas kehendak-Nya. Beberapa kejadian kecil yang berlaku mengetuk pintu hati saya agar hati terus teguh bergantung kepada-Nya.
Saya teringat bagaimana ketika mengerjakan tawaf dan saie haji, saya dan suami terpisah kerana halangan oleh jemaah dari negara lain yang melintas di hadapan kami secara bergerombolan lebih daripada 20 orang tanpa putus. Saya yang sedang memegang hujung jubah suami dan jalan beriringan terpaksa melepaskan pegangan. Namun sebelum mengerjakan tawaf, kami sudah berjanji jika terpisah ketika tawaf, masing-masing akan teruskan rukun haji itu hingga selesai. Seperti biasa tempat pertemuan adalah di pintu masuk babusalam.
Dataran Kaabah selepas selesai wukuf dan melontar di jamrah memang amat padat. Semua Jemaah mahu menyelesaikan tawaf dan saie haji. Kami sudah bersedia mengenainya. Kerana itu apabila sudah terputus pegangan, saya meneruskan pusingan tawaf. Ketika sedang tawaf bersama ribuan jemaah itu, tiba-tiba saya terasa bahu saya dipegang. Menoleh ke sisi, saya melihat seorang wanita berusia sekitar 60-an sedang ada di sebelah saya. Dia terus memegang dan memberitahu ingin mengikut saya kerana dia sudah terpisah daripada sanak-saudaranya. Saya mengangguk dan membiarkan dia terus memegang hujung telekung saya. Pusingan tawafnya juga sama seperti saya. Ini lebih memudahkan. Saya melangkah perlahan mengikut langkah wanita Iran itu. Kami bertawaf beriringan. Sama-sama menjaga tertib.
Memohon keampunan setiap kali bertawaf mengelilingi Kaabah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya...
 
Pada pusingan terakhir tawaf, dia bertemu semula dengan sanak saudaranya. Wanita itu bergabung  bersama keluarganya tetapi dia terus memegang saya dan meminta saya menyertai mereka meneruskan pusingan akhir itu. Saya menyertai mereka sehingga selesai tawaf. Kami sama-sama mengucapkan terima kasih. Akhirnya dia mengajak saya mengikutnya bersama  menuju ke tempat saie. Ya, sudah tentu saya mahu. Dia sangat baik. Saya fikir mungkin suami saya sudah ada di sana, namun saya tidak bertemunya di situ. Saya meneruskan saie. Saya tidak perlu menunggu sesiapa. Tidak ada yang mengusarkan hati, kerana saya tahu suami sedang mendoakan saya sebagaimana saya mendoakannya.
Dalam sendirian tanpa suami di sisi menghayati rukun haji ini, saya tidak mampu menahan sebak. Saya membayangkan betapa tabahnya Siti Hajar berulang alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwah untuk mencari air, bagi menghilangkan dahaga untuk anakanda yang dicintainya Nabi Ismail.
Perjalanan Saie mengajar saya erti pengorbanan sebenar seorang isteri dan seorang ibu yang sangat ikhlas dalam menjalankan suruhan dan perintah Allah. Ketika berlari-lari anak itu, saya cuba membayangkan bagaimana sukarnya Hajar berlari di padang pasir di tengah panas dan terik mentari. Jiwanya kental mendidik dan membesarkan anak, biarpun tiada suami di sisi. Pengorbanan yang tidak ada tolok bandingnya. Tidak seperti saya dan jemaah lain yang berlari-lari anak di bawah bumbung indah dan berhawa dingin. Siti Hajar dapatkah saya menemuinya `di sana’ kelak? Saya memohon keampunan Allah.
Siti Hajar berpisah bertahun-tahun lamanya bersama suaminya Nabi Ibrahim yang amat dicintai, sedangkan saya, baru hanya berpisah sebentar. Tidak terduga dalamnya cinta Siti Hajar. Cinta yang ikhlas kerana Allah.
Sebaik selesai saie, saya kembali ke dalam masjidilharam untuk melakukan solat sunat. Ada ruang kosong di dalam masjid yang mengadap multazam. Saya mengambil tempat yang biasa saya bersolat. Di sebelah saya, tersenyum seorang wanita dari Turki. Sebaik membentangkan sejadah, dia meminta izin untuk berkongsi sejadah bersama saya. Tentu sahaja saya membenarkannya. Namun sebelum kami meneruskan solat, dia meminta saya menjaga barangannya kerana dia mahu mengambil air zam zam.
Permintaan itu tidak sukar untuk saya penuhi. Saya menanti dia di situ. Wanita itu tidak lama, kerana tidak sampai 15 minit, dia sudah kembali di sebelah saya. Dia bukan sahaja membawa air untuk dirinya, tetapi juga membawa air zam zam untuk saya juga. Saya yang memang sedang dahaga menerima pemberian itu dengan rasa syukur. Alhamdulillah. Kami solat sunat bersama-sama. Sebaik habis berdoa, saya terlihat kelibat seorang lelaki di sebelah. Terus menoleh, rupa-rupanya dia suami saya. Dia tersenyum. Saya fikir inilah senyuman paling manis pernah saya lihat daripada seorang suami.
Mencari cinta seteguh cinta Siti Hajar tetapi mampukah saya?
Sebelum melangkah keluar dari masjid, saya sempat bertukar alamat bersama wanita Turki ini. Dia bukan sahaja memberi saya minuman, tetapi turut memberikan saya buah kurma yang begitu sedap rasanya. Mempelawa saya ke negaranya. Katanya, selepas Mekah dan Madinah, Turki lah tempat yang paling indah untuk di lawati oleh umat Islam. Saya pun berdoa, agar suatu hari nanti, saya akan sampai ke Turki tempat asalnya bunga tulip yang menjadi bunga kebanggaan negara Belanda itu. Silaturahim sudah terjalin antara saya dan wanita itu. Biarpun tidak bertemu lagi selepas itu, tetapi kebaikannya saya kenang hingga ke hari ini.

Kenangan berada di masjidilharam menunaikan ibadah haji, sebuah kenangan terindah...

Sunday, October 20, 2013

Bukan kebetulan tetapi Allah sedang menunjukkan Kebesaran-Nya



Hari pertama melontar di jumrahtul Aqabah, suasana di tempat melontar tidak terlalu bersesak. Semuanya dapat melontar dengan tenang biarpun dipenuhi jemaah. Tempat melontar yang sudah dibuat sebanyak tiga tingkat itu memudahkan para jemaah melakukan ibadah. Allah tetap akan memberi kita ruang biarpun di celahan jutaan manusia di situ.
Saya dan suami tidak terburu-buru. Kami mencari ruang yang selamat dan selesa. Selesai melontar dan bertahalul pada 10 Zulhijjah itu, lepas sudah beberapa larangan ketika di dalam ihram buat para jemaah. Jemaah lelaki sudah boleh menanggalkan kain ihram dan mengenakan pakaian biasa yang berjahit.
Ada juga jemaah yang pulang ke Mekah selepas melontar untuk melakukan tawaf dan saie tetapi saya, suami dan rakan-rakan mengambil keputusan untuk terus tinggal di Mina bagi menghayati erti sebenar sebuah perjalanan haji.
Menghadapi kesukaran? Itu memang tidak dapat dielakkan tetapi sudah 47 tahun (ketika itu) saya diberikan oleh Allah dengan pelbagai keselesaan tempat tinggal, makan minum, mandi dan sebagainya, jadi sekadar enam hari diuji sedikit himpitan, tentu saya sedia menerimanya. Pengalaman seperti ini, amat berharga kerana Allah sedang mengajar saya menjadi lebih sabar dan lebih bersyukur.
Suasana pagi di jamrah sungguh indah. Kami sempat menikmati keindahan matahari terbit daripada sini. Sinarnya yang kekuning-kuningan menembusi awan-awan yang putih bersih, memberi kedamaian di hati...
Kami merakamkan kenangan di sini selepas selesai melontar...
Lihat betapa mudahnya jemaah hari ini untuk melakukan ibadah melontar. Tangga elektrik ini sentiasa bergerak untuk memudahkan jemaah.

Meneruskan ibadah melontar di ketiga-tiga Jamrah pada 11, 12, dan 13 Zulhijjah memberi ruang kepada kami untuk melihat keberkatan bumi Mina dengan lebih dekat. Maha Besar Allah, di dalam kesesakan para Jemaah melalui terowong muassim itu, saya dipertemukan dengan seseorang yang setiap hari di dalam masjidilharam, berdoa untuk bertemu kami berlima.
Kak Siti dan suami, mereka juga dari pejabat kami tetapi pergi melalui pakej dan datang pada penerbangan awal. Menurutnya, dia berdoa  agar Allah pertemukan kami, tidak kira di mana sepanjang kami sama-sama berada di Mekah.
Katanya, dia hampir berputus asa, namun terus berdoa di tempat-tempat mustajab. Harapan terasa makin tipis kerana selepas selesai mengerjakan semua rukun dan wajib haji, dia akan segera berangkat pulang ke tanahair dalam penerbangan awal.
Allah Maha Mendengar segala doa. Pada 12 Zulhijjah, di dalam terowong muassim yang semakin sendat itu, kerana selepas melontar pada 10 Zulhijjah selepas Asar, kami memilih melontar jamrah hari berikutnya pada waktu dhuha. Kami sudah faham, walaupun manusia berasak-asak ketika ini, jika kita bersabar pasti ada ruang untuk kita melontar.
Kami berlima jarang berpisah. Ke mana pun bersama-sama dalam susah dan senang...
Dalam kesesakan ini, saya terpandang seseorang yang sepertinya amat saya kenali berjalan selangkah di hadapan saya. Melajukan langkah untuk memastikan adakah apa yang saya lihat itu benar, akhirnya saya berdiri bersebelahan orang itu. Subhanallah! memang benar. Dia orang yang saya sangka. Kami berpelukan di celahan orang ramai itu. Dia menangis. Kami melangkah beriringan keluar dari terowong dan menuju ke tempat melontar bersama-sama. Tidak ada yang mustahil di sini…
Di dalam Terowong Muassim ini saya bertemu dengan Kak Siti dan suaminya.
Kak Siti di sebelah saya. Kami sama-sama keluar terowong dan menuju ke jamrah untuk melontar pada hari kedua. Alhamdulillah, Allah permudahkan segala urusan.
Allah pertemukan kami di sini. Tiada yang mustahil bagi Allah.

Biarpun di tanah suci ini terpelihara kesuciannya namun manusia tetap dengan ragamnya. Kami dinasihatkan agar berhati-hati dengan beg duit sepanjang di sini kerana ada juga penyeluk saku berkeliaran di antara jemaah yang sedang melakukan ibadah dan tempat-tempat orang sedang berdagang. Seorang Jemaah daripada rombongan kami terpaksa redha apabila beg duitnya hilang dalam sekelip mata, apabila dia selesai memberikan sedekah kepada pengemis yang ada di sepanjang jalan menuju ke tempat melontar.
Saya masih ingat kata-katanya ketika itu, “duit itu bukan rezeki saya lagi. Mungkin orang yang mengambilnya benar-benar terdesak…” Subhanallah. Ujian yang sedikit memberi makna yang besar. Itulah ujian hati. Saya melihat keredhaan lelaki itu di sebalik senyumannya.
Hari terakhir melontar jamrah, sekali lagi saya melihat sebuah keajaiban Allah. Disebabkan ini adalah hari terakhir kami berada di Mina setelah selesai melontar di ketiga-tiga hari tasyrik dan akan pulang ke Mekah, saya mengambil peluang melihat-lihat barang dagangan para peniaga yang memenuhi ruang sepanjang jalan kami menuju ke khemah.
Setiap hari selepas selesai melontar, kami akan singgah membeli makanan di deretan kedai makan yang berada tidak jauh dari tempat melontar. Roti arab yang istimewa. Sepanjang di Mina kami tidak melepaskan peluang makan roti ini.
Di hari terakhir itulah, ketika saya sedang membelek-belek cincin, suami datang mendekati saya meminta wang kecil kerana peniaga kedai itu mahukan wang secukupnya untuk membayar makanan. Ia bagi memudahkan urusan jual beli memandangkan terlalu ramai jemaah beratur untuk mendapatkan roti arab itu.
Saya mengeluarkan beg duit dari beg sandang yang disediakan oleh Tabung Haji. Mengambil wang yang diminta dan kembali membelek-belek jualan milik peniaga berkulit gelap itu. Selesai suami membeli makanan, kami terus beredar setelah membeli beberapa barang yang saya berkenan. Saya berjalan tanpa memandang ke belakang lagi.
Tetapi hampir 500 meter perjalanan, saya terasa ingin membuka beg sandang dan masya-Allah, beg duit saya tidak ada di situ. Saya memandang suami dan memberitahunya. Ia bukan semata-mata soal duit yang ada di dalam beg itu, tetapi banyak dukomen penting saya turut berada di dalamnya.
Saya, suami dan rakan-rakan kami berpatah balik. Sepanjang perjalanan itu saya berdoa agar Allah memelihara beg itu, kalau benar ia di situ. Ketika sampai di situ semula, saya lihat tempat itu dikerumuni ramai jemaah pelbagai negara sedang membeli. Namun di sudut meja itu, di celahan orang ramai, saya terlihat bayangan merah beg duit saya.

Beg duit ini tidak saya gunakan lagi tetapi saya akan terus menyimpannya sebagai kenangan terindah. Allah mengajar saya sesuatu melaluinya. Maka Nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan? Ar-Rahman (surah 55)

Bimbang itu hanya bayangan, saya terus ke sudut meja itu dan benarlah itu beg duit saya. Mengambil dan membukanya. Tidak ada satu pun yang hilang. Semuanya tersusun rapi di situ. Subhanallah... Beg itu terbiar di tempat terbuka, namun Allah lah yang memeliharanya. Ini bukan kebetulan tetapi Allah sedang menunjukkan kuasa-Nya. Lama kami sama-sama terdiam. Masing-masing bertafakur. Saya terasa semakin kerdil di sisi-Nya. Sampai di khemah saya terus bersujud syukur. Pengalaman demi pengalaman di bumi barakah ini, membuat saya semakin mengenal Sang Pencipta...
Selesai sudah ibadah melontar. Allah melindungi kami sepanjang berada di tanah sucinya yang penuh berakah.