Lama saya tidak mengadap komputer untuk meneruskan
kisah-kisah manis dan berkongsi pengalaman berharga di tanah suci. Tuhan
memberikan saya sedikit dugaan. Deman, batuk, dan selesema yang agak teruk. Ia
mengambil masa sedikit untuk sembuh. Sakit! Ya... saya jarang dirundung rasa
sakit yang berpanjangan tetapi sesekali Allah `merehatkan’ saya dengan sakit ini
tentu ada hikmahnya. Perjalanan hidup kita bukan sentiasa indah sebagaimana
yang selalu kita gambarkan.
Doa seorang suami. Semoga dimakbulkan segala doa di sini...
Doa seorang suami. Semoga dimakbulkan segala doa di sini...
Ujian sakit ini memberikan saya masa untuk memikir bahawa kesihatan itu milik Allah dan sakit ini juga tanda Allah sedang memberi kasih sayangnya. Sakit sedikit, apabila sihat saya sedar betapa pentingnya bersyukur dan menjaga kesihatan.
Memulakan perjalanan untuk ziarah di Madinah.
Kami abadikan kenangan terindah di sini...
Ketika di Mekah dan Madinah, saya bersyukur kerana
terpelihara daripada sakit yang menghalang saya daripada melakukan ibadah
kepadaNya. Saya menjaga diri dan mengikut semua arahan Tabung Haji dan arahan
doktor yang bertugas. Saya juga bersedia dengan pelbagai suplemen demi
memastikan diri saya sihat sepanjang melakukan ibadah di tanah suci. Batuk-batuk kecil bukan satu halangan besar. Ia perkara biasa ketika di Tanah suci.
Alhamdulillah, semuanya elok-elok belaka. Keadaan kesihatan yang diizinkan
Allah itu membuatkan saya sedar bahawa apabila kita mengadu kepadaNya, Dia akan
mendengar rintihan itu.
Menyambung kisah-kisah manis di Madinah, saya
sentiasa terbayang-bayang perjalanan Haji saya sebelum berangkat pulang ke
tanah air. Pada hari kedua di Madinah, kami semua dibawa ziarah luar dan dalam.
Kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan, saya hanya mengikut para jemaah
ziarah luar masjid. Ketika jemaah lain masuk ke masjid Nabawi, saya bersama beberapa
wanita lain dalam jemaah kami yang juga keuzuran menunggu di luar.
Saya dapat membayangkan perasaan jemaah yang pertama kali dibawa melawat, kerana saya sudah mengalami perasaan itu ketika melakukan ibadah umrah beberapa bulan sebelum mengerjakan haji.
Saya dapat membayangkan perasaan jemaah yang pertama kali dibawa melawat, kerana saya sudah mengalami perasaan itu ketika melakukan ibadah umrah beberapa bulan sebelum mengerjakan haji.
Biarpun sudah masuk dan bersujud syukur di dalam
masjid dan di sisi Raudhah, namun hati meronta-ronta untuk kembali menikmati
perasaan itu. Saya berdoa agar saya segera suci untuk kembali masuk ke masjid
Nabawi.
Ziarahi kami diteruskan keesokkan harinya, menziarah ke beberapa masjid
bersejarah sekitar Madinah, ke Jabal Uhud, kebun kurma menikmati teh yang lazat
dan memilih kurma-kurma bermutu di kebun itu.
Kami dibawa juga melalui pusat
penyelidikan sejarah Islam serta melihat dari dekat universiti Madinah. Ziarahi
ini membuat saya bersyukur kerana merasa alangkah bertuahnya diri, kerana dapat
kembali menziarahi tempat-tempat itu dalam tempoh yang berdekatan.
Di kebun kurma. Kali kedua saya datang ke sini, namun perasaan teruja terus menakluki hati...
Kami sempat dihidangkan dengan the lazat di kebun ini.
Ya... Allah lindungi kami dan redhai kebahagiaan kami hingga akhir hayat.
Jabal Uhud tempat menyimpan seribu sejarah Rasulullah dan para sahabat. Di sini Islam terus berkembang pesat...
Kami sempat berdoa beramai-ramai di makam para sabahat dan para syuhadah. Syurgalah tempat mereka...
Saya dan suami belajar sesuatu yang berharga di sini. Tiada yang lebih indah daripada kasih sayang Allah...
Ketika ingatan saya pada semua tempat yang diziarahi itu masih basah dalam ingatan, saya diizinkan oleh Allah untuk datang semula ke sini dan lebih bermakna kedatangan saya kali ini bersama cinta hati saya. Di sini kami sama-sama berdoa panjang. Kali pertama dulu saya datang dan terus masuk ke masjid memohon doa kepada Allah, tetapi datang kali kedua, suami saya pula memohon doa di masjid-masjid penuh berakah itu. Saya hanya berdoa dari luar. Semoga Allah menerima doa-doa itu. Sesungguhnya kini saya amat rindukan suasana tersebut. Allah sudah mengaturnya begitu, saya redha...
Berlatarbelakangkan masjid qiblatain atau dua kiblat. Tidak sempat singgah di situ kali ini kerana semua mahu cepat kerana hari itu adalah hari Jumaat.
Hari ketiga di Madinah, saya kembali suci. Subuh
pertama di musim haji itu, saya bangun penuh semangat. Saya akan melangkah
masuk ke masjid dan menuju Raudhah untuk mencari redha Allah. Sembahyang Subuh pagi itu, Alhamdulillah saya duduk di saf perempuan paling hadapan. Apabila
selesai solat Subuh, saya mahu meneruskan solat sunat di depan Raudhah. Pekerja
wanita yang menjaga ruang saf memberitahu, dinding akan dibuka selepas solat subuh.
Sesiapa yang mahu ke Raudhah boleh menanti hingga dinding untuk menuju ke
Raudhah dari dalam ruang solat itu dibuka. Saya menanti dengan sabar.
Tepat
masa seperti yang dikatakan dinding dibuka dan saya berjalan berbaris mengikut apa yang
diarahkan. Saya bersama para jemaah lain terpaksa berhenti di beberapa `stesen’
sebelum sampai ke kawasan Raudhah. Kerana saya bersendirian, saya
bersilaturahim dengan beberapa jemaah dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Ini
bagi memudahkan perjalanan saya menuju ke Raudhah. Sempat kami berbual dan
berkenalan lebih rapat, namun kami tidak mahu membuang masa terlalu banyak
dengan bersembang, biarpun sebenarnya dari satu stesen ke satu stesen mengambil
masa yang lama.
Sementara menanti, beberapa ustazah dari Indonesia
memberi tazkirah. Amat berguna untuk bekalan ilmu yang bermanfaat. Dengan
pengisian ilmu itu, kami tidak terasa lama menunggu. Saya akhirnya sampai juga
di depan makam Rasulullah dan di depan Raudhah.
Dalam keadaan berasak-asak itu,
saya berdoa agar saya diberi kesempatan bersolat sunat dengan tenang di situ.
Saya ingin berdoa sepuas-puasnya di situ. Sepanjang masa menanti sebelumnya,
saya memang tidak henti berdoa, agar saya diberi kelapangan bersolat di situ. Saya berdoa
bersungguh-sungguh dari hati.
Sungguh Allah itu Maha Mendengar. Sebaik berada di
ruang itu, saya mendapat tempat yang benar-benar mengadap makam Rasul. Saya
mengerjakan sujud syukur dan solat sunat. Tidak diganggu biarpun jemaah dari
pelbagai negara berasak-asak di situ. Saya tidak sedar air mata saya mengalir.
Ia tumpah di situ. Para pekerja wanita yang menjaga di kawasan itu yang
biasanya akan meminta para jemaah cepat-cepat solat dan beredar keluar untuk
memberi laluan kepada jemaah yang lain, tidak menganggu saya. Malahan dia
memberi peluang dengan menjaga ruang ketika saya sedang bersolat. Allah Maha
Besar. Nikmat Allah yang mana satukah, dapat saya dustakan...
Selesai solat dan berdoa dengan tenang, saya mahu
melangkah pergi, sebelumnya saya sempat mengucapkan terima kasih kepada petugas kerana memberi
peluang saya bersolat dengan tenang. Dia tersenyum. Saya
mendoakan kebahagiaan untuknya. Saya dapat merasakan dia seorang yang sangat memahami dan saya yakin bukan saya seorang yang dibantunya. Mungkin ramai jemaah lain turut mendapat bantuan ikhlasnya itu.
Di Raudhah juga saya teringatkan satu peristiwa hingga kini saya tidak mampu melupakan. Dalam perjalanan keluar dari Raudhah pada suatu hari iaitu selepas pergi beberapa kali saya ke sana, dalam melangkah sendiri keluar dari masjid, saya bertemu dengan seorang warga emas. Saya tidak pasti dia berasal dari negara mana. Saya melihat wanita berusia dalam lingkungan 70-an itu, berjalan perlahan di hadapan saya. Sangat perlahan dan akhirnya terbongkok. Saya mempercepatkan langkah untuk melihat apa yang terjadi kepada wanita bertubuh kecil itu.
Dia hamper rebah ketika saya benar-benar hampir dengannya. Saya sempat memautnya. Minta dia berpaut ke bahu sambil memapahkan menghala ke luar. Namun dia kelihatan amat lemah. Saya fikir dia mungkin perlukan air tetapi saya tidak melihat dia membawa botol air di tangan. Tong air zam-zam juga tidak ada di situ. Akhirnya saya mengeluarkan botol air saya yang sudah tinggal kurang daripada separuh itu. Dengan rasa serba salah saya memberikan air lebihan saya kepadanya.
Melihat saya mengeluarkan air. dia terus menghulurkan tangan. Tetapi keadaannya amat lemah. Saya mendudukkannya di lantai berkarpet merah itu dan memangku kepalanya sambil memberikan air.
"Saya mendengar dia berbisik syukran...syukran beberapa kali. Saya cuba membangunkannya selepas itu tetapi dia benar-benar tidak berdaya. Beberapa jemaah wanita lalu dan memandang. Mungkin mereka fikir itu ibu saya.
Saya meletakkan wanita itu dan mencari petugas masjid untuk meminta bantuan. Beberapa orang datang dan memberikan bantuan. Mereka membawa wanita itu pergi dan saya hanya sempat mencium dahinya. Selepas itu saya tidak tahu apakah yang berlaku. Namun sebelum melangkah keluar masjid saya melakukan solat sunat. Saya tidak tahu bagaimana mahu membantu wanita yang sudah dibawa pergi itu selain berdoa kepada Allah, agar wanita hampir sebaya ibu saya itu selamat dan dilindungi Allah.

Kami berdoa di hadapan kubah makan Rasulullah di luar masjid...
No comments:
Post a Comment