Friday, April 23, 2010

Paris, kota impian di depan mata














Biarpun sudah pergi ke beberapa tempat di negara luar, namun impian saya untuk ke kota Paris tak pernah padam. Saya kerap berkhayal untuk menyelusuri atau sekurang-kurangnya duduk di tepi Sungai Seine sambil berpegangan tangan bersama suami. Suami sering ketawa mendengar impian saya ini. Dia berkata tunggulah nanti kita pencen, kita pergi ke sana berdua. Anak-anak sudah besar. Walaupun entah sempat, entah kan tidak `janji’ suami itu, tetapi azam saya semakin kuat untuk menjejakkan kaki ke kota romantik dan kota fesyen ini setiap kali menatap pemandangan indah kota fesyen ini di dalam internet.

Namun rezeki datang tanpa disangka-sangka. Pelawaan Puan Suhaili Yosof, dari My J Projek yang bernaung di bawah Syarikat Hai-O Marketing, menyempurnakan impian saya lebih awal daripada yang diharapkan. Biarpun tidak pergi bersama suami, tetapi sekurang-kurangnya impian saya yang satu ini sudah tercapai.

Bertolak dari KLIA pada malam 6 November dengan menaiki pesawat Emirates Airways, saya bersama rombongan, mendarat sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, sebelum melanjutkan perjalanan ke Paris. Di lapangan terbang itu, saya bertemu rombongan haji Malaysia yang juga singgah sementara di lapangan terbang ini sebelum melanjutkan perjalanan mereka ke tanah suci, Mekah. Kebetulan ketika itu musim haji. Kerana sampai ketika waktu Subuh baru sahaja masuk, kami menunaikan solat Subuh berjemaah di lapangan terbang bersama beberapa jemaah haji yang kebanyakan dari Melaka itu.

Selama transit di Dubai itu, saya sempat juga meninjau kawasan lapangan terbang yang canggih ini. Memang besar! Selain bakal haji, saya turut bertembung dengan sekumpulan wanita Indonesia (bakal pembantu rumah di luar negara) sedang berlonggok menanti waktu untuk berlepas ke destinasi masing-masing. Sempat juga berbual sebentar dengan beberapa orang daripada mereka.

Setelah dua jam transit di Dubai, tepat pukul 7.45 pagi waktu Dubai, penerbangan ke Paris diteruskan. Lebih kurang pukul 1.30 tengah hari, rombongan kami mendarat di Charles deGaulle Airport, Paris. Selesai segala urusan dokumentasi dan bagasi, kami keluar dari lapangan terbang dan dua buah bas sudah sedia menanti ketibaan kami.

Kota Paris kini sudah di hadapan mata saya! Walaupun belum lagi melihat wajah sebenar Paris tetapi hati saya benar-benar teruja. Hujan turun renyai-renyai seperti menyambut ketibaan kami. Seronoknya melihat `hujan emas’ di Kota Paris ini. Kami menempuh hujan renyai-renyai itu menuju ke bas masing-masing. Dalam bas, kami diperkenalkan dengan pemandu bas yang bakal bersama kami selama seminggu itu dan kami diberikan beberapa taklimat mengenai percutian dan perjalanan kami sepanjang seminggu di Kota Paris.

Perut sudah mula berkeroncong. Maklumlah memang waktu makan tengah hari. Kali terakhir makan ketika dalam penerbangan. Memang lapar sungguh. Ketika itu saya membayangkan, apakah hidangan yang bakal menanti kami. Adakah makanan itu nanti bertepatan dengan tekak Melayu saya. Tetapi saya `pasrah’ saja dengan apa yang bakal dihidangkan. Saya tidak tahu sesuatu yang istimewa rupanya sedang menanti kami di kota Paris. Pengurus pelancong, Mr. Derrick Lim, sengaja tidak memberitahu awal. Mungkin mahu membuat kejutan!

1 comment: