Saturday, January 18, 2014

Bercerai belum tentu selesai masalah!


NURI SUPIAN




Kisah-kisah duka dalam rumah tangga selalu membuat wanita cepat putus asa dan hilang keyakinan diri. Masalah ini bukan masalah baru atau masalah semasa, sebaliknya ia sentiasa berlaku dan akan terus berlaku selagi manusia yang dipasangkan sebagai suami isteri, mempunyai keinginan dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain.  Perkahwinan itu adalah penyatuan dua hati dan dua perasaan, yang di dalamnya ada persamaan dan perbezaan. Bukan mudah untuk memastikan ia sentiasa berjalan mengikut gaya fikir kita, namun tidak sukar juga mencari titik persamaan dalam dua jiwa ini.
Sudah beberapa kali saya  mencoretkan catatan seperti ini di dalam majalah Mingguan Wanita, namun hari ini saya merasakan ingin mengulang semula catatan itu sebagai pemberi sedikit cahaya pada yang sedang berduka. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya selalu disajikan dengan kisah duka isteri yang tersepit antara cinta, sayang dan benci pada pasangan mereka. Cuba perhati dan hayati apa yang tertinta di sini. Ia mungkin memberi jalan...

Langit memang tidak selalunyua cerah...

”Jangan putus asa, cubalah lagi dan fikirkan soal anak-anak!” Inilah nasihat yang sering kali diberikan oleh sesiapa pun jika ada di antara kawan-kawan atau sanak saudara yang meluahkan rasa hati mereka untuk bercerai atau bercerita mengenai perkahwinan mereka yang tidak bahagia mahupun perkahwinan yang penuh dengan masalah. Sebahagian besar daripada kita memang merasakan bahawa hidup dalam alam perkahwinan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan bercerai. Namun adakah nasihat yang kita berikan itu betul dan relevan dengan orang tersebut.

Menasihatkan seseorang agar mempertahankan perkahwinan adalah nasihat yang betul. Sebab bagi mereka yang sedang menghadapi masalah dalam rumah tangga, biasanya sukar untuk mereka berfikir dengan tenang malahan sering buntu dalam membuat keputusan.

Sebagai orang luar, kita mungkin boleh melihatnya dari sudut yang lebih luas dan munasabah. Kita boleh melihat pertimbangan-pertimbangan dari segi buruk dan baik hasil perceraian yang mahu dituntut itu. Dan kita mungkin boleh memberi pesan bahawa walaupun bercerai belum tentu mereka akan bahagia, kerana kehidupan selepas bercerai mungkin lebih dahsyat lagi. Sebagai orang yang menasihati, kita biasanya akan cuba memberikan beberapa contoh yang pernah kita dengar, lihat dan alami. Tetapi memahami situasi orang terbabit juga adalah antara sudut pandangan yang tidak boleh kita abaikan.

Melalui pengalaman saya sendiri dalam melihat, mendengar dan berdepan dengan kes-kes wanita yang menghadapi masalah rumah tangga ini, membuatkan saya selalu berfikir sampai bilakah wanita harus menjeruk hati dalam menangani masalah rumah tangga mereka.

Memang ada wanita yang sanggup bersabar melayani kerenah suami demi anak-anak, demi maruah keluarga dan sebagainya dan pengorbanan mereka berbaloi kerana suami akhirnya kembali ke pangkuan keluarga, namun ada juga yang bertahun-tahun menganyam duka  tetapi akhirnya rumah tangga yang dipertahankan hancur juga.

Kerana itulah saya selalu memberi pendapat (jika diminta), yang berpijak di bumi nyata. Mempertahankan sebuah perkahwinan adalah sebaik-baik perbuatan tetapi jika dengan mempertahankanny wanita itu hilang segala kenikmatan hidup, hilang keceriaan, sentiasa tertekan dan anak-anak menjadi mangsa akibat tekanan itu, ada baiknya juga wanita seperti ini memperjuangkan haknya sebagai wanita.

Namun sebelum itu mereka hendaklah melihat dari segala sudut adakah perceraian itu perlu untuk mereka atau perkahwinan tersebut masih boleh diperbaiki. Ini kerana saya pernah terbaca satu rencana yang ditulis oleh seorang pakar psikologi perkahwinan, yang mengatakan ada juga segelintir wanita hanya melebih-lebihkan perasaan mereka dan akhirnya menyesal setelah diceraikan. Dengan itu pesan saya, seboleh-bolehnya jangan buat keputusan paling daif ini, kecuali jika anda benar-benar memerlukannya.





 Suasana alam hampir sama dengan suasana hati manusia, ada masa redup, ada ketika mendung, ada waktunya ribut taubat, ada tikanya hujan gerimis, banyak masa juga ia kelam dan kalut namun di atas segala itu, ia biasanya akan kembali cerah setelah semua musim itu berlalu... bersabarlah sementara menanti waktu cerah itu tiba...


Thursday, January 16, 2014

Wahai Suami Mengapa Isterimu Menangis?


imageAda banyak sebab yang menjadikan isteri anda mengalirkan air mata dan bersedih. Sebagai teman sekamarnya suamilah yang diharapkan agar memahami situasi sentimental ini dan menjadi tempat untuknya menyandarkan perasaan.


Faktor 1: Hormon dan kesihatan
Hormon isteri tidak stabil terutamanya apabila mereka haid dan sakit. Tekanan biasa menjadi tekanan yang besar dan mampu membuatkan mereka menangis. Cara membantu isteri: Elakkan memberi tekanan kerana mereka lebih sensitif pada waktu ini. Dikhuatiri masalah kecil menjadi semakin besar.

Faktor 2: Mengurangkan stres dan ekspresi perasaan marah
Kebiasaannya isteri menghadapi konflik dalaman akibat stres dan marah. Ini berlaku akibat urusan di tempat kerja dan urusan di rumah. Ada ketikanya mereka terlalu penat dan terkejar-kejar. Cara membantu isteri: Tolong isteri menguruskan rumah tangga, mengambil tahu masalahnya di tempat kerja dan bantu dia menyelesaikan masalahnya.

Faktor 3: Luahan emosi
Pemikiran wanita lebih mudah dipengaruhi oleh emosi berbanding pertimbangan. Mereka mengekspresikan tindakan itu mengikut emosi yang sedang mereka rasai. Cara membantu isteri: Mendengar luahan perasaan isteri dengan penuh minat kerana dapat mengurangkan tekanan emosinya. Ucapkan kata-kata yang boleh meredakan perasaannya.

Faktor 4: Memori
Wanita pasti ada memori indah dan memeritkan. Dia terkenangkan memori lama yang hanya tinggal kenangan. Cara membantu isteri: Ajaklah isteri beriadah dan melakukan aktiviti bersama-sama supaya dapat melupakan kisah silam yang pahit itu.

Faktor 5: Tanda keinsafan dan penyesalan.
Sebagai seorang manusia wanita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Cara membantu isteri: Membimbing dan memimpin isteri untuk kembali ke jalan yang benar.
Ayuh, lelaki bergelar suami harmonikanlah perhubungan anda dan isteri dengan membuat isterimu ketawa kembali...
Artikel ini dipetik dari portal http://www.ummahbaru.com. Anda boleh layari laman web ini untuk membaca pelbagai lagi artikel yang menarik.


Monday, January 13, 2014

Perkahwinan itu indah...






NURI SUPIAN


Setiap pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga, pasti mempunyai pengalaman tersendiri. Sama ada ia seindah yang dibayangkan ketika belum hidup berumah tangga ataupun jauh daripada apa yang diimpikan. Kebahagiaan dalam perkahwinan bergantung sebanyak mana kita menghargai erti perkahwinan itu sendiri.
Namun ada yang mengeluh selepas beberapa tahun berkahwin, pasangan hidup mereka telah jauh berubah. Pasangan dirasakan sudah tidak semesra dan seromantis dulu. Mereka mula mencari cacat dan cela pada pasangan yang mereka nikahi itu. Cacat cela yang tidak pernah mereka kisahkan ketika zaman bercinta dulu.
Ombak dan pantai, umpama suami dan isteri. Mereka saling memerlukan...


Sekiranya kita melihat perkahwinan akan `merosakkan’ sesebuah percintaan sebenarnya kita tersilap, kerana perkahwinan adalah satu ikatan suci yang membenarkan kita menikmati hidup berkasih sayang tanpa sepadan bersama pasangan. 
Biarpun dalam perkahwinan ada pelbagai ranjau duri, ada liku-liku dan ada pasang surutnya, namun dalam perkahwinanlah kita mampu membina pelbagai perasaan. Di dalamnya tersimpan rasa bahagia, cemburu, sedih, gembira, tangisan dan senyuman. Perkahwinan ada sejuta wajah. Di dalamnyalah kita mengumpul dosa dan pahala. Bersamanya kita belayar dalam lautan madu dan mengharungi ombak menderu.
Pelbagai tantangan dan tanggungjawab dalam perkahwinan sentiasa menghiasi hari-hari kita. Selalu kita tersenyum dan ada juga ketikanya kita berduka dalam membina rumah tangga, terutama ketika menghadapi kerenah pasangan dan anak-anak. Namun kerana rencah inilah kita menjadi akrab bersama ahli keluarga kita terutama suami, isteri dan anak-anak.
Jangan ubah perasaan cinta tetapi ubahlah persepsi tentang cinta dalam rumah tangga...


Semakin lama usia perkahwinan kita semakin banyak yang harus kita selesaikan. Dalam tempoh itu sudah pasti beberapa sikap kita dan pasangan akan berubah. Kita tidak lagi boleh sentiasa hidup dalam kepura-puraan. Tidak boleh lagi sentiasa mahu berkepit dan meliuk-lintuk manja bersama pasangan. Kita harus maju memburu masa depan yang lebih realistik. Kita tidak lagi boleh hidup dalam igauan atau mimpi. Kita mesti bangun dan bergerak pantas. Kita tidak lagi sepatutnya terkongkong oleh sandiwara masa lalu. Kecantikan dan ketampanan yang berubah kerana mengikut edaran masa, pasti digantikan dengan kecantikan dan ketampanan yang lebih murni sifatnya. Kita tidak akan lagi terjebak dengan pesona, sebaliknya kita mahukan kecantikan hakiki.
Sifat penyayang, penyabar dan kebijaksanaan dalam tanggungjawab memajukan rumah tangga mampu menggantikan beberapa perkara yang mungkin pudar dibawa zaman. Tidakkah sifat-sifat ini lebih memberi manfaat kepada kita dan keluarga?  Jadi bersyukurlah jika kita masih mampu mempertahankan sebuah ikatan suci yang bernama perkahwinan, biarpun diancam gelombang dan gelora.
Satu pesan saya untuk semua pasangan yang sudah berumah tangga, sebesar apa pun dugaan yang datang dalam perkahwinan, berikhtiarlah untuk mengatasinya. Jangan lari daripada `medan perang’ selagi perang belum tamat... 
Ramai yang menganggap perkahwinan itu umpama pokok mawar. Cantik tapi berduri. Bagi saya kerana duri itulah mawar ini istimewa. Duri umpama penjaga dan pelindung yang baik. Orang akan berhati-hati untuk memetik dan menciumnya. Kadangkala berterima kasihlah pada perkara yang kita anggap menyusahkan.