NURI SUPIAN
Kisah-kisah duka
dalam rumah tangga selalu membuat wanita cepat putus asa dan hilang keyakinan
diri. Masalah ini bukan masalah baru atau masalah semasa, sebaliknya ia
sentiasa berlaku dan akan terus berlaku selagi manusia yang dipasangkan sebagai
suami isteri, mempunyai keinginan dan pendapat yang berbeza antara satu sama
lain. Perkahwinan itu adalah penyatuan dua hati dan dua perasaan, yang di
dalamnya ada persamaan dan perbezaan. Bukan mudah untuk memastikan ia sentiasa
berjalan mengikut gaya fikir kita, namun tidak sukar juga mencari titik
persamaan dalam dua jiwa ini.
Sudah beberapa kali saya mencoretkan catatan seperti ini di dalam majalah Mingguan Wanita, namun hari ini saya merasakan
ingin mengulang semula catatan itu sebagai pemberi sedikit cahaya pada yang
sedang berduka. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya selalu disajikan dengan
kisah duka isteri yang tersepit antara cinta, sayang dan benci pada pasangan
mereka. Cuba perhati dan hayati apa yang tertinta di sini. Ia mungkin memberi
jalan...
Langit memang tidak selalunyua cerah... |
”Jangan putus asa, cubalah lagi dan
fikirkan soal anak-anak!” Inilah nasihat yang sering kali diberikan oleh
sesiapa pun jika ada di antara kawan-kawan atau sanak saudara yang meluahkan
rasa hati mereka untuk bercerai atau bercerita mengenai perkahwinan mereka yang
tidak bahagia mahupun perkahwinan yang penuh dengan masalah. Sebahagian besar
daripada kita memang merasakan bahawa hidup dalam alam perkahwinan adalah lebih
baik jika dibandingkan dengan bercerai. Namun adakah nasihat yang kita berikan
itu betul dan relevan dengan orang tersebut.
Menasihatkan seseorang agar mempertahankan perkahwinan
adalah nasihat yang betul. Sebab bagi mereka yang sedang menghadapi masalah
dalam rumah tangga, biasanya sukar untuk mereka berfikir dengan tenang malahan
sering buntu dalam membuat keputusan.
Sebagai orang luar, kita mungkin boleh melihatnya dari
sudut yang lebih luas dan munasabah. Kita boleh melihat
pertimbangan-pertimbangan dari segi buruk dan baik hasil perceraian yang mahu
dituntut itu. Dan kita mungkin boleh memberi pesan bahawa walaupun bercerai
belum tentu mereka akan bahagia, kerana kehidupan selepas bercerai mungkin
lebih dahsyat lagi. Sebagai orang yang menasihati, kita biasanya akan cuba
memberikan beberapa contoh yang pernah kita dengar, lihat dan alami. Tetapi
memahami situasi orang terbabit juga adalah antara sudut pandangan yang tidak
boleh kita abaikan.
Melalui pengalaman saya sendiri dalam melihat,
mendengar dan berdepan dengan kes-kes wanita yang menghadapi masalah rumah
tangga ini, membuatkan saya selalu berfikir sampai bilakah wanita harus menjeruk
hati dalam menangani masalah rumah tangga mereka.
Memang ada wanita yang sanggup bersabar melayani
kerenah suami demi anak-anak, demi maruah keluarga dan sebagainya dan
pengorbanan mereka berbaloi kerana suami akhirnya kembali ke pangkuan keluarga,
namun ada juga yang bertahun-tahun menganyam duka tetapi akhirnya rumah
tangga yang dipertahankan hancur juga.
Kerana itulah saya selalu memberi pendapat (jika
diminta), yang berpijak di bumi nyata. Mempertahankan sebuah perkahwinan adalah
sebaik-baik perbuatan tetapi jika dengan mempertahankanny wanita itu hilang segala
kenikmatan hidup, hilang keceriaan, sentiasa tertekan dan anak-anak menjadi
mangsa akibat tekanan itu, ada baiknya juga wanita seperti ini memperjuangkan
haknya sebagai wanita.
Namun sebelum itu mereka hendaklah melihat dari segala sudut adakah perceraian itu perlu untuk mereka atau perkahwinan tersebut masih boleh diperbaiki. Ini kerana saya pernah terbaca satu rencana yang ditulis oleh seorang pakar psikologi perkahwinan, yang mengatakan ada juga segelintir wanita hanya melebih-lebihkan perasaan mereka dan akhirnya menyesal setelah diceraikan. Dengan itu pesan saya, seboleh-bolehnya jangan buat keputusan paling daif ini, kecuali jika anda benar-benar memerlukannya.
Namun sebelum itu mereka hendaklah melihat dari segala sudut adakah perceraian itu perlu untuk mereka atau perkahwinan tersebut masih boleh diperbaiki. Ini kerana saya pernah terbaca satu rencana yang ditulis oleh seorang pakar psikologi perkahwinan, yang mengatakan ada juga segelintir wanita hanya melebih-lebihkan perasaan mereka dan akhirnya menyesal setelah diceraikan. Dengan itu pesan saya, seboleh-bolehnya jangan buat keputusan paling daif ini, kecuali jika anda benar-benar memerlukannya.