Showing posts with label Motivasi. Show all posts
Showing posts with label Motivasi. Show all posts

Saturday, October 5, 2013

Beramallah dengan rezeki

NURI SUPIAN


Zaman senang dan zaman susah memang boleh datang dan pergi. Kadangkala umpama membalikkan tapak tangan. Datang sekelip mata dan hilang pun sekelip mata juga. Itulah hidup yang kerap pula diumpamakan sebagai roda yang berpusing, kejap di atas dan ke bawah. Sebab itulah apabila dalam waktu menyenangkan, ingat pada mereka yang dirundung kesusahan. Jangan anggap senang itu milik kita selamanya. Bagi yang dalam kesusahan usah menangis menyalahkan takdir atau merintih kerana nasib malang. Ingat kesusahan itu pun satu `kesenangan’ yang akan berguna suatu hari kelak.
Saya belajar perkara ini daripada seseorang yang jauh lebih muda daripada saya. Dia memberitahu bahawa kesenangan mengajarnya untuk ingat susah.  Kerana itu apabila dia mengalami zaman susah kerana perniagaannya jatuh merudum, dia menghadapinya dengan tenang. Ketika mengejar kesenangan, dia diasuh untuk menikmati kesenangan itu dan tayangkannya agar orang lain termotivasi melihat apa yang digenggam dan apa yang sudah dicapai. Menggetarkan! Memberi inspirasi kepada orang yang ingin berjaya dan kaya perlukan usaha dan semangat yang kuat. Azam ditanam agar rezeki mesti dikongsi dan tidak kaya sendiri. Alhamdulillah, niat itu amat baik tetapi perjalanan hidup yang lurus kerapkali dibengkokkan.

“Ketika melihat ramai yang ingin senang dan memiliki apa yang dihajati, saya sama teruja. Apabila apa yang diimpi jadi kenyataan, hidup pasti lebih bermakna. Cuma kita ini manusia lemah. Lemah melihat silauan. Mata cepat terpejam dan khayal dalam kilauan itu. Kerana ramai menjadi lupa, maka terperangkaplah di situ. Ujian susah pun bermula…” mukadimah kata yang penuh dengan makna. Saya faham apa yang dimaksudkan.

Hari ini dia tidak mengejar lagi. Dia ingin duduk dan diam menikmati kesusahan yang diberikan. Hatinya lebih tenang, tidak ada lagi beban untuk mempamerkan diri. Kesusahan ini memberikan `kesenangan’ yang tersendiri. Lihatlah kekayaan Allah, ketika dia memberikan kekayaan harta dan kita sibuk dengan kekayaan itu, dia hilangkan sedikit ketenangan di hati kerana setiap hari harus berfikir, berfikir dan berfikir agar senang itu kekal. Sedangkan yang kekal itu hanya Allah. Hari ini dia hanya diberikan sedikit, kerana sedikit, dia tidak boleh lagi menayangkannya, namun hatinya terasa lebih ringan. Hidupnya kembali memberi makna. Rupanya inilah yang dicari-carinya selama ini.

Harta biar banyak tetapi hati jangan tamak. Rezeki biar menimbun tetapi mata jangan rabun. Allah memang menyuruh kita berusaha mencari kesenangan hidup tetapi jangan sesekali keluar dari tali Allah. Ingat pesan ini carilah rezeki seolah-olah kita akan hidup 1000 tahun lagi dan beribadatlah seolah-olah kita akan mati esok hari. Pesan ini amat mendalam maknanya…
Jadilah kita orang yang beramal dengan rezeki, dan kekayaan itu adalah bonusnya…dan jadilah kita orang yang diberikan nikmat dan rahmat itu akhirannya…



Tuesday, October 1, 2013

Doronglah… dan berikan kepercayaan


 NURI SUPIAN



Anak-anak kita yang berusia 12 tahun, baru beberapa minggu ini selesai menjalankan tanggungjawab mereka terhadap peperiksaan besar bagi peringkat sekolah rendah iaitu Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Ini termasuk anak bongsu saya. Waktu `gerunnya’ telah berakhir. Sekarang anak-anak itu sudah boleh tidur lena.
Berhasil dengan cemerlang atau sebaliknya terserah bagaimana cara mereka menjawab soalan tersebut. Bagi yang sudah bersedia sejak awal, tentulah tiada kerisauan di hati.  
Sekarang debaran kuat sedang berdag dig dug di hati anak-anak kita yang akan menghadapi peperiksaan PMR esok. Mereka akan berjuang, dan meluahkan apa yang sudah mereka pelajari dan timba sebelum ini, pada kertas-kertas peperiksaan. Ibu bapa teruslah berdoa. Inilah masa terbaik untuk kita bangun di tengah malam, meminta dan terus meminta... Allah Maha Mendengar.

Usaha dan doa
Ketika anak sulung dan anak kedua saya menghadapi peperiksaan PMR, saya menghadapi kerisauan yang hampir sama dengan apa yang dirasai oleh mereka. 
Saya faham dan sering diberitahu oleh kawan-kawan yang juga pakar motivasi, bahawa jangan berikan tekanan kepada anak-anak, kerana tekanan itu akan membuat mereka semakin stres. Saya berusaha menangani perasaan saya dengan baik, biarpun kadangkala ia sesuatu yang agak sukar.
Biarpun saya selalu berkata, “awak berusahalah sebaik mungkin, berikan tumpuan, tenangkan fikiran dan berdoalah kepada Allah, agar memudahkan awak menjawab soalan yang diberikan. Apabila sudah berusaha bersungguh-sungguh, selebihnya serahkan kepada Allah…” Sebenarnya jauh di sudut hati, saya sendiri resah, risau dan bimbang, adakah anak-anak saya itu mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Sebagai ibunya, setiap hari saya berdoa agar dia lulus dengan cemerlang. Akhirnya usaha mereka, dan doa saya, tidak Allah sia-sia. Mereka berjaya melepasinya dengan keputusan yang baik. Syukur Alhamdulillah.
Kini anak kedua saya sedang berjuang untuk peperiksaan SPMnya tidak lama lagi. Saya yakin apabila dia sudah berusaha dengan baik, Tuhan pasti akan membantu. Keyakinan ini saya sematkan di hatinya. Saya mendorongnya dan saya memberikan dia kepercayaan menentukan masa depan sendiri. Bagi saya keyakinan amat penting. Sebijak mana pun mereka, jika tiada keyakinan dalam diri, mereka sukar menjadi orang yang cemerlang.
Saya percaya, semua ibu bapa yang anak-anaknya sedang menghadapi saat penting dalam hidup mereka ini, akan merasai seperti apa yang saya rasakan. Berdasarkan pengalaman inilah yang saya mahu kongsi bersama anda semua. Kita boleh risau, kita boleh bimbang dan kita boleh mengharap, tetapi cara kita mesti positif. Dorongan dan doa kita akan membuatkan anak-anak tenang di dewan peperiksaan. 

Pentingnya target
Ada orang tidak berani meletakkan target atau sasaran tertentu, tetapi saya memberitahu anak-anak bahawa hidup ini memang perlukan target. Tanpa target atau sasaran, kita akan tenggelam di tengah gelombang. Dengan targetlah, kita tahu apa yang sepatutnya kita lakukan dan ke mana diri mahu kita arahkan...
Kini marilah kita sama-sama berdoa agar semua anak-anak kita menghalakan panah mereka pada sasaran yang tepat. Kita bimbing dan motivasikan jiwa mereka. Katakan jika mahukan sesuatu, mereka mesti lakukan sesuatu. Peperiksaan yang sudah, sedang dan akan anak-anak kita tempuhi umpama pintu yang membuka peluang dan kita berikan mereka ruang...
Sebagai pelajar si sulung telah menyelesaikan perjuangannya di dewan peperiksaan.
Nina si bongsu saya dan sepupunya Qayyum, baru selesai berjuang tapi masih mencari sasaran...
Anak lelaki saya, dia sudah selesaikan satu misi namun perjalanannya masih panjang. Dia mesti berani hadapi cabaran. Ketika meraikan hari bahagia mereka tahun lalu...
 
Nisha bersama sepupunya Azureen dan Elynn sedang dag dig dug  menghitung hari. Anis kini  berjuang di universiti untuk mencapai cita-cita menjadi seorang doktor...
Hidup ini umpama ombak yang sentiasa menuju sasarannya....