Showing posts with label Dari Tinta. Show all posts
Showing posts with label Dari Tinta. Show all posts

Saturday, January 18, 2014

Bercerai belum tentu selesai masalah!


NURI SUPIAN




Kisah-kisah duka dalam rumah tangga selalu membuat wanita cepat putus asa dan hilang keyakinan diri. Masalah ini bukan masalah baru atau masalah semasa, sebaliknya ia sentiasa berlaku dan akan terus berlaku selagi manusia yang dipasangkan sebagai suami isteri, mempunyai keinginan dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain.  Perkahwinan itu adalah penyatuan dua hati dan dua perasaan, yang di dalamnya ada persamaan dan perbezaan. Bukan mudah untuk memastikan ia sentiasa berjalan mengikut gaya fikir kita, namun tidak sukar juga mencari titik persamaan dalam dua jiwa ini.
Sudah beberapa kali saya  mencoretkan catatan seperti ini di dalam majalah Mingguan Wanita, namun hari ini saya merasakan ingin mengulang semula catatan itu sebagai pemberi sedikit cahaya pada yang sedang berduka. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini saya selalu disajikan dengan kisah duka isteri yang tersepit antara cinta, sayang dan benci pada pasangan mereka. Cuba perhati dan hayati apa yang tertinta di sini. Ia mungkin memberi jalan...

Langit memang tidak selalunyua cerah...

”Jangan putus asa, cubalah lagi dan fikirkan soal anak-anak!” Inilah nasihat yang sering kali diberikan oleh sesiapa pun jika ada di antara kawan-kawan atau sanak saudara yang meluahkan rasa hati mereka untuk bercerai atau bercerita mengenai perkahwinan mereka yang tidak bahagia mahupun perkahwinan yang penuh dengan masalah. Sebahagian besar daripada kita memang merasakan bahawa hidup dalam alam perkahwinan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan bercerai. Namun adakah nasihat yang kita berikan itu betul dan relevan dengan orang tersebut.

Menasihatkan seseorang agar mempertahankan perkahwinan adalah nasihat yang betul. Sebab bagi mereka yang sedang menghadapi masalah dalam rumah tangga, biasanya sukar untuk mereka berfikir dengan tenang malahan sering buntu dalam membuat keputusan.

Sebagai orang luar, kita mungkin boleh melihatnya dari sudut yang lebih luas dan munasabah. Kita boleh melihat pertimbangan-pertimbangan dari segi buruk dan baik hasil perceraian yang mahu dituntut itu. Dan kita mungkin boleh memberi pesan bahawa walaupun bercerai belum tentu mereka akan bahagia, kerana kehidupan selepas bercerai mungkin lebih dahsyat lagi. Sebagai orang yang menasihati, kita biasanya akan cuba memberikan beberapa contoh yang pernah kita dengar, lihat dan alami. Tetapi memahami situasi orang terbabit juga adalah antara sudut pandangan yang tidak boleh kita abaikan.

Melalui pengalaman saya sendiri dalam melihat, mendengar dan berdepan dengan kes-kes wanita yang menghadapi masalah rumah tangga ini, membuatkan saya selalu berfikir sampai bilakah wanita harus menjeruk hati dalam menangani masalah rumah tangga mereka.

Memang ada wanita yang sanggup bersabar melayani kerenah suami demi anak-anak, demi maruah keluarga dan sebagainya dan pengorbanan mereka berbaloi kerana suami akhirnya kembali ke pangkuan keluarga, namun ada juga yang bertahun-tahun menganyam duka  tetapi akhirnya rumah tangga yang dipertahankan hancur juga.

Kerana itulah saya selalu memberi pendapat (jika diminta), yang berpijak di bumi nyata. Mempertahankan sebuah perkahwinan adalah sebaik-baik perbuatan tetapi jika dengan mempertahankanny wanita itu hilang segala kenikmatan hidup, hilang keceriaan, sentiasa tertekan dan anak-anak menjadi mangsa akibat tekanan itu, ada baiknya juga wanita seperti ini memperjuangkan haknya sebagai wanita.

Namun sebelum itu mereka hendaklah melihat dari segala sudut adakah perceraian itu perlu untuk mereka atau perkahwinan tersebut masih boleh diperbaiki. Ini kerana saya pernah terbaca satu rencana yang ditulis oleh seorang pakar psikologi perkahwinan, yang mengatakan ada juga segelintir wanita hanya melebih-lebihkan perasaan mereka dan akhirnya menyesal setelah diceraikan. Dengan itu pesan saya, seboleh-bolehnya jangan buat keputusan paling daif ini, kecuali jika anda benar-benar memerlukannya.





 Suasana alam hampir sama dengan suasana hati manusia, ada masa redup, ada ketika mendung, ada waktunya ribut taubat, ada tikanya hujan gerimis, banyak masa juga ia kelam dan kalut namun di atas segala itu, ia biasanya akan kembali cerah setelah semua musim itu berlalu... bersabarlah sementara menanti waktu cerah itu tiba...


Sunday, September 29, 2013

Ibu segala Doa



Saya menerima panggilan telefon daripada seorang ibu, minta diberikan nombor telefon beberapa ustaz terkenal. Tujuan ibu ini untuk meminta ustaz-ustaz tersebut mendoakan kejayaan anaknya yang bakal menduduki peperiksaan dan kalau boleh si ibu penyayang ini mahu minta ustaz tersebut memberikan air penerang hati untuk anaknya itu.

Sebelum memberikan nombor yang diminta, sempat juga saya berbual-bual dengan ibu ini mengenai anaknya. Dalam perbualan itu, saya dapat meneka kerisauan hati si ibu.  Dia bimbang anaknya gugup menghadapi kertas-kertas peperiksaan. Dia juga risaukan anaknya tidak mampu menjawab soalan dengan tepat seperti yang dikehendaki. Saya benar-benar dapat memahami perasaan si ibu ini.

“Dia anak harapan saya. Sebagai anak sulung, saya mahu dia berjaya dengan cemerlang. Tapi anak saya itu, banyak buat kerja lain daripada menelaah pelajarannya. Sebab tu saya bimbang dia tak dapat jawab soalan dengan baik. Kalau dapat bantuan ustaz untuk doakan anak saya dan dapat air penerang hati, sekurang-kurangnya boleh bantu dia tenangkan hatinya. Dia nampak tertekan sekarang.” Luah ibu ini mengenai kerisauannya terhadap prestasi si anak.

Dalam kesempatan itu, saya cuba memberi sedikit pendapat berdasarkan pengalaman sendiri. Saya katakan, doa ustaz dan orang-orang yang alim dalam agama memang baik, tetapi doa seorang ibu adalah lebih baik daripada segala doa. Doa seorang ibu, cepat Allah makbulkan. Sebabnya,  ketika berdoa kita membayangkan kejayaannya, kita sebut namanya dengan penuh kasih sayang dan kita boleh belai dirinya dengan sentuhan cinta dalam doa itu.

Pihak lain, boleh membantu tetapi tentulah berbeza jika kita sendiri yang bangun di tengah malam, bermunajat, berdoa dan memohon sambil menyebut nama anak kita itu. Pihak lain, sekadar menyebut nama tanpa dapat membayangkan wajah anak kita. Doa mereka memang ikhlas, tetapi apakah ia mampu mengatasi keikhlasan doa ibu bapa anak itu sendiri.  Doa yang tidak memerlukan apa-apa imbalan selain mahu melihat kejayaan orang yang kita kasihi.

Dalam berdoa pun ada syaratnya. Doa haruslah disertakan dengan usaha. Sebaldi air penerangan hati pun diminum, tetapi jika tidak ada tindakan susulan iaitu usaha yang berterusan, sukar juga doa itu termakbul. Memang tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Inilah peranan sebenar kita dalam membentuk peribadi anak-anak. Kita harus terapkan ke jiwanya bahawa jika mahukan sesuatu, dia harus berusaha mendapatkan. Jika mahu berjaya cemerlang, belajarlah dengan cemerlang. Kerana belajar itu juga ibadah. Pasti Allah akan nilai ibadah tersebut.

Biarpun saya tidak berniat sedikitpun mengajar si ibu ini, selain daripada hanya mahu berkongsi pengalaman namun dia dapat merasakan kebenaran daripada apa yang saya katakan itu. Katanya, sebelum ini setiap kali anak-anaknya akan menghadapi peperiksaan, dia akan sibuk mencari air penerang hati atau produk-produk penerang hati yang berasaskan keislaman untuk membantu anaknya menghadapi ujian peperiksaan. Bagi saya, itu adalah salah satu usahanya. Usaha seorang ibu yang mahu melihat anak-anak berjaya.
Namun selepas kami berbual-bual itu dia sudah `tersedar’ bahawa dialah `produk doa’ yang sangat-sangat diperlukan oleh anak-anaknya. Sebagai ibu bapa, kita jangan sesekali berhenti daripada berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan anak-anak kita...



Monday, September 16, 2013

Perbaiki apa yang ada....

Nuri Supian 
 

Tidak ada sesiapa pun di dunia ini mahu mahligai yang dibina berantakan atau  hancur di tengah jalan gara-gara kehadiran orang ketiga. Namun sejak kebelakangan ini banyak pula kes-kes seumpama ini terjadi. Siapa sahaja yang mengalami keadaan ini sudah pasti rasa terpukul, sangat marah, sakit hati, benci dan sebagainya. Ekoran daripada itu walaupun rumah tangga mereka berjaya diselamatkan semula, namun rasa percaya pasti hilang kalau tidak semua pun, sebahagiannya akan dipenuhi rasa curiga. Mereka takut pisang berbuah dua kali. 


Selain itu saya percaya, kesan daripada kecurangan dalam rumah tangga atau ketidaksetiaan pasangan dalam hubungan suami isteri, pasti membuatkan orang yang berasa dianiaya ini, tidak mampu membangun semula rasa cinta, sama seperti ikatan itu sebelum dicerobohi. Rasa hormat juga pasti akan merosot. 


Sukar sebenarnya untuk saya membayangkan keadaan hubungan perkahwinan yang telah dibungai oleh pengkhianatan itu. Sebab biarpun kita tahu, sebagai manusia semua orang tidak sempurna dan pasti melakukan kesilapan, namun mengkhianati ikatan suci adalah kesilapan yang membabitkan perasaan. Perasaan adalah sesuatu yang halus dan memberi kesan berpanjangan di dalam minda orang terbabit. Mungkin dia boleh memaafkan dan menerima pasangannya semula, tetapi sejauh mana dia mampu melupakan apa yang telah terjadi.


Kerana itu, saya sedia maklum ramai wanita yang memaafkan suaminya dan menerima mereka kembali tetapi hubungan selepas itu tidak semesra dulu. Ini kerana penerimaan yang dibuat mungkin bersyarat atau kerana sesuatu, mungkin kerana anak, kerana bimbangkan gelaran yang bakal disandang atau bimbangkan masa depan. 


Kerana itu, saya merasakan bagi anda yang mengalami perkara ini, berhati-hatilah. Jika anda mahu menerima dan memaafkan pasangan lakukanlah dengan ikhlas. Jangan meletakkan syarat sebab cinta yang mahu dibina semula itu sudah tidak murni lagi. Ia hanya nampak tenang di atas tetapi sebenarnya bergolak hebat di bawah. Ini amat bahaya kerana ketegangan dan keretakan bila-bila masa boleh berlaku semula. 


Pengalaman seorang kenalan dalam menempuhi ranjau perkahwinan yang diwarnai orang ketiga ini dapat saya andalkan untuk menjadi teladan semua. Dia seorang wanita bekerja. Kesibukannya dijadikan alasan suami untuk main kayu tiga. Mulanya hanya sekadar suka-suka akhirnya melekat. Kecurangan itu akhirnya sampai ke pengetahuan wanita tersebut. Ribut mula melanda rumah tangga, tetapi kerana sayangkan anak-anak dia mempertahankannya apabila suami memohon maaf dia menerimnya kembali tetapi wanita itu menjadi prejudis dan kerap berprasangka. Langkah suami sentiasa dicurigai sehingga akhirnya suami berasa terkongkong dan amat tertekan. Dan suami itu melepaskan tekanan tersebut dengan menghabiskan masa di luar rumah. Keadaan itu berlarutan agak lama sehingga kedua-duanya seperti hidup dalam sebuah rumah api yang panas membara. Hasrat kembali bercantum kerana sayangkan anak-anak tidak tercapai, sebaliknya keadaan makin parah. Akhirnya wanita ini mengalami tekanan jiwa.


Keadaan inikah yang kita inginkan?  Kalau anda mengatakan tidak, baik saya sarankan agar anda jangan memulakan langkah menodai rumah tangga tanpa alasan yang benar-benar boleh diterima. Jika ada kekurangan pada pasangan, berusahalah memperbaikinya bersama-sama dan jangan mencari jalan keluar dengan membuat perhubungan sulit dengan orang lain. Bina dan kukuhkan apa yang sudah ada dan pupuklah cinta sebab sekali anda memberikan isteri cinta yang murni sepuluh kali isteri akan membalasnya!




 Ciptalah hidup yang indah dan mewangi...

Sunday, September 15, 2013

Jangan `jual' kebahagiaan keluarga kerana kerja

Nuri Supian


Sibuk! Perkataan ini memang sering menjadi sebutan bagi pasangan suami isteri yang bekerja atau yang berkarier.  Mereka turun dari rumah awal pagi dan bertemu semula di sebelah malam. Bayangkan boleh dikatakan keseluruhan masa siang mereka digunakan di luar rumah. Dan hanya kembali di sebelah malam setelah tubuh badan masing-masing layu dan keletihan.


Apabila pulang dalam suasana yang letih, dapatkah mereka memberikan tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga. Isteri sudah tentu tidak dapat memberikan sepenuh keceriaan kepada anak-anak dan suami. Begitu juga dengan suami terhadap isteri dan anak-anaknya. 


Dalam kehidupan harian yang penuh mencabar, di mana tuntutan ekonomi menjadi perkara penting dalam sesebuah rumah tangga, keperluan isteri untuk turut menyumbangkan hasil bagi memantapkan ekonomi keluarga seolah-olah sudah menjadi satu kemestian pula dewasa ini. Apabila suami dan isteri bekerja di luar rumah, anak-anak sudah tentu menjadi tanggungjawab pengasuh. Ini memang tidak dapat dielakkan.


Oleh itu, mencari masa bagi pasangan berkarier ini juga merupakan satu cabaran berat yang perlu mereka atasi dengan sebaiknya. Jika mereka tidak melakukan sesuatu untuk menanganinya, pasangan atau anak-anak pasti akan rasa terpinggir dan terbiar. Lebih teruk lagi, jika mereka merasakan diri mereka tidak sayangi.


Untuk itu pesan saya kepada semua pasangan yang bekerja terutama wanita, sesibuk mana pun kita, masih ada insan yang memerlukan perhatian dan kasih sayang kita. Luangkanlah masa untuk tetap memberi keutamaan kepada orang-orang yang kita sayangi ini. Gunakan apa sahaja kesempatan masa, sama ada ketika cuti, malam selepas waktu makan dan sebagainya untuk memupuk kasih sayang yang terbiar sepanjang masa kita bekerja itu.



Kita bekerja untuk kebahagiaan bersama, jadi tidak ada maknanya jika kita mampu memberikan kesenangan material, tetapi jiwa mereka kosong dan gersang daripada kasih sayang. Dan kita pun tidak mahu mereka mencari jalan lain untuk mengisi kekosongan jiwa itu. Jika ini terjadi, kita yang akhirnya akan rugi...





Saturday, September 14, 2013

Pilihan di tangan

Nuri Supian



Setiap hari di meja saya penuh dengan surat-surat yang diterima daripada pembaca. Kebanyakan daripada surat itu mengenai luahan hati dan rintihan pilu sama ada wanita bergelar isteri, ibu tunggal ataupun duda.

Meneliti surat-surat itu, saya sedar bahawa hidup ini memang penuh dengan pelbagai pancaroba. Kitalah sepatutnya memilih kehidupan bagaimanakah yang kita inginkan. Seandainya  tahu ada ranjau dan duri di pertengahan jalan, kita boleh memilih haluan yang lain, namun jika tetap mahu memilih jalan yang sama, maka bersedialah untuk menempuh ranjau.

Permasalahan atau peristiwa yang berlaku itu ada hikmahnya, jika kita sanggup menerimanya sebagai ujian. Namun apabila kita sengaja menempah kedukaan, sepatutnya kita menyalahkan diri sendiri bukannya menyalahkan takdir.
“Dunia ini dipenuhi dengan pelbagai ragam dan kehidupan. Kita sendirilah sebenarnya yang memilih kesepian atau kesedihan!” Kata-kata ini pernah saya dengar dalam sebuah program di televisyen. Berdasarkan kata-kata itu, saya yakin bahawa manusia adalah makhluk yang begitu mudah untuk berasa sepi walaupun mereka sebenarnya sedang hidup di tengah-tengah keriuhan alam.

Secara jujurnya juga saya katakan, betapa kita amat mudah menangisi kematian tetapi sukar untuk menghargai kehidupan. Kita juga kerap menangis pilu mengenangkan perpisahan, sedangkan terlalu banyak pertemuan-pertemuan yang telah kita sia-siakan.  Kita kerap ketawa tetapi dalam masa yang sama, kita tidak faham apa sebenarnya yang melucukan hati kita. Malahan begitu ramainya di antara kita yang memuja cinta tetapi apabila berlaku perpisahan, hilang segala kebaikan cinta yang selama ini dijunjung. Jarang benar orang bersedia untuk berpisah kasih dengan cara yang baik sebagaimana mereka memulakan sebuah percintaan.

Orang-orang yang pesimis adalah orang-orang yang bersikap mudah berputus asa dan memandang sesuatu perkara dari sudut keburukannya sahaja, sering mengatakan kehidupan ini penuh kepahitan, kepalsuan dan merasakan hidup hanya mendatar. Sedangkan kehidupan jika dipandang dari pelbagai sudut, banyak lagi kegembiraan yang boleh membuat kita tersenyum, sama ada ketika mengalami atau ketika mengenangkannya.

Pahit dalam kehidupan bukan satu kesalahan kerana adanya rasa pahit inilah, baru kita peka terhadap sebuah kemanisan. Sama seperti orang bercinta, ia tidak mungkin manis sepanjang masa. Kerana dalam cinta ada penolakan, ada pertengkaran, ada kesabaran dan perpisahan. Inilah rempah ratus yang membangunkan kita menjadi seorang manusia dewasa akal dan fikirannya. Berjuanglah untuk hidup dan nikmatinya selagi ada nyawa. Minta pertolongan Allah agar kita terus dibimbing dari dunia hingga ke akhirat.